Hari ini hari terakhir dalam tahun 2009. Esok tahun baru. Tahun 2010. Di sini, langit masih sama. Udara masih sama. Daun-daun yang bergoyang ditiup angin masih hijau juga. Pantai masih lagi memantulkan warna biru lautnya. Waktu masih lagi 24 jam sehari.
Cuma yang mungkin berbeza, perkiraan usia. Akan bertambah setahun lagi. Akan tua. Akan makin hampir dengan mati.
Begitulah hidup. Kerana hidup lawannya mati.
Tahun baru sinonim dengan azam baru. Perlukah saya berazam juga? Sedang azam yang dulu-dulu pun banyak yang hilang dibawa angin lalu. Biarlah. Azam tidak semestinya hanya pada tahun baru. Kata orang putih, "Each day of the year is good enough to start a new life". Lagi pun, setiap hari saya berazam untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Bukan pada tahun baru sahaja.
Berita kemalangan Ustaz Rifqi tengah hari semalam menyentak rasa juga. Baru sangat lagi kejadian di Gua Musang, kini di Johor Bahru pula. Segalanya menuntut kesabaran, dan sedia menerima semuanya dengan redha. Syukur kerana tiada kecederaan teruk, hanya kereta menjadi korban. Yakinlah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Anggaplah ia satu ingatan dari Allah buat hamba yang dikasihi-Nya.
Januari tiba esok dengan janji-janji yang masih rahsia. Doa saya semoga semua yang saya sayang akan beroleh kehidupan yang diredhai dan dirahmati Allah sepanjang tahun ini dan tahun-tahun mendatang. Saya juga memohon agar Allah sentiasa melindungi kami dalam lindungan-Nya yang tidak pernah lalai. Juga menjauhkan segala perkara yang buruk-buruk dari menimpa kami. Peliharalah kami Ya Allah di dunia dan akhirat...
Hari ini, jam 9.00 pagi mesyuarat guru kali pertama berlangsung. Seperti biasa, mesyuarat pertama ini banyak sekali agendanya dan membawa ke jam 1.15 petang. Segala perkara berkaitan tugas dan tanggungjawab guru diberi penekanan oleh Tuan Pengetua. Biarpun kebanyakan perkara sudah terlalu sering diulang-ulang namun ia amat perlu demi menjamin kualiti seorang guru.
Berbicara tentang kualiti seorang guru pada masa kini, bukanlah suatu yang indah. Zaman sudah berubah, ibu bapa sudah ramai yang berpelajaran tinggi. Jika dahulu guru dianggap tinggi dan tersohor, kini tidak lagi. Guru sudah begitu sering dihina dan dicerca. Jasa guru bukan lagi untuk dikenang. Tugas guru bukan lagi untuk dipandang. Guru hanya seorang kakitangan kerajaan yang bekerja untuk mendapat gaji bulanan. Guru hanya tahu menuntut itu dan ini, tanpa pernah mahu meningkatkan kualiti sendiri. Itulah persepsi masyarakat kini terhadap seorang guru. Sedih, bukan?
Biarlah apa yang masyarakat ingin kata. Mereka bukan guru. Mereka tidak berada pada tempat seorang guru berada. Mereka hanya nampak dari luaran sahaja. Biarkanlah mereka. Saya enggan peduli. Saya hanya ingin meneruskan tugas saya sebagai guru dengan tulus dan ikhlas. Jika masyarakat enggan memberi penghargaan, saya tidak peduli. Saya bukan hidup untuk menyenangkan hati semua orang....
Saya sudah menerima senarai tugas dan tanggungjawab saya untuk tahun 2010. Saya sudah bersedia memikulnya malah sudah tidak sabar melaksanakannya. Saya ingin memberi yang terbaik buat murid-murid saya kerana saya sayang pada mereka. Murid-murid saya ialah anak-anak saya. Tiada beza. Mereka tanggungjawab saya dan insya Allah, saya akan cuba untuk berkhidmat dengan sepenuh hati saya.
Semoga sesi baru ini menerbitkan sesuatu yang indah buat saya di penghujungnya nanti. Amin.
Alhamdulillah, akhirnya kedua-dua buah kereta kami terjual juga walaupun dengan harga yang amat di luar jangka.
