Saturday, December 05, 2009

Cerita lama...

Sewaktu saya dalam tahun dua pengajian di UKM, saya dan kawan-kawan saya yang di bawah tajaan MARA menerima berita gembira iaitu MARA telah membenarkan kami memohon pinjaman sejumlah RM6000 untuk pembelian komputer peribadi. Waktu itu, kebanyakan pelajar universiti hanya di bawah dua penaja utama sahaja iaitu MARA dan JPA. Kami rasa bertuah menjadi pelajar tajaan MARA kerana banyak kelebihan berbanding JPA.


Sekitar 1993, komputer peribadi tergolong ‘barang mewah’ yang hanya mampu dimiliki pelajar dari keluarga berada sahaja. Satu unit desktop PC waktu itu mencecah RM5000, dan jika berhasrat memiliki notebook, tentu sahaja RM6000 ke atas perlu disediakan. Apabila MARA membuka peluang sebegitu, tentu sekali berbondong-bondong pelajar tajaannya mengambil borang permohonan termasuklah saya.


Sebagai pelajar Fakulti Sains Matematik dan Komputer, saya banyak mengambil mata pelajaran Sains Komputer terutama pada tahun-tahun awal pengajian. Memang memiliki komputer sendiri akan memudahkan saya, tetapi hakikatnya saya tidaklah terlalu memerlukannya kerana fakulti saya mempunya beberapa buah makmal komputer untuk kegunaan pelajar yang boleh digunakan sehingga waktu malam. Jika hujung minggu, saya berpeluang menggunakan komputer di Kelab Komputer Kamsis Ungku Omar yang mana saya salah seorang AJKnya. Saya hampir tidak terasa pun saya ini tiada komputer peribadi kerana segalanya tersedia dengan lengkap dan mudah. Tambahan pula jarak antara hostel saya dan fakulti teramat dekat, hanya lima minit berjalan kaki. Bertuah saya ini sebenarnya, alhamdulillah!


Tetapi melihatkan semua sahabat mula mengisi borang, saya pun teruja juga. Apatah lagi pembekal-pembekal komputer mula berkampung di universiti kami mempromosikan pelbagai jenis komputer dari yang berjenama hinggalah ke komputer clone. Abang-abang promoter pula kacak-kacak bergaya belaka! Hehehe…


Kami (enam orang semuanya – saya, Opie, Kasma, Eton, Zila dan Tena) menunggu kelulusan permohonan dengan perasaan yang tidak sabar. Sudah terbayang-bayang nikmat memiliki komputer sendiri. Sudah ternampak-nampak meja komputer di penjuru bilik kami. Aduhai, seronoknya rasa di hati!


Rupa-rupanya, impian saya tidak kesampaian. Atas masalah teknikal, hanya dua orang dari kami – Opie dan Tena – yang diluluskan permohonan. Kami yang empat orang lagi terpaksa membetulkan balik borang kami berkali-kali hingga lunyai borang tersebut, namun kelulusan tetap tidak diberi. Hanya Tuhan yang tahu betapa kecewanya rasa hati dengan apa yang berlaku. Tetapi tidaklah sampai memudaratkan diri sendiri… Hanya memandang sayu komputer Opie dan Tena, rasa nak menangis pun ada juga. Tapi saya tabahkan hati, mungkin ada hikmah di sebalik semua ini.


Kini saya rasa lega kerana permohonan saya dahulu tidak diluluskan. Sekurang-kurangnya saya tidak dibebani dengan pembayaran balik pinjaman dan komputer itu tentu sudah tidak relevan lagi pada masa sekarang. Malah, saya sendiri sudah tiga kali membeli komputer peribadi dengan harga yang lebih murah dari RM6000 itu! Sememangnya apa yang menyedihkan saya pada waktu itu rupanya menjadi sesuatu yang saya syukuri pada waktu ini. Itulah kuasa Tuhan, dan moralnya, positiflah dalam menilai setiap kedukaan. Itu sekadar satu kisah yang terlalu kecil, tetapi ada pengajarannya.


Wallahua’lam.

1 comment:

  1. Alhamdulillah, you been saved by Allah, kerana gagal dlm permohonan. For me jadi mangsa sahabat in 1993, waktu kami in England, under MARA loan, and she applied n berjaya for computer loan tu, and kawan sebelajar boleh jd penjamin and i jadi one of her penjamin, bila grad 1996, Kerja n one day tetiba dpt salinan surat dr mara yg menunjukkan MARA Claimed rm6000/ tu x dibyr langsung.. huhuhu,

    ReplyDelete