Monday, June 20, 2011

Suatu Pagi Yang Sendu

Hari ini saya seperti biasa, memiliki perasaan berkobar-kobar untuk mengajar para pelajar kesayangan saya yang semuanya saya anggap sebagai amanah yang tidak wajar saya remehkan.

Jam 7.30 pagi, para pelajar berhimpun di dataran perhimpunan untuk taklimat pagi yang selalunya cuma 10 minit. Tetapi hari ini agak panjang kerana ramai pula guru yang ingin berpesan-pesan. Lalu ia berlanjutan ke jam 7.55 pagi.

Saya sampai di kelas saya (tingkatan empat) tepat jam 8.00. Hari ini saya merancang untuk menghabiskan perbincangan soalan peperiksaan baru-baru ini, tetapi sebelum itu saya ingin menyemak kerja rumah yang saya berikan semalam. Cuma dua soalan mudah, yang saya sangat pasti pelajar saya boleh menjawabnya tanpa banyak masalah.

Hati saya bagai disiat-siat apabila hanya dua orang pelajar sahaja yang menyiapkan kerja rumah itu, sedangkan 20 orang lagi membiarkan ia tidak berusik! Sakit benar hati saya, tidak terucap dengan kata-kata. Mereka benar-benar menaikkan darah saya.

Saya arahkan kipas ditutup, dan semua pelajar berdiri di atas kerusi, kecuali dua orang yang menyiapkan latihan itu. Mereka berdiri dalam kepanasan. Saya tidak mengajar langsung kerana mood saya telah hancur. Saya biarkan mereka berdiri sehingga kelas saya tamat. Untuk lebih 'happening', saya rakam beberapa keping gambar dan masukkan dalam facebook untuk tatapan orang ramai.

Entahlah. Saya kadang-kadang mati akal untuk bertindak memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar yang saya kategorikan sebagai malas ini. Mereka tidak langsung punya keinginan untuk meningkatkan diri sendiri. Kadang-kadang saya rasa saya ini sangat bodoh, mengajar orang yang tidak mahu belajar.

Mungkin bagi orang yang tidak berdiri sebagai guru, situasi ini dianggap perkara biasa. Pun, bagi saya, setelah berbuih-buih mulut memberi nasihat, setelah serak suara bercerita tentang contoh dan teladan, mereka masih enggan berubah, nasihat saya yang terakhir ialah berhenti sekolah! Tak payah belajar kalau malas, tak payah menyusahkan mak bapak mencari duit belanja kalau tak pernah mahu berubah. Hiduplah sebagai orang yang tidak berilmu jika itu lebih mulia bagi anda!


No comments:

Post a Comment