Asalnya, kami mensasarkan untuk mendapat harga sekurang-kurangnya RM30 000 untuk Nissan Sentra 1.5 A (2001) dan juga proton Gen.2 1.6 A (2004). Di pasaran kereta terpakai, harga untuk Nissan Sentra itu tidak sampai pun RM25 000 dan Gen.2 hanya sekitar RM28 000. Begitulah hakikatnya bila melabur untuk kereta. Tidak boleh mengharapkan keuntungan melainkan kerugian semata-mata. Memang pun kan? Pakai kereta ni untuk kepuasan diri, jika nak untung kena buat perniagaan lain... :-)
Segalanya selesai pada Khamis lalu, apabila seorang sahabat lama dari Kuala Krai bersetuju membeli Nissan Sentra kami secara tunai. Gen.2 telah terlebih dahulu dijual beberapa minggu sebelum itu, juga pada seorang sahabat. Maka kini kami hanya memiliki Perodua Kancil 850EZ keluaran 1997. Mungkin selama beberapa bulan ini itulah sahaja kereta yang akan kami gunakan. Wah! Jimat tu, dahlah tak payah bayar ansuran bulanan, penggunaan minyak pun kurang!
Kereta baru? Kita tunggu dan lihat tak lama lagi. Akan terlaksanakah angan-anganku ini? Tunggu!!
Areef Irsyad bin Muhammad selamat dilahirkan pada 6.30 petang, 28hb Disember 2008 di Pusat Rawatan Annisa', Kota Bharu. Terpancar sinar kebahagiaan dan kesyukuran di wajah-wajah ibu dan abahnya, Pn. Farah Dalila Mohamed dan En. Muhammad b Myiddin menyambut ketibaan anugerah permata hati sulung yang tidak ternilai.
Setahun sudah berlalu, permata hati ayah bonda ini sudah semakin comel, keletah dan bijak. Seronok melayan kerenahnya dan sesekali rasa rindu untuk bermain-main dengannya. Semoga Areef membesar menjadi anak yang soleh, bijak dan sejahtera di dunia dan di akhirat. Aminnn..!
Aku mulakan dengan salam penuh kerinduan buat semua. Hampir dua minggu aku tidak menulisi blog ini, banyak yang ingin dikongsi rasanya. Tetapi tergantung jua pada keupayaanku menyelusuri kembali jejak-jejak semalam, andai mampu kuhitung satu persatu tanpa alpa, maka terisilah blog ini dengan cerita kenangan. Jika tidak... hmmmm!!!
Hari ini aku hampir selesai menanda kertas SPM. Hanya tinggal lagi tidak sampai dua puluh peratus dan insya allah akan dilunaskan sebelum Isnin menjelma. Rupa-rupanya semakin hampir tarikh penyerahan, semakin banyak perkara di luar jangka tiba. Mujurlah aku sempat 'beringat', jika tidak tentu saja kerjaku terbengkalai dan aku paling bimbang jika terpaksa bersengkang mata pada malam-malam terakhir nanti! Harap-harap peruntukan masa yang masih belum terhad ini tidak akan menjadi semakin suntuk. Insya Allah.
Cuti sekolah hanya berbaki tidak sampai dua minggu sahaja lagi. Adik-adikku juga sudah pulang ke tempat masing-masing. Rifqi sudah berada di Johor, Husna di Pulau Pinang dan Muhammad di Perak. Tinggal hanya Aziah di rumah ma, bertemankan Anis dan Ain yang berada di sini sejak Jumaat lalu. Ismah juga sudah berangkat ke UM malam tadi, dan Zahidah yang menemani Husna di Pulau Pinang akan pulang esok dan ke Pulau Pinang semula pada Ahad nanti.
Nampaknya aku sahaja yang tidak ke mana-mana.
Menjadi penghuni setia negeri Kelantan kesayanganku ini, adalah suatu anugerah yang amat aku syukuri. Biarlah orang lain bangga dan bahagia berhijrah ke serata pelosok dunia, aku tetap setia di sini. Di tanah tumpah darahku. Di negeri kebanggaanku. Di sisi ibu kesayanganku. Menemani suami setiap waktu. Membantu dan mendidik saudara sekampungku. Alhamdulillah.
Tahun 2009 juga bakal melabuhkan tirai dan aku berdoa semoga hadirnya 2010 nanti akan membawa seribu rahmat buat aku, keluargaku, negaraku, saudara seagamaku dan semua hamba Allah di mana jua mereka berada.
