Terperap di rumah sebenarnya amat membosankan. Tetapi ke sana ke mari juga meletihkan. Waktu sibuk bekerja, rasa ingin cuti sahaja. Apabila cuti tiba, bosan pula menguasai. Itulah manusia. Entah bila akan puas hati dengan diri sendiri…
Dua hari lepas, iaitu pada hari Isnin, suami membawa tujuh orang anak saudaranya memeriahi rumah kami. Jam 5.30 petang mereka tiba untuk bermalam di sini. Sebenarnya entah apa yang istimewanya dengan rumah saya ini saya sendiri pun tak pasti, tetapi pantang diajak, laju sahaja mereka menyudikan diri!
Sebagai sajian makan malam, saya masakkan sup ayam, ikan selar goreng, kangkung goreng dan telur dadar. Nampak berselera semuanya. Selesai makan, saya siapkan tempat tidur mereka pula. Satu bilik untuk empat orang anak gadis – Ain, Lisa, Yuni dan Lina. Satu bilik lagi untuk teruna tiga orang – Aiman, Joe dan Najmi. Mungkin rancangan tv tiada yang menarik malam ini, seawal jam 9.40 semua sudah ke bilik masing-masing.
Esoknya, saya masakkan mihun goreng untuk sarapan. Selesai sarapan mereka menonton tv seketika sebelum suami saya menyuruh mereka bersiap-siap untuk dihantar pulang pada jam 9.30 pagi.
Ibu mentua saya menyediakan juadah nasi dagang di rumahnya maka saya tak perlu masak tengah hari. Lepas zohor kami ke rumahnya dan alhamdulillah, kenyang dah! Balik rumah rehat sebentar, lepas Asar turun ke hospital RPZ pula, melawat seorang jiran yang diserang strok.
Ramai sungguh orang di hospital petang-petang macam ni. Nak dapatkan parking pun tiga empat kali pusing. Dalam setengah jam jugalah. Nak naik lif pun satu hal juga.. manusia berpusu-pusu. Memang sesak betul hospital kerajaan ini ya! Tentu para doktor, jururawat dan petugas-petugas hospital sentiasa kepenatan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Sungguh amat patut mereka dihargai. Kalau sesekali mereka berwajah masam, janganlah diambil hati…
Kami tiba di rumah sebaik azan maghrib. Rasa penat dan tak ada mood nak masak jadi ajak suami makan malam di luar saja. Selesai solat, kami ke Medan Selera Batu 4. Kami order tom yam campur, ayam goreng halia, kailan ikan masin, telur dadar dan fresh orange. Alhamdulillah, kenyang sudah… Makanan di restoran ini boleh tahan sedapnya, dan taklah mahal sangat. Menu yang kami ambil itu harganya cuma RM20 sahaja. Jika makan di restoran ternama, belum tentu dapat harga sebegitu untuk hidangan selazat itu, kan?
Hari ini, Rabu sudah… Hmmm. Sarapan pagi suami belikan dari gerai depan rumah. Untuk makan tengah hari saya masak sup ‘gear box’ dan kangkung goreng. Petang, lepak kat rumah emak sementara suami saya bermain futsal dengan rakan-rakannya. Sempatlah melayari internet dengan adik-adik kesayangan. Memang setiap kali pergi ke rumah emak, laptop dan broadband tak akan dilupa. Bukan apa, kesian dekat adik-adikku itu, rindu benar nak berfacebook! Hehehe… sejak telefon rumah emak sudah tidak berfungsi, mereka sentiasa mengharapkan kehadiran kakaknya ini bersama-sama dengan set jalur lebar.
Selesai bermain futsal, suami menjemput saya pulang. Untuk makan malam saya cuma masak ikan goreng sambal saja. Sup tadi masih ada. Tetapi suami saya pulang dari masjid selepas isya’ dengan perut yang kenyang. Katanya kawan belanja makan roti canai. Jadi saya makan malam seorang diri sajalah!
Dah banyak saya berceloteh yang entah apa-apa ni. Sekarang jam sudah dekat sebelas malam. Esok saya perlu hadir mesyuarat di SK Kamil, Pasir Puteh jam lapan pagi. Kenalah tidur awal sikit agar tidak mengantuk nanti.
Selamat malam.
No comments:
Post a Comment