Wednesday, June 02, 2010

Aku bukan wanita biasa

Seorang wanita biasanya gemar memasak. Jika berkumpul sesama mereka, tentu sekali pelbagai resepi akan dikongsi. Pelbagai petua akan turut diberi untuk menyedapkan masakan. Masa luang di rumah akan dipenuhi dengan mencuba resepi-resepi baru buat santapan ahli keluarga. Apabila suami dan anak-anak gembira dan seronok menikmati hidangan air tangannya, kepuasan di hati hanya Tuhan yang tahu.

Seorang wanita normal juga gemarkan gubahan dan hiasan. Jika menatap majalah berkaitan hiasan dalaman, tentu sekali berjam-jam dibelek dan dikeleknya. Semua isi majalah itu amat memberi manfaat dan bakal diaplikasi di kediamannya. Di mana bakal diletakkan meja konsul, di mana pula tempat gubahan bunga yang besar dan sesuaikah cermin hiasan dipadan dengan sofa gaya Inggeris? Oh, indahnya menatap rumah hasil tatarias sendiri. Sungguh menenangkan!

Seorang wanita yang bernama perempuan gemar sekali menjahit dan mengikut perkembangan fesyen terkini. Setakat baju kurung kain susun, itu amat ketinggalan. Fesyen terbaru akan jadi ikutan dan berasa bangga bila diberi pujian betapa cocok tubuhnya dibalut gaya terkini sebegitu. Manik dan sulaman tebal di setiap helaian baju, tidak ketinggalan bunga tudung rekaan eksklusif yang ditempah pereka tersohor.

Seorang wanita juga amat gemar melihat pokok-pokok bunga yang mekar mengharum tidak kira di mana jua. Semua jenis pokok bunga dikenali, malah yang gemar berkebun akan menanam dan menjaga sendiri bunga-bunganya. Dia akan tenang diulit keindahan pohon-pohon bunga yang berwarna warni dan harum wangi itu.

Seorang wanita biasa akan berasa berharga apabila disalut dengan emas intan berlian. Apatah lagi jika ia hadiah dari orang tersayang. Jika mendapat durian runtuh, tentunya wang itu akan bertukar menjadi gelang, cincin dan rantai. Alangkah bahagia hati wanita dihargai sedemikian! Harga bukan halangan, kerana nilai emas tidak akan luput ditelan masa.

Terkecualikah aku daripada semua itu?

Daripada memasak, aku lebih gemar membaca dan menulis.

Daripada majalah hiasan dalaman, aku lebih suka majalah berkaitan kehidupan dan pengetahuan juga isu semasa.

Daripada menjahit, aku lebih mudah membeli atau mengupah sahaja segala pakaian aku.

Daripada menanam bunga, aku lebih santai melayari internet.

Daripada membeli emas intan berlian, aku lebih seronok menyimpan di bank.

Oh... aku ini bukan wanita biasa!!!

Cuma satu perkara yang memberi keyakinan pada aku yang aku ini tetap seorang wanita. Apa dia?

Terlalu mudah menangis!!

Rupanya, aku masih lagi wanita biasa.

Alhamdulillah.


No comments:

Post a Comment