Meneliti perjalanan sebuah kehidupan seorang hamba seperti aku - setelah empat puluh tahun kesempatan hidup Allah kurniakan - aku cuba mencari erti tersirat. Seringnya, apa yang terzahir itulah yang dipandang dan dikaji, sedang yang tersirat terbiar begitu sahaja.
Aku punya seorang sahabat yang sejarah masa kecilnya sangat buruk (seperti yang telah aku kongsi di sini) sehingga dia tega mengisytihar dirinya kini seorang atheis. Dia tidak percaya lagi pada kewujudan tuhan kerana dia berasa tuhan tidak pernah mahu mendengar segala doa dan aduannya sejak lama. Dia menganggap agama itu tidak perlu, dan dia hidup dengan mempercayai logik akalnya sendiri.
Saat aku membandingkan diriku dan dirinya, tentu sekali aku akan berkata, "Alhamdulillah, Tuhan tidak menguji aku sebegitu." Pun, bukankah Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu hamba-Nya lalui? Lalu bagaimana ini?
Aku berasa Allah sangat kasih padaku kerana memberiku keluarga yang baik, pendidikan yang baik, suami yang baik, pekerjaan yang baik, juga tempat tinggal yang baik, tetapi pada masa yang sama sahabatku ini berasa Allah tidak menyayanginya kerana menduganya dengan dugaan yang sedemikian rupa pada saat dia masih kecil dan tidak mengerti apa-apa, menjadikan dia trauma sepanjang hayat. Apa yang sebenarnya tersirat di sini?
Salah diakah? Atau salah kita sahabatnya yang gagal memberi kesedaran kepadanya?
Sesungguhnya, aku ini manusia lemah. Tidak mungkin aku mampu menelah apa yang tersirat di sebalik segala perancangan Allah. Mengambil keberkatan Ramadan ini, aku panjatkan doa agar Allah menyuluhnya kembali ke jalan benar. Kembali kepada fitrah.
No comments:
Post a Comment