Hari raya.
Seluruh umat Islam meraikan hari bahagia ini dengan bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan kunjung mengunjungi. Inilah ketikanya untuk mengeratkan kembali persaudaraan dan ikatan persahabatan.
Raya pertama, 19 Ogos 2012. Hari Ahad.
Selesai menjamah sepiring mihun goreng dan sedikit teh, saya dan suami bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat Aidilfitri. Jam 7.50 pagi kami turun, bersama sedikit nasi himpit dan rendang untuk diberi kepada ibu dan ibu mentua di seberang jalan sana. Jam 8.00, kami tiba di rumah mek. Mek masih bersiap, dan kami sabar menunggu.
Sekitar 8.25 pagi, kami bertiga menuju ke masjid. Sebelum itu, kami bersalam-salaman memohon kemaafan.
Selesai solat, jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Kami terus pulang ke rumah mek. Di situ, saya dan suami menziarah satu persatu rumah ahli keluarga berdekatan sambil menghulur duit raya untuk 15 orang anak saudara. Akhir sekali barulah kami menuju ke rumah ma, ibu saya.
Sebenarnya, saya mengharap untuk berada lama sedikit di rumah ma tetapi suami saya mengajak saya ke rumah abang, ibu dan bapa saudaranya pula. Mood saya sedikit terganggu. Dalam hati berkata, "tak menyempat-nyempat!!" tetapi tak terzahir di bibir. Saya cuma melangkah menurut arahan...
Sebaik selesai mengunjungi ketiga-tiga buah rumah itu, saya memohon agar suami menghantar saya semula ke rumah ma dan menjemput saya pulang selepas dia bersolat zohor nanti. Dia menurut sahaja.
Di rumah ma, hanya Ismah, Zahidah, Aziah, Husna dan anak-anaknya yang ada. Yang lain keluar ke Pasir Mas dan Rantau Panjang untuk beraya bersama saudara-saudara di sana. Tak mengapalah, yang penting saya dapat bersembang dan makan-makan di rumah ma.
Anak sepupu saya, Raniah dan keluarga tiba tidak lama kemudian. Lama sungguh kami tidak berjumpa, rasanya lebih lima tahun! Dia kelihatan ceria dan bahagia, dan masih peramah seperti dahulu.
Jam 2.00 petang, saya pulang ke rumah dijemput suami.
Dan kini, masanya untuk saya menunggu dan melayan tetamu pula. Yang pertama tiba, tentulah kanak-kanak sekitar kampung saya. Mereka datang berkumpulan dan hanya menjamah sedikit kuih dan minuman. Apabila diberi duit raya, mereka pulang dengan senyuman.
Seterusnya, beberapa orang anak murid suami saya dan juga bapa saudara saya, Pak Su Soh dan keluarga. Tiada hidangan istimewa, hanya kuih biasa-biasa sahaja.
Malam pula, saya berehat sepenuhnya. Jam 10 saya sudah lena.
No comments:
Post a Comment