Tuesday, December 01, 2009

Himpunan rindu

Mengenal erti rindu.

Pertama kali berjauhan dengan keluarga seawal usia 13 tahun, seringkali airmata berderai-derai tatkala rindu menyentuh sanubari. Kala itu, wajah emak dan ayah sering menghiasi ruang mata terutama bila sunyi bersendirian di dalam bilik. Ternampak-nampak pula gelagat adik-adik yang masih kecil berlari dan berkejaran. Rasa nak balik sangat-sangat, rasa nak jumpa emak, ayah dan adik-adik dengan segera, tapi macam mana? Jangankan nak balik rumah, telefon rumah pun belum ada! Melihat rakan-rakan yang boleh menelefon apabila rindukan keluarga, rasa iri juga.

Maka terpendamlah segalanya di kalbu, penuh sendu dan pilu. Hanya tangisan mampu menjadi penawar sementara. Dalam usia sebegitu hanya rindu pada keluarga mampu dihitung. Rindu-rindu lain belum wujud lagi... Apabila berpeluang pulang bercuti, tentu sekali hati gembira tidak terkata. Bagai mendapat wang sejuta! Cuti dimanfaat sebaik mungkin. Dapat dirasakan ada perbezaan dalam diri sendiri, menjadi lebih patuh pada emak dan ayah serta lebih lembut dengan adik-adik. Jika sebelum berpisah dulu, suruhan emak dan ayah biasa sahaja dilanggar, adik-adik pula biasa sahaja dikasari, tetapi kini sudah tidak tergamak. Rasa tidak sanggup menyimpan memori yang tidak indah dalam hati kerana nanti bila kembali ke asrama ia akan selalu menghantui!

Sangkaku, apabila usia menginjak dewasa dan semakin serasi dengan rakan dan persekitaran, rindu pada keluarga akan pudar bersama masa. Oh tidak sekali-kali! Sehingga tamat pengajian tingkatan lima pun, rindu itu tetap setia menemani setiap masa dan ketika. Malah selama empat tahun di universiti pun masih memiliki rasa yang sama. Rindu yang sama. Air mata yang sama. Cuma mungkin sudah sedikit bijak mengawal dan menyembunyi emosi.

Kini, rindu sebegitu sudah bertukar menjadi rindu yang tidak akan padam untuk selama-lamanya. Rindu kini ialah pada masa lalu yang telah menjadi sejarah. Rindu pada manusia akan terubat tatkala mata bertentang mata, tetapi rindu pada masa silam, pada insan tersayang yang telah tiada, bagaimana mungkin terubat?

Hanya doa kukirim, moga tenang damai dan bahagia selamanya................

No comments:

Post a Comment