Monday, June 07, 2010

Kidal

Saya dilahirkan kidal. Saya tidak berapa pasti berapa ramai penduduk dunia yang kidal tetapi daripada apa yang pernah saya baca, golongan kami ini tidak sampai pun 10% dalam dunia ini dan jelas, kami adalah minoriti.

Sewaktu kecil dahulu, semua perkara saya lakukan dengan tangan kiri termasuklah makan. Berkali-kali emak dan ayah menegaskan tidak baik makan dengan tangan kiri tetapi saya sangat kekok menggunakan tangan kanan. Nasi akan berterabur, malah untuk membawa tangan kanan ke mulut pun terkial-kial. Memang waktu itu saya tidak mampu menggunakan tangan kanan dengan baik, jadi saya teruskan sahaja makan dengan tangan kiri. Sehinggalah saya masuk darjah satu, saya mula rasa malu apabila melihat rakan-rakan saya semua menggunakan tangan kanan untuk makan. Saya memaksa diri saya untuk makan dengan tangan kanan, dan saya berjaya.

Tetapi apabila makan menggunakan sudu, saya masih kekok hingga sekarang. Mencedok mi atau bihun dengan memegang sudu di tangan kanan amat sukar. Mi atau bihun itu enggan masuk sempurna ke sudu saya! Kesudahannya, saya gunakan juga tangan kiri apabila makan dengan sudu.

Sebentar tadi, saya terbaca tentang kemarahan Nabi SAW tentang alasan-alasan menyuap makanan ke mulut dengan tangan kiri. Hanya yang kudung kanan sahaja beroleh pengecualian! Makanya, saya akan cuba untuk melatih diri menggunakan tangan kanan bila menyuap makanan terutama apabila menggunakan sudu. Harap-harapnya saya berjaya.

Sebenarnya, apabila kita dilahirkan kidal kita terpaksa berhempas pulas untuk menyesuaikan diri dalam dunia yang dipenuhi dengan orang-orang bukan kidal. Banyak sungguh benda-benda yang dicipta dan direka tidak mengambil kira langsung golongan kami. Contoh mudah, gunting kain. Alangkah sakitnya tangan saya setiap kali menggunting kain kerana gunting itu dibentuk sedemikian rupa untuk keselesaan golongan tangan kanan. Kami yang kidal langsung tiada pilihan.

Sewaktu di universiti, apabila kelas tutorial sahaja saya akan mengambil dua buah kerusi untuk kegunaan saya. Tahu mengapa? Kerana kerusi itu ialah 'flip chair' yang direka untuk golongan tangan kanan. Seksanya saya menggunakan kerusi itu untuk menulis, jadi jalan penyelesaiannya, saya letakkan sebuah lagi 'flip chair' di sebelah kiri saya dan saya menulis menggunakan kerusi itu. Hmmm...

Banyak lagi alatan dalam dunia ini yang sangat menyusahkan kami. Jika di dapur, pembuka tin dan pisau buah langsung tak mampu saya gunakan. Sudip yang serong itu juga menyusahkan saya menggoreng ikan! Dulu, menggunakan tetikus komputer sangat sukar buat saya. Saya rasa ingin tukar sahaja kedudukan tetikus itu ke sebelah kiri! Tapi sekarang saya sudah mampu menyesuaikan diri.

Apa pun, kami tetap mampu meneruskan hidup dengan baik dan cemerlang dalam dunia yang tidak pernah mahu memahami kesukaran kami. Kami yang terpaksa menyesuaikan diri dengan dunia maka tentunya kami tergolong dalam golongan beruntung, kerana tidak sesat dan sulit dalam apa situasi pun.

Bersyukurlah saya menjadi kidal!

No comments:

Post a Comment