Usai solat subuh, aku masuk dapur masak nasi dan panaskan lauk untuk makan tengah hari suamiku nanti. Hari ini akan bermula mesyuarat di SK Kamil 1, dan akan berlanjutan sehingga Sabtu ini. Mesyuarat bermula jam lapan pagi, dan aku agak akan selesai sekitar tiga petang. Jarak dari rumahku ke SK Kamil 1 lebih kurang 40 minit perjalanan. Selesai sarapan dengan secawan nescafe o dan empat keping biskut tawar, lebih kurang jam 7.12 pagi aku pun bertolak, dihantar suamiku tentunya..
Dek kerana tak biasa ke sana, kami terlajak hingga ke bandar Pasir Puteh. Terpaksa pusing balik dan mata ralit memfokus pada segala papan tanda mencari lokasi SK Kamil 1. Jam 7.58 sampailah kami ke sekolah tersebut, dan aku orang yang kedua tiba. Pelik juga, kenapa yang lain belum sampai? Rupanya semua terlajak ke bandar! Mungkin papan tanda ke SK Kamil perlu diletak di tempat yang lebih strategik bagi memudahkan orang-orang seperti kami ini mencari sasaran.
Mesyuarat berjalan lancar dan tamat seperti dijangka.
Lebih kurang jam 11 pagi aku menerima panggilan telefon dari sekolah aku - SMK Kg Chengal memaklumkan yang aku perlu hadir mesyuarat HEM pada Ahad 13hb Disember ini. Aku pelik juga, aku ini ada jawatan apa dalam jawatankuasa HEM? Katanya aku perlu menggantikan guru buku teks yang tidak dapat hadir mesyuarat kerana tiada dalam negeri pada hari tersebut. Apa persediaan aku? Bila pula nama aku termasuk dalam AJK Buku Teks? Hairan, tetapi aku tiada peluang bertanya atau membantah. Maka Ahad ini aku akan ke sekolah dengan perasaan yang pelbagai. Aduh!! Tensionkah aku?
Pulang ke rumah, baru aku sedar yang handphone aku masih dalam silent mode dan aku dapati ada tiga missed calls. Semuanya dari SMK Kg Chengal. Aku call semula dan kerani di situ memaklumkan aku perlu hadir mesyuarat kurikulum pada Isnin 14hb Disember. Terkejut lagi aku.. tapi aku memang maklum sebagai AJK Unit Peperiksaan aku perlu ke mesyuarat itu, cuma aku rasa tension sebab semua mesyuarat berturutan sebaik selesai mesyuarat di SK Kamil 1 ini. Maksudnya, aku hadir mesyuarat 5 hari berturut-turut termasuk Jumaat dan Sabtu! Itu belum lagi dikira masa yang ada untuk aku peruntukkan bagi menanda kertas SPM yang memang singkat, iaitu 15 hari sahaja akan menjadi lebih singkat kerana perlu hadir mesyuarat-mesyuarat itu. Aduh!! Tensionkah aku?
Pun, aku tidak wajar mengeluh apa lagi meletakkan diri dalam situasi tertekan. Sebagai guru aku harus cekap dalam pengurusan masa. Sebagai guru aku harus bersedia menerima apa-apa tugasan atau arahan dari pihak sekolah. Sebagai guru aku tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kerana itu janji aku sebelum aku diterima menjadi guru dahulu.
Terperap di rumah sebenarnya amat membosankan. Tetapi ke sana ke mari juga meletihkan. Waktu sibuk bekerja, rasa ingin cuti sahaja. Apabila cuti tiba, bosan pula menguasai. Itulah manusia. Entah bila akan puas hati dengan diri sendiri…
Dua hari lepas, iaitu pada hari Isnin, suami membawa tujuh orang anak saudaranya memeriahi rumah kami. Jam 5.30 petang mereka tiba untuk bermalam di sini. Sebenarnya entah apa yang istimewanya dengan rumah saya ini saya sendiri pun tak pasti, tetapi pantang diajak, laju sahaja mereka menyudikan diri!
