Wednesday, December 23, 2009

Assalamualaikum

Aku mulakan dengan salam penuh kerinduan buat semua. Hampir dua minggu aku tidak menulisi blog ini, banyak yang ingin dikongsi rasanya. Tetapi tergantung jua pada keupayaanku menyelusuri kembali jejak-jejak semalam, andai mampu kuhitung satu persatu tanpa alpa, maka terisilah blog ini dengan cerita kenangan. Jika tidak... hmmmm!!!

Hari ini aku hampir selesai menanda kertas SPM. Hanya tinggal lagi tidak sampai dua puluh peratus dan insya allah akan dilunaskan sebelum Isnin menjelma. Rupa-rupanya semakin hampir tarikh penyerahan, semakin banyak perkara di luar jangka tiba. Mujurlah aku sempat 'beringat', jika tidak tentu saja kerjaku terbengkalai dan aku paling bimbang jika terpaksa bersengkang mata pada malam-malam terakhir nanti! Harap-harap peruntukan masa yang masih belum terhad ini tidak akan menjadi semakin suntuk. Insya Allah.

Cuti sekolah hanya berbaki tidak sampai dua minggu sahaja lagi. Adik-adikku juga sudah pulang ke tempat masing-masing. Rifqi sudah berada di Johor, Husna di Pulau Pinang dan Muhammad di Perak. Tinggal hanya Aziah di rumah ma, bertemankan Anis dan Ain yang berada di sini sejak Jumaat lalu. Ismah juga sudah berangkat ke UM malam tadi, dan Zahidah yang menemani Husna di Pulau Pinang akan pulang esok dan ke Pulau Pinang semula pada Ahad nanti.

Nampaknya aku sahaja yang tidak ke mana-mana.

Menjadi penghuni setia negeri Kelantan kesayanganku ini, adalah suatu anugerah yang amat aku syukuri. Biarlah orang lain bangga dan bahagia berhijrah ke serata pelosok dunia, aku tetap setia di sini. Di tanah tumpah darahku. Di negeri kebanggaanku. Di sisi ibu kesayanganku. Menemani suami setiap waktu. Membantu dan mendidik saudara sekampungku. Alhamdulillah.

Tahun 2009 juga bakal melabuhkan tirai dan aku berdoa semoga hadirnya 2010 nanti akan membawa seribu rahmat buat aku, keluargaku, negaraku, saudara seagamaku dan semua hamba Allah di mana jua mereka berada.

Usai dulu buat kali ini. Wassalam.

No comments:

Post a Comment