Andai masa mampu diputar kembali, saat bersama-sama mengharung usia remaja pada alam persekolahan pasti diulang berkali-kali. Alam yang indahnya tersendiri. Dalam tawa ada dukanya, dalam riuh ada sepinya tetapi kenangan tetap dibawa bersama sampai bila-bila. Kami bukan sekadar teman sekelas, tetapi juga seasrama, sebilik malah tidur sebantal dan berkongsi banyak perkara, banyak rahsia.Ya, kami akrab sungguh kerana jalinan rasa itu berbeza sekali apabila jauh daripada ibu bapa dan keluarga.
Azlin Ruzaini (berdiri di belakang), Suriani, Reena Adne, saya dan Siti Fadzilah. Masing-masing punya cerita sendiri sebagai sahabat yang banyak berkongsi.
Azlin a.k.a Elin paling lama saya rapati. Dari tingkatan satu hingga tingkatan empat kami sekelas. Pelbagai rasa kami kongsi bersama tanpa sebarang rahsia. Hinggalah kami terpisah apabila masing-masing memilih universiti yang berbeza sebaik tamat SPM..
Suriani pula, teman seasrama saya sewaktu tingkatan empat. Pada tahun itu kami menjadi rapat dan sering berkumpul bersama-sama sambil bercerita dan bergelak ketawa. Kelas yang berbeza mengundang cerita yang banyak untuk dikongsi. Apabila tamat SPM, kami berpisah juga...
Reena saya kenali sejak tingkatan satu lagi tetapi hanya menjadi rapat apabila seasrama pada tingkatan lima. Di Kenanga, kami sering ke sana ke mari berdua dan saya lupa langsung tentang statusnya sebagai anak seorang doktor. Dia sangat humble, dan saya menyenanginya.
Siti Fadzilah a.k.a Edi pula rakan sekelas saya sewaktu tingkatan lima. Dia juga seorang ahli Badan Wakil Pelajar yang sangat berwibawa. Walaupun hanya sekelas pada setahun itu sahajalah, namun kemesraan tetap berbunga semekarnya. Saya sangat menyayangi dan berasa bangga menjadi pelajar tingkatan 5 Ibnu Rushdi (dikenali sebagai 5 I sahaja) kerana kelas kami sentiasa menjadi bualan ramai dek pelbagai perkara.
Aduhai, telah 23 tahun kami tinggalkan daerah penuh bersejarah itu. Telah 23 tahun kami halakan tujuan kami ke sisi yang berbeza. Elin dan Edi menjadi akauntan, Suriani seorang auditor bank, Reena pula membuka perniagaan farmasi dan saya seorang guru. Bidang berbeza, namun hati tetap sama. Elin dan Edi masing-masing memiliki 3 orang cahaya mata, Reena pula baru melahirkan seorang putera yang comel, anak keempatnya. Saya masih belum memiliki cahaya mata dan Suriani pula masih belum dimiliki. Takdir tertulis nian berbeza, namun hikmah dan rahmat di sebaliknya tiada yang mampu meneka.
Saya bahagia bertemu mereka. Dari jam 4.45 petang kami keluar dan bersembang di rumah Reena di Kubang Kerian, kemudian menuju ke rumah Edi pula di Kampung Kota, membawa ke pukul 8.45 malam tanpa kami sedari. Mujur suami di rumah sabar menanti dan tidak pula memberi kata apa-apa. Faham mungkin, dengan situasi isterinya saat bertemu sahabat lama. Terima kasih.
Seorang lagi sahabat lama yang tidak pernah melupai saya, Azni Yusliza dan keluarga datang memeriahi Aidilfitri saya pada hari raya kedua. Sayang tidak sempat bergambar, namun saya amat menghargai ingatannya terhadap saya.
Seorang lagi sahabat lama yang tidak pernah melupai saya, Azni Yusliza dan keluarga datang memeriahi Aidilfitri saya pada hari raya kedua. Sayang tidak sempat bergambar, namun saya amat menghargai ingatannya terhadap saya.
Semoga akan ada lagi kesempatan berkumpul seperti ini. Terfikir juga, untuk mengadakan re-union kecil-kecilan di rumah sendiri, sekadar menjemput teman-teman yang ada di sekitar sini menikmati hidangan air tangan saya. Cuma, bila?
Harap-harap, waktu itu akan tiba jua.
No comments:
Post a Comment