Sebagai sajian makan malam, saya masakkan sup ayam, ikan selar goreng, kangkung goreng dan telur dadar. Nampak berselera semuanya. Selesai makan, saya siapkan tempat tidur mereka pula. Satu bilik untuk empat orang anak gadis – Ain, Lisa, Yuni dan Lina. Satu bilik lagi untuk teruna tiga orang – Aiman, Joe dan Najmi. Mungkin rancangan tv tiada yang menarik malam ini, seawal jam 9.40 semua sudah ke bilik masing-masing.
Esoknya, saya masakkan mihun goreng untuk sarapan. Selesai sarapan mereka menonton tv seketika sebelum suami saya menyuruh mereka bersiap-siap untuk dihantar pulang pada jam 9.30 pagi.
Ibu mentua saya menyediakan juadah nasi dagang di rumahnya maka saya tak perlu masak tengah hari. Lepas zohor kami ke rumahnya dan alhamdulillah, kenyang dah! Balik rumah rehat sebentar, lepas Asar turun ke hospital RPZ pula, melawat seorang jiran yang diserang strok.
Ramai sungguh orang di hospital petang-petang macam ni. Nak dapatkan parking pun tiga empat kali pusing. Dalam setengah jam jugalah. Nak naik lif pun satu hal juga.. manusia berpusu-pusu. Memang sesak betul hospital kerajaan ini ya! Tentu para doktor, jururawat dan petugas-petugas hospital sentiasa kepenatan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Sungguh amat patut mereka dihargai. Kalau sesekali mereka berwajah masam, janganlah diambil hati…
Kami tiba di rumah sebaik azan maghrib. Rasa penat dan tak ada mood nak masak jadi ajak suami makan malam di luar saja. Selesai solat, kami ke Medan Selera Batu 4. Kami order tom yam campur, ayam goreng halia, kailan ikan masin, telur dadar dan fresh orange. Alhamdulillah, kenyang sudah… Makanan di restoran ini boleh tahan sedapnya, dan taklah mahal sangat. Menu yang kami ambil itu harganya cuma RM20 sahaja. Jika makan di restoran ternama, belum tentu dapat harga sebegitu untuk hidangan selazat itu, kan?
Hari ini, Rabu sudah… Hmmm. Sarapan pagi suami belikan dari gerai depan rumah. Untuk makan tengah hari saya masak sup ‘gear box’ dan kangkung goreng. Petang, lepak kat rumah emak sementara suami saya bermain futsal dengan rakan-rakannya. Sempatlah melayari internet dengan adik-adik kesayangan. Memang setiap kali pergi ke rumah emak, laptop dan broadband tak akan dilupa. Bukan apa, kesian dekat adik-adikku itu, rindu benar nak berfacebook! Hehehe… sejak telefon rumah emak sudah tidak berfungsi, mereka sentiasa mengharapkan kehadiran kakaknya ini bersama-sama dengan set jalur lebar.
Selesai bermain futsal, suami menjemput saya pulang. Untuk makan malam saya cuma masak ikan goreng sambal saja. Sup tadi masih ada. Tetapi suami saya pulang dari masjid selepas isya’ dengan perut yang kenyang. Katanya kawan belanja makan roti canai. Jadi saya makan malam seorang diri sajalah!
Dah banyak saya berceloteh yang entah apa-apa ni.Sekarang jam sudah dekatsebelas malam. Esok saya perlu hadir mesyuarat di SK Kamil, Pasir Puteh jam lapan pagi. Kenalah tidur awal sikit agar tidak mengantuk nanti.
Dalam pukul 6 petang semalam, saya melayari facebook. Terpandang satu post tentang "KB Mall Runtuh". Berderau juga darah saya. Macam mana boleh runtuh? Saya cari info dalam internet tapi tak banyak maklumat sangat sebab kejadian itu baru saja berlaku, dalam jam 5.30 petang. Bimbang jika ramai yang mati atau cedera. Apatah lagi jika ia membabitkan saudara mara, rakan taulan atau orang-orang yang kita kenali.
Jam 7.45 tengok Buletin Awani, belum ada berita lagi tentang peristiwa itu. Jam 8.00 mengadap Buletin Utama TV3 pula. Rupa-rupanya bukan KB Mall runtuh, tetapi satu kemalangan berlaku apabila sebuah kereta di parking lot tingkat atas telah terbabas dan merempuh dinding hingga terjunam ke atas eskelator. Khabarnya dua orang maut dan dua lagi cedera parah. Innalillahi wainna ilaihi raajiuun.
