Saturday, June 05, 2010

Malaysiaku

Sewaktu sekolah rendah dulu, saya iri dengan rakan-rakan yang dapat bercuti ke serata pelosok negara. Saya tidak berpeluang langsung untuk keluar dari sempadan negeri Kelantan, dan menikmati keindahan negeri-negeri lain di Malaysia.

Sehinggalah 7 Januari 1985 - dua hari sebelum hari jadi saya yang ketiga belas - saya dan ayah menaiki bas untuk pendaftaran pelajar tingkatan satu di MRSM Kuala Terengganu. Sebaik sahaja bas melepasi sempadan Pasir Puteh dan memasuki Besut, maka rasmilah saya sudah mengeluarkan diri dari negeri Kelantan buat pertama kalinya!

Selama lima tahun berikutnya, saya hanya berulang alik dari Kelantan dan Terengganu sahaja. Belum ada peluang lagi untuk melawat negeri-negeri lain. Hai... sungguh saya ini sangat ketinggalan rupanya!

1990, saya diterima masuk ke pusat matrikulasi MARA di Kulim, Kedah. Maka, Kedah ialah negeri kedua saya lawati (juga menetap) selepas Terengganu. Selama di Kulim, saya kerap juga ke Bukit Mertajam, Butterworth dan pernah sekali sampai di Georgetown bersama teman sekuliah. Maknanya, Pulau Pinang menjadi negeri ketiga di Malaysia yang saya jejaki. Seterusnya saya ke Kuala Perlis dan Pulau Langkawi bersama keluarga pada akhir 1990.

Hmm, baru empat negeri sahaja. Usia sudah menghampiri 20 tahun.

1991, saya sambung tahun kedua matrikulasi di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Seterusnya ke UKM Bangi pada 1992. Selama di UKM, saya sempat berjalan-jalan ke Melaka dan Johor (menghadiri majlis perkahwinan rakan sefakulti). Di Melaka saya balik hari, tetapi di Johor (Pontian) saya berada di sana selama tiga hari.

Tamat pengajian di UKM, saya ke Terengganu semula untuk kursus KPLI. Apabila penempatan diumumkan, saya ditempatkan di Sabah. Saya sempatlah berada di sana selama dua hari sebelum pulang dan menunggu penempatan seterusnya, iaitu di Pahang.

Hmmm, dah sembilan negeri dah. Ada lagi dua sahaja iaitu Perak dan Sarawak. Perlis tu dikira sudah sampailah semasa menunggu feri ke Langkawi dulu.

Sebenarnya negeri Perak dah banyak kali saya masuk kerana perjalanan bas ke Kulim dulu melalui Grik. Bas selalunya akan berhenti di Grik untuk makan-makan. Tetapi secara formalnya, saya masuk dan bermalam di Perak ialah pada 2005, iaitu di rumah Aziah di Teluk Intan selama satu malam.

Akhir sekali, negeri Sarawak. Saya dan suami menghantar adik ipar ke Miri pada Januari 2008. Pada Mei 2008 pula, saya dan suami bercuti di Perlis selama sehari dan ke Langkawi selama dua hari.

Maka lengkaplah seluruh negeri di Malaysia ini telah saya jejaki. Walaupun masih banyak tempat yang belum saya sampai, tetapi secara umumnya semua negeri dalam Malaysia ini sudah pun menerima kehadiran saya. Sempurnalah saya sebagai rakyat Malaysia.... ehehe!!!!

No comments:

Post a Comment