Friday, June 17, 2011

Dia yang istimewa

Dia punya tempat yang istimewa di hati saya. Dia banyak memberi inspirasi dan dorongan dalam hidup saya, sejak usia saya yang masih mentah dan belum mengerti apa-apa. Dia tidak pernah jemu mendoakan kami adik beradik menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Dialah ayah, yang telah tiada di dunia ini, yang hanya berkesempatan bersama saya setakat usia saya 28 tahun cuma.

Saya selalu rindu ayah. Rindu yang sungguh-sungguh. Saya tidak sempat untuk bersama-sama ayah pada waktu-waktu senang saya. Ya, waktu-waktu ini.

Dulu, ayah banyak membantu saya. Saya masih ingat sewaktu saya di tingkatan lima, saya beritahu ayah saya mahu wang saku sebanyak RM50 sebulan. Ayah tidak banyak soal. Setiap bulan ayah tidak pernah gagal memberi wang sebanyak itu kepada saya, pada hal saya sudah punya bantuan wang saku dari MARA sebanyak RM30 sebulan, dan makan minum saya percuma. Tentu sahaja jumlah itu agak banyak, tetapi ayah tidak pernah berkisah. Pun saya juga tidak pernah mensesiakan pemberian ayah kerana saya pastikan saya menggunakan wang itu sebaik mungkin. Saya tahu adik-adik saya masih ramai dan gaji ayah tidaklah sebesar mana. Lalu saya tidak pernah meminta-minta perkara lain seperti buku rujukan atau kasut sekolah kerana saya akan gunakan wang pemberian ayah untuk perkara-perkara sebegitu.

Bila saya berjaya ke universiti, saya mendapat biasiswa MARA dan saya mula belajar berjimat cermat kerana banyak mana sangatlah wang biasiswa itu setelah ditolak yuran pengajian dan yuran asrama. Selalunya ia cuma berbaki lebih kurang RM1200 untuk digunakan selama empat hingga lima bulan pengajian. Itu belum lagi dikira buku-buku rujukan yang perlu dibeli. Seringkali, setiap hujung semester saya akan kekeringan wang. Dan tentunya ayahlah tempat saya mengadu. Dia tidak pernah berkira, berapa yang saya minta itulah yang dia beri.

Sewaktu di KPLI pula, selepas tiga bulan menanti, rakan-rakan saya bersorak riang apabila wang elaun diperoleh (sebanyak RM500 sebulan), namun akaun saya masih sifar. Rupa-rupanya nama saya tercicir atas kesilapan pembantu tadbir. Terpaksalah saya menunggu selama dua bulan lagi sebelum menerima wang tersebut. Bayangkan betapa sengsaranya saya meneruskan pengajian tanpa wang belanja. Ayah jugalah tempat saya memohon simpati. Dalam esak tangis saya memberitahu nasib saya padanya, tapi ayah hanya senyum dan ketawa. Katanya jangan bimbang, ayah akan uruskan.

Dalam hati saya berazam, apabila saya bekerja nanti, saya akan membantu ayah. Saya akan berikan ayah apa yang ayah tidak pernah miliki selama membesarkan kami. Saya ingin hadiahkan ayah komputer peribadi, kerana ayah gemar dan pandai menggunakan komputer. Saya ingin beli telefon bimbit untuk ayah supaya dia senang menghubungi anak-anak dan sanak saudaranya. Saya juga berhasrat membantu ayah mencukupkan simpanannya di Tabung Haji, dan membolehkan ayah dan emak menunaikan fardu Haji ke Mekah. Itu cita-cita saya kerana jasa ayah dan emak sangat besar dalam memastikan saya mengecapi apa yang saya miliki kini.

Malangnya, sebaik sahaja saya berjaya menjawat jawatan idaman saya sebagai guru, ayah disahkan menghidap kanser. Tidak lama, ayah pulang menghadap penciptanya. Saya benar-benar terkilan. Saya tidak sempat memenuhi impian saya untuk membalas budi ayah.

Yang ada di sisi saya kini hanyalah emak, abang dan adik-adik. Alhamdulillah, emak sudah selamat menunaikan haji ke Mekah tiga tahun selepas ayah tiada. Sekarang, emaklah tempat bermanja dan mengadu masalah. Emaklah pengganti ayah. Kecekalan emak mengharung hidup sebagai ibu tunggal, membesar dan menyekolahkan empat orang adik saya (yang masih belajar sewaktu ayah pergi meninggalkan kami) tanpa pernah menyesali takdir, amat saya kagumi.

Emak juga kental semangatnya, sama seperti ayah.

Saya bersyukur, walaupun ayah telah tiada, saya masih punya emak. Saya akan tetap menyumbang bakti semampu saya terhadap emak selagi nyawa di badan. Saya mahu emak gembira meniti hari-hari tua, dikelilingi anak-anaknya walaupun rindu kami pada ayah tidak akan mampu terungkap dengan kata-kata.

Selamat hari bapa buat arwah ayah. Kami doakan ayah bahagia dalam rahmat dan kasih sayang-Nya.

No comments:

Post a Comment