Memang perkara begini kita tidak pernah mahu ia terjadi. Mereka yang maut itu ialah pelajar di Kolej Masterskill, yang baru berusia 19 tahun. Kebetulan mereka berada di atas eskelator sewaktu kereta itu terjunam. Alangkah sedihnya keluarga mangsa kerana menerima kematian mengejut lagi tragis ini. Sungguh pilu dan sayu, tetapi inilah takdir Allah, maka terimalah dengan redha.
Semoga mereka diampuni Allah dan ditempatkan di kalangan insan beriman. Al-Fatihah.
Untuk berita dan gambar-gambar yang lebih banyak, klik sini.
He was born on December 6, 1979 - 30 years ago. As for human, 30 is still young but hopefully the maturity in him will be improved.
He has found his soulmate and tied the bond with that girl, named Farah Dalila on March 2008. Allah blessed them with the arrival of sweet and adorable Areef Irsyad on December 28, 2008. Now he has formed a complete family and may their lives will be blessed forever.
Just want you to know that our love and care for you and your family will never be decreased. Have a wonderful year ahead, with lots of happiness and success around you. Be a good husband, a good father, and of course a good son as well...
Sewaktu saya dalam tahun dua pengajian di UKM, saya dan kawan-kawan saya yang di bawah tajaan MARA menerima berita gembira iaitu MARA telah membenarkan kami memohon pinjaman sejumlah RM6000 untuk pembelian komputer peribadi. Waktu itu, kebanyakan pelajar universiti hanya di bawah dua penaja utama sahaja iaitu MARA dan JPA. Kami rasa bertuah menjadi pelajar tajaan MARA kerana banyak kelebihan berbanding JPA.
Sekitar 1993, komputer peribadi tergolong ‘barang mewah’ yang hanya mampu dimiliki pelajar dari keluarga berada sahaja. Satu unit desktop PC waktu itu mencecah RM5000, dan jika berhasrat memiliki notebook, tentu sahaja RM6000 ke atas perlu disediakan. Apabila MARA membuka peluang sebegitu, tentu sekali berbondong-bondong pelajar tajaannya mengambil borang permohonan termasuklah saya.
Sebagai pelajar Fakulti Sains Matematik dan Komputer, saya banyak mengambil mata pelajaran Sains Komputer terutama pada tahun-tahun awal pengajian. Memang memiliki komputer sendiri akan memudahkan saya, tetapi hakikatnya saya tidaklah terlalu memerlukannya kerana fakulti saya mempunya beberapa buah makmal komputer untuk kegunaan pelajar yang boleh digunakan sehingga waktu malam. Jika hujung minggu, saya berpeluang menggunakan komputer di Kelab Komputer Kamsis Ungku Omar yang mana saya salah seorang AJKnya. Saya hampir tidak terasa pun saya ini tiada komputer peribadi kerana segalanya tersedia dengan lengkap dan mudah. Tambahan pula jarak antara hostel saya dan fakulti teramat dekat, hanya lima minit berjalan kaki. Bertuah saya ini sebenarnya, alhamdulillah!
Tetapi melihatkan semua sahabat mula mengisi borang, saya pun teruja juga. Apatah lagi pembekal-pembekal komputer mula berkampung di universiti kami mempromosikan pelbagai jenis komputer dari yang berjenama hinggalah ke komputer clone. Abang-abang promoter pula kacak-kacak bergaya belaka! Hehehe…
Kami (enam orang semuanya – saya, Opie, Kasma, Eton, Zila dan Tena) menunggu kelulusan permohonan dengan perasaan yang tidak sabar. Sudah terbayang-bayang nikmat memiliki komputer sendiri. Sudah ternampak-nampak meja komputer di penjuru bilik kami. Aduhai, seronoknya rasa di hati!
Rupa-rupanya, impian saya tidak kesampaian. Atas masalah teknikal, hanya dua orang dari kami – Opie dan Tena – yang diluluskan permohonan. Kami yang empat orang lagi terpaksa membetulkan balik borang kami berkali-kali hingga lunyai borang tersebut, namun kelulusan tetap tidak diberi. Hanya Tuhan yang tahu betapa kecewanya rasa hati dengan apa yang berlaku. Tetapi tidaklah sampai memudaratkan diri sendiri… Hanya memandang sayu komputer Opie dan Tena, rasa nak menangis pun ada juga. Tapi saya tabahkan hati, mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.
