Thursday, December 31, 2009

Aku seorang Guru

Hari ini, jam 9.00 pagi mesyuarat guru kali pertama berlangsung. Seperti biasa, mesyuarat pertama ini banyak sekali agendanya dan membawa ke jam 1.15 petang. Segala perkara berkaitan tugas dan tanggungjawab guru diberi penekanan oleh Tuan Pengetua. Biarpun kebanyakan perkara sudah terlalu sering diulang-ulang namun ia amat perlu demi menjamin kualiti seorang guru.

Berbicara tentang kualiti seorang guru pada masa kini, bukanlah suatu yang indah. Zaman sudah berubah, ibu bapa sudah ramai yang berpelajaran tinggi. Jika dahulu guru dianggap tinggi dan tersohor, kini tidak lagi. Guru sudah begitu sering dihina dan dicerca. Jasa guru bukan lagi untuk dikenang. Tugas guru bukan lagi untuk dipandang. Guru hanya seorang kakitangan kerajaan yang bekerja untuk mendapat gaji bulanan. Guru hanya tahu menuntut itu dan ini, tanpa pernah mahu meningkatkan kualiti sendiri. Itulah persepsi masyarakat kini terhadap seorang guru. Sedih, bukan?

Biarlah apa yang masyarakat ingin kata. Mereka bukan guru. Mereka tidak berada pada tempat seorang guru berada. Mereka hanya nampak dari luaran sahaja. Biarkanlah mereka. Saya enggan peduli. Saya hanya ingin meneruskan tugas saya sebagai guru dengan tulus dan ikhlas. Jika masyarakat enggan memberi penghargaan, saya tidak peduli. Saya bukan hidup untuk menyenangkan hati semua orang....

Saya sudah menerima senarai tugas dan tanggungjawab saya untuk tahun 2010. Saya sudah bersedia memikulnya malah sudah tidak sabar melaksanakannya. Saya ingin memberi yang terbaik buat murid-murid saya kerana saya sayang pada mereka. Murid-murid saya ialah anak-anak saya. Tiada beza. Mereka tanggungjawab saya dan insya Allah, saya akan cuba untuk berkhidmat dengan sepenuh hati saya.

Semoga sesi baru ini menerbitkan sesuatu yang indah buat saya di penghujungnya nanti. Amin.

No comments:

Post a Comment