Hujung minggu tiba lagi. Bagi wanita bekerja seperti saya, hujung minggu sesungguhnya sangat dinanti untuk dinikmati. Lima hari berhadapan dengan pelbagai karenah pelajar dan timbunan tugas-tugas yang belum selesai, tentu sekali rehat dua hari amat bermakna. Alhamdulillah, saya amat menghargainya.
Pagi Jumaat yang mulia, bersamaan 14 Ramadan 1433H saya dan suami keluar untuk membeli belah barangan dapur. Kami berhasrat untuk ke Pasaraya DZ, tetapi hasrat kami terbantu apabila melihat manusia yang teramat ramai di situ hingga untuk meletak kereta pun tiada ruang. Terkejut juga, baru 14 Ramadan dan jam pula baru 10.00 pagi, tetapi DZ sedang menerima pengunjung yang sebegitu ramai. Lalu kami berpatah balik dan singgah di Pasaraya PKT yang agak lengang. Berbelanjalah saya dan suami di situ, sekadar yang perlu.
Seterusnya, kami menuju ke rumah mek dan ma untuk menziarah mereka seketika. Suami saya mempelawa mek berbuka bersama kami petang nanti, dan dia bersetuju. Dia minta suami datang menjemputnya selepas Asar nanti.
Pulang ke rumah, saya mengemas di dapur, merebus kerang, menggosok baju dan menyiapkan bilik untuk mek.
Jam 3.55 petang, saya dan suami ke pasar Ramadan di pekan Ketereh untuk membeli juadah berbuka. Nampaknya, sejak 1 Ramadan hinggalah hari ini, saya belum lagi memasak sendiri! Hari ini kami beli sup perut, ayam percik, sayur lemak keladi dan ikan bakar air asam. Sekeping murtabak dan sebungkus agar-agar juga turut dibeli untuk santapan selepas tarawih.
Jam 4.50 petang saya menerima SMS daripada Aisyah Humaira', anak saudara saya yang manis itu menggunakan handphone ibunya.
"Umi, ni Aisyah. Umi tak datang rumah tokma ke? Aisyah ada dekat rumah tokma"
Rupanya Abang Lutfi sekeluarga ada di rumah ma! Tak perasan pula saya sewaktu singgah rumah ma pagi tadi.
Jam 5.15 petang, kami turun ke rumah mek. Saya ke rumah ma sekejap untuk bertemu Aisyah, Afnan, Ain dan Anis. Sayang sekali tak dapat berlama-lama kerana mek sedang menunggu untuk ke rumah saya. Saya turun ke rumah mek, bersama-sama tiga biji solok lada pemberian ma.
Juadah berbuka kami hari ini. |
Di rumah, saya cuma panaskan lauk, jerang nasi dan membancuh air (kelapa muda dari pokok di kebun kami). Alhamdulillah, kami selamat berbuka dengan penuh kesyukuran atas rezeki dari Allah untuk kami hari ini.
Sahur pula, saya masak gulai telur itik, ikan tenggiri goreng dan sayur bayam goreng campur ikan bilis.
Pagi Sabtu, 15 Ramadan. Jam 8.35 pagi kami hantar mek pulang, dan kami teruskan perjalanan ke bandar Kota Bharu. Destinasi pertama kami ialah kedai kain Laila Rawas. Di situ, suami saya membeli baju melayu dan kain pelekat untuk kelengkapan hari rayanya. Sekitar jam 10 pagi, kami bergerak ke KB Mall pula.
Di KB Mall, kami menuju ke kiosk handphone. Dalam minda saya, Sony Ericsson Xperia Ray akan saya hadiahkan kepada suami saya untuk menggantikan SE C902 nya yang sudah usang itu.
Rupa-rupanya, pilihan suami saya ialah Sony Ericsson Xperia Neo V, yang berharga RM709. Ya, ia lebih baik daripada Xperia Ray yang kelihatan sangat kecil. Selain telefon, saya turut membeli tiga buah majalah (Anis, Harmoni dan Keluarga) dan surat khabar Berita Harian untuk santapan minda kali ini.
Pulang dari KB Mall, kami singgah di G-Orange untuk membeli set kipas siling bagi menggantikan kipas siling ruang tamu kami yang sudah setahun rosak. Dengan harga RM218, kami pulang bersama-sama set kipas baru itu ke rumah.
Di rumah, saya hanya berehat sementara basuhan baju disiapkan oleh mesin basuh Toshiba saya. Telefon baru masih belum sempat saya terokai kerana ia perlu dicaj terlebih dahulu.
Seperti biasa, juada petang ini dibeli di pasar Ramadan. Suami saya keluar bersama dua orang rakannya ke Pasar Ramadan Peringat selepas Asar. Dia membawa pulang sebungkus sup perut (lagi?), seekor ikan percik dan ayam kampung gulai juga air lai ci kang.
Semoga Allah memberkati hari-hari kami ini. Amin.
Telefon baru untuk suami saya |
No comments:
Post a Comment