Kini saya rasa lega kerana permohonan saya dahulu tidak diluluskan. Sekurang-kurangnya saya tidak dibebani dengan pembayaran balik pinjaman dan komputer itu tentu sudah tidak relevan lagi pada masa sekarang. Malah, saya sendiri sudah tiga kali membeli komputer peribadi dengan harga yang lebih murah dari RM6000 itu! Sememangnya apa yang menyedihkan saya pada waktu itu rupanya menjadi sesuatu yang saya syukuri pada waktu ini. Itulah kuasa Tuhan, dan moralnya, positiflah dalam menilai setiap kedukaan. Itu sekadar satu kisah yang terlalu kecil, tetapi ada pengajarannya.
Berbelas-belas tahun tidak berjumpa, apabila bersua antara soalan pasti ditanya: Berapa orang anak sekarang? Bukan berapa biji rumah atau kereta. Memang, pada kebanyakan orang anak lebih berharga daripada harta benda. Anak dianggap permata hati, penyeri rumah tangga dan pengerat kasih suami isteri. Kehadiran anak dinanti-nanti sebagai pelengkap hidup berkelamin.
Kebahagiaan ini lebih-lebih lagi dirasa ibu yang melalui pelbagai dugaan dan susah payah mengandungkan anak sembilan bulan sepuluh hari. Ada yang alah teruk semasa kehamilan, sampai saat akhir melahirkan pun masih muntah-muntah. Suatu apa pun tidak dapat ditelan, sebentar sahaja pasti terkeluar semua yang dimakan. Ada yang berkulit licin cantik, tiba-tiba diserang jerawat dan ruam seluruh badan. Semakin hari semakin sarat, terboyot-boyot, seperti membawa batu berat. Belakang badan terasa macam hendak patah. Serba tidak kena, duduk salah, berdiri tidak larat, baring tidak selesa, berjalan penat pula. Tiba waktu bersalin, satu lagi seksaan terpaksa ditahan. Ramai wanita menganggap sakit bersalin ialah kemuncak segala sakit. Sebab itu ada yang hilang malu dan segan, meraung dan menjerit. Lebih perit kalau sakitnya berpanjangan beberapa jam atau semalaman.
Ini senario agak teruk walaupun ada wanita bertuah, melalui kehamilan yang agak mudah dan sedikit pun tidak alah. Sakit bersalin juga tidak lama. Apa pun yang lebih didengar, betapa sukarnya ibu mengandung dan melahirkan.
Setelah selamat bersalin, bermula pula episod lain. Tidur malam tidak pernah puas, sering diganggu tangisan bayi yang hendak menyusu atau kurang selesa kerana basah atau rimas sebab panas. Sekurang-kurangnya pada beberapa bulan pertama beginilah pengalaman kebanyakan wanita.
Semua ini ibu lalui dengan penuh sabar dan reda. Seekor nyamuk pun tidak dibenarkan hinggap pada anak kesayangan. Dibelek, dikelek, dibuai, dibelai. Dijaga penuh kasih sayang hingga besar panjang.
Jadi bayangkan betapa hancur luluh hati ibu kiranya anak yang ditatang begini membalas semua pengorbanan dengan melawan cakapnya, membalas dengan kata-kata kasar dan suara meninggi walaupun bukan itu niat di hati.
Mendidik anak pada zaman siber, cabarannya berganda. Terlalu banyak pengaruh melanda minda dan jiwa dari pelbagai arah. Ramai ibu bapa tertanya-tanya di mana silapnya kalau anak tidak menjadi seperti yang dihajati. Dikongkong sangat tidak boleh, dilepas bebas lagi parah. Mencari keseimbangan dan kesederhanaan ada kala tidak semudah diucap.
Ada kawan mengeluh, kalaulah dia tahu begini perubahan dunia, pasti dia lebih garang dan tegas mendidik anak dengan disiplin dan kawalan ketat serta didikan agama yang kuat. Biarlah dituduh kolot dan mundur asalkan anak mengikut kata, tidak melukai hatinya dengan lagak kasar atau terjebak dalam angkara yang merosakkan diri, masyarakat dan agama.
