Wednesday, February 29, 2012

Kerja vs Kerja


Saya sangat letih. Pulang dari sekolah semalam, tidak semena-mena saya demam. Terasa benar beban di bahu telah menjalar meracuni urat dan saraf saya. Sungguh, saya letih!

Jika ikutkan hati, saya ingin sekali menjadi suri rumah sepenuh masa yang punya bibik untuk diarah itu dan ini. Ingin sekali saya memanjakan diri dengan pelbagai hobi - dari membaca hingga ke membeli belah - tanpa sebarang kekangan. Ingin juga saya bersantai dan berehat di mana-mana sahaja yang saya suka. Ya, saya ingin sekali!

Namun, wujudkah manusia seperti itu di muka bumi ini? Manusia yang tidak perlu berfikir tentang tanggungjawab. Manusia yang digelar ' Lady of Leisure'. Wujudkah?

Jika saya tidak bekerja, siapakah yang sudi menghulur saya sejumlah RM4600 setiap bulan? Memang ia tidaklah sebanyak mana, tetapi tanpa RM itu saya tentu hidup tidak keruan. Dunia masa kini, walaupun wang bukanlah segala-galanya tetapi yang pasti segala-galanya memerlukan wang.

Dan, bila saya bekerja, bebannya kadangkala di luar kemampuan saya. Bukan selalu, tetapi sentiasa sahaja saya berasa diri saya gagal menyusun atur segala tugas yang diberi dengan sistematik. Minggu ini, ia sangat bercelaru!

Selain daripada tugas asasi saya mengajar mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan Tingkatan 4 dan 5 (24 masa seminggu), saya juga perlu menyiapkan senarai program kecemerlangan yang dirancang pihak sekolah untuk diedar kepada ibu bapa pada Majlis Rundingcara Khamis nanti. Pada masa yang sama, soalan peperiksaan Matematik Tingkatan Lima juga mesti saya selesaikan kerana ia bakal berlangsung Ahad ini. Lagi, saya perlu membuat pelaporan tentang program Kelas Permata yang tamat hari ini. Bukan itu sahaja, saya perlu siapkan jadual kelas tambahan semasa cuti nanti, secepat mungkin. Semua itu perlu selesai dalam minggu ini.

Dan, semua perkara itu melibatkan ramai manusia yang pelbagai cerita. Saya perlu berurusan dengan semuanya sebaik mungkin, tanpa sedikit pun garis kelat di wajah, kerana saya ini profesional. Aduh!

Mujur pagi ini, saya bangun dari tidur dengan penuh bersemangat. Demam saya semalam sudah hilang. Saya melangkah ke sekolah dengan tekad untuk menyiapkan segala-galanya itu hari ini juga. Semoga Allah mengizinkan.. Amin.

3 comments:

  1. Memang dunia tempat untuk bekerja.. semoga akhirat sana tempat untuk kita berehat setenang-tenangnya.

    ReplyDelete
  2. Kak Tie, ambil lah cuti sebulan, atau beberapa hari untuk restore semangat dan tenaga. Mungkin itu membantu.

    Kalau bekerja dgn manusia, memang perlu profesional.Tetapi,kalau manusia yang jenis tidak kena dengan hukum sivik,cara profesional berhadapan dgn mereka ialah mengajar mereka. Jangan membiarkan sehingga kita yang sakit dipijak, itu bukan profesional. =)

    Selamat berbakti..

    ReplyDelete
  3. Cadangan Dah tu memang baik... tapi rasanya setakat ini kak ti masih mampu meneruskan tugas. Biasalah, ada waktu2 nya ingin berkongsi rasa apabila jiwa bagai terdera tetapi alhamdulillah, minggu ini kak ti rasa lebih lega. tugas dah banyak yang settle, dan budak2 pun tengah exam. Relax lah sikit rasanya...

    ReplyDelete