Thursday, December 10, 2009

Arghh!! Tensionkah aku?

Usai solat subuh, aku masuk dapur masak nasi dan panaskan lauk untuk makan tengah hari suamiku nanti. Hari ini akan bermula mesyuarat di SK Kamil 1, dan akan berlanjutan sehingga Sabtu ini. Mesyuarat bermula jam lapan pagi, dan aku agak akan selesai sekitar tiga petang. Jarak dari rumahku ke SK Kamil 1 lebih kurang 40 minit perjalanan. Selesai sarapan dengan secawan nescafe o dan empat keping biskut tawar, lebih kurang jam 7.12 pagi aku pun bertolak, dihantar suamiku tentunya..

Dek kerana tak biasa ke sana, kami terlajak hingga ke bandar Pasir Puteh. Terpaksa pusing balik dan mata ralit memfokus pada segala papan tanda mencari lokasi SK Kamil 1. Jam 7.58 sampailah kami ke sekolah tersebut, dan aku orang yang kedua tiba. Pelik juga, kenapa yang lain belum sampai? Rupanya semua terlajak ke bandar! Mungkin papan tanda ke SK Kamil perlu diletak di tempat yang lebih strategik bagi memudahkan orang-orang seperti kami ini mencari sasaran.

Mesyuarat berjalan lancar dan tamat seperti dijangka.

Lebih kurang jam 11 pagi aku menerima panggilan telefon dari sekolah aku - SMK Kg Chengal memaklumkan yang aku perlu hadir mesyuarat HEM pada Ahad 13hb Disember ini. Aku pelik juga, aku ini ada jawatan apa dalam jawatankuasa HEM? Katanya aku perlu menggantikan guru buku teks yang tidak dapat hadir mesyuarat kerana tiada dalam negeri pada hari tersebut. Apa persediaan aku? Bila pula nama aku termasuk dalam AJK Buku Teks? Hairan, tetapi aku tiada peluang bertanya atau membantah. Maka Ahad ini aku akan ke sekolah dengan perasaan yang pelbagai. Aduh!! Tensionkah aku?

Pulang ke rumah, baru aku sedar yang handphone aku masih dalam silent mode dan aku dapati ada tiga missed calls. Semuanya dari SMK Kg Chengal. Aku call semula dan kerani di situ memaklumkan aku perlu hadir mesyuarat kurikulum pada Isnin 14hb Disember. Terkejut lagi aku.. tapi aku memang maklum sebagai AJK Unit Peperiksaan aku perlu ke mesyuarat itu, cuma aku rasa tension sebab semua mesyuarat berturutan sebaik selesai mesyuarat di SK Kamil 1 ini. Maksudnya, aku hadir mesyuarat 5 hari berturut-turut termasuk Jumaat dan Sabtu! Itu belum lagi dikira masa yang ada untuk aku peruntukkan bagi menanda kertas SPM yang memang singkat, iaitu 15 hari sahaja akan menjadi lebih singkat kerana perlu hadir mesyuarat-mesyuarat itu. Aduh!! Tensionkah aku?


Pun, aku tidak wajar mengeluh apa lagi meletakkan diri dalam situasi tertekan. Sebagai guru aku harus cekap dalam pengurusan masa. Sebagai guru aku harus bersedia menerima apa-apa tugasan atau arahan dari pihak sekolah. Sebagai guru aku tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kerana itu janji aku sebelum aku diterima menjadi guru dahulu.

Tidak. Aku tidak tension!!

No comments:

Post a Comment