Pertama kali berjauhan dengan keluarga seawal usia 13 tahun, seringkali airmata berderai-derai tatkala rindu menyentuh sanubari. Kala itu, wajah emak dan ayah sering menghiasi ruang mata terutama bila sunyi bersendirian di dalam bilik. Ternampak-nampak pula gelagat adik-adik yang masih kecil berlari dan berkejaran. Rasa nak balik sangat-sangat, rasa nak jumpa emak, ayah dan adik-adik dengan segera, tapi macam mana? Jangankan nak balik rumah, telefon rumah pun belum ada! Melihat rakan-rakan yang boleh menelefon apabila rindukan keluarga, rasa iri juga.
Maka terpendamlah segalanya di kalbu, penuh sendu dan pilu. Hanya tangisan mampu menjadi penawar sementara. Dalam usia sebegitu hanya rindu pada keluarga mampu dihitung. Rindu-rindu lain belum wujud lagi... Apabila berpeluang pulang bercuti, tentu sekali hati gembira tidak terkata. Bagai mendapat wang sejuta! Cuti dimanfaat sebaik mungkin. Dapat dirasakan ada perbezaan dalam diri sendiri, menjadi lebih patuh pada emak dan ayah serta lebih lembut dengan adik-adik. Jika sebelum berpisah dulu, suruhan emak dan ayah biasa sahaja dilanggar, adik-adik pula biasa sahaja dikasari, tetapi kini sudah tidak tergamak. Rasa tidak sanggup menyimpan memori yang tidak indah dalam hati kerana nanti bila kembali ke asrama ia akan selalu menghantui!
Sangkaku, apabila usia menginjak dewasa dan semakin serasi dengan rakan dan persekitaran, rindu pada keluarga akan pudar bersama masa. Oh tidak sekali-kali! Sehingga tamat pengajian tingkatan lima pun, rindu itu tetap setia menemani setiap masa dan ketika. Malah selama empat tahun di universiti pun masih memiliki rasa yang sama. Rindu yang sama. Air mata yang sama. Cuma mungkin sudah sedikit bijak mengawal dan menyembunyi emosi.
Kini, rindu sebegitu sudah bertukar menjadi rindu yang tidak akan padam untuk selama-lamanya. Rindu kini ialah pada masa lalu yang telah menjadi sejarah. Rindu pada manusia akan terubat tatkala mata bertentang mata, tetapi rindu pada masa silam, pada insan tersayang yang telah tiada, bagaimana mungkin terubat?
Hanya doa kukirim, moga tenang damai dan bahagia selamanya................
Jika menyentuh soal kolesterol, ramai yang berisiko berdepan dengannya tidak kiralah yang bertubuh kecil atau besar. Apatah lagi ketika musim perayaan Aidil Adha ini, pelbagai sajian enak berasaskan daging dan santan berpotensi menjadi penyumbang kepada peningkatan kolesterol dalam tubuh.
Justeru, anda haruslah bijak mengimbangi pemakanan dengan mengurangkan pengambilan makanan berminyak, berlemak, manis dan mengandungi kolesterol tinggi seperti udang, kerang, kacang, daging, santan, coklat dan gula. Perbanyakkan makanan yang mengandungi serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Antara jenis makanan yang boleh membantu menurunkan kadar kolesterol ialah:
Bawang putih - Ciri penyembuhan yang terdapat dalam bawang putih dapat membantu meningkatkan tenaga dan kekuatan tubuh anda. Ia turut membantu mengelakkan penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi. Minyak asas yang terkandung di dalamnya juga mempunyai kekuatan antibodi, antifungal dan antiviral.
Anggur - Kandungan mineral di dalam anggur dapat membantu menjaga kestabilan gula dalam darah. Ia mengandungi karotenoid dan likopen yang tinggi. Kandungan anti oksidan di dalam anggur mampu menjadi pelindung daripada radikal bebas penyebab penyakit degeneratif seperti jantung dan kanser.
Ikan - Ikan sememangnya kaya dengan omega-3 yang mampu membantu menurunkan paras kolesterol dalam tubuh. Omega-3 juga boleh mencegah pembentukan gumpalan darah di dalam pembuluh darah dan bermanfaat meredakan sakit arthritis, mengurangkan komplikasi asthma dan penting untuk perkembangan kanak-kanak.
Selain itu, tempe, epal, blueberry, avokado dan teh hijau juga mempunyai fungsi yang sama iaitu membantu menurunkan kadar kolesterol.