Friday, June 04, 2010

Catatan Diari Lama

Melayan sunyiku sebentar tadi, aku membelek diari lamaku. Seperti aku kembali semula ke waktu itu...


01hb. Jun 1996 - Isnin


Sebenarnya aku masih dalam kesamaran untuk mempercayai semua ini. Rasa suka benar untuk ke Kuala Terengganu tetapi sayu pula hendak tinggalkan keluarga.


Jam 5 pagi aku bangun, bersiap-siap dan jam 7 pagi aku bertolak dengan kereta ayah (KJ 3451) bersama-sama ma, Aziah, Ismah dan Zahidah. Perjalanan sungguh menyamankan kerana ayah mengambil jalan Penarik, melalui pesisiran pantai. Sungguh aku rasa rindu dan terkenang kembali perjalanan yang pernah kulalui dengan bas sepanjang 1985 - 1989 dahulu.

Lebih kurang jam 9.30 pagi, tibalah kami ke Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit. Pendaftaran sedikit kelam kabut dan aku kepenatan.

Ayah menghulur RM200 sebagai belanja aku dan dalam pukul 1.oo tengah hari, mereka pulang ke Batu 8.

Ada sesuatu yang agak misteri berlaku hari ini. Sewaktu aku mencari-cari namaku dalam senarai nama pelajar untuk mendaftar pagi tadi, aku terpandang satu nama yang pernah kudengari tetapi tidak pernah kukenali. Aku tercari-cari juga empunya nama tersebut, tetapi aku tidak pernah kenal orangnya, mana mungkin aku temui wajahnya! Hmm, aku biarkan sahaja nama itu berlalu...

Selesai pendaftaran kuliah, aku ke asrama untuk mendaftar asrama pula. Alangkah terkejutnya aku apabila nama yang aku lihat tadi ialah rakan sebilikku! Berderau juga darahku. Bimbang jika tidak mampu mengawal diri dan mula bertanya yang bukan-bukan persis seorang wartawan bila bertemunya nanti!

Bila aku ke bilik untuk meletak barang-barang, dia tiada. Aku turun untuk berjumpa ma, ayah dan adik-adik sebelum mereka pulang ke rumah. Selepas itu aku naik ke bilik semula dan kali ini dia ada. Demi terpandang wajahnya, aku rasa sayu. Dia seorang gadis yang sangat ayu dan bersopan santun, dan aku harus berdepan dengannya setiap hari di sini!

Semoga aku mampu mengawal diri.

Minggu Titian Mesra berlangsung sehingga 4 Julai. Sepanjang tempoh ini pelbagai aktiviti dijalankan dan sungguh memenatkan badan. aku malas hendak mencatat semuanya di sini! Yang aku tahu, tidurku tidak pernah cukup, hanya 3-4 jam sahaja setiap malam. Asyik mengantuk dan pening kepala...

Itu catatan peribadi yang terakam kemas di helaian diari 1996 ku. 14 tahun sudah berlalu, segalanya sudah jadi kenangan. Semoga kenangan ini mampu menerbitkan rasa bahagia buat aku setiap kali aku mengenangnya.


No comments:

Post a Comment