Tiada lagi rasa teruja dalam diri untuk menyambut hari raya. Usia yang setua ini sudah tidak layak untuk mempunyai rasa itu. Hari raya bagi seorang wanita seperti saya cumalah satu hari daripada hari-hari yang mesti dilalui. Jika pun berbeza, kerana pada hari ini saya bersyukur pada Allah yang telah memberi keupayaan untuk saya menyelesaikan puasa Ramadan yang menjadi kewajipan. Juga kerana Dia masih memberi peluang untuk saya menghirup udara aidilfitri di sisi keluarga tercinta. Selebihnya, hanyalah kenangan. Baju baru, ketupat rendang, duit raya, rancangan tv, hanyalah kenangan.
Saya enggan tenggelam dalam semua itu.
Biarkan saya merayakan hari mulia ini dengan cara saya sendiri. Tanpa baju baru, saya masih mampu tersenyum. Tanpa ketupat rendang, rumah saya masih ada pengunjungnya. Dan duit raya, hanya sekadar menyukakan hati kanak-kanak dan ahli keluarga. Rancangan raya di tv? Saya tidak pernah ambil tahu.
Saya masih begini-begini juga.
Tamat raya nanti, saya akan kembali mencari diri sendiri dengan terus berusaha menjadi hamba Allah yang berguna. Yang hidup untuk memberi, bukan hanya menerima. Yang hidup untuk berbakti, dan bersedia untuk segala kemungkinan di dunia.
Kerana sesungguhnya, dunia ini fana.
No comments:
Post a Comment