Tuesday, October 30, 2012

Rasa

Sesekali, terbit rasa yang tidak dapat dikenalpasti dalam diri. Rasa yang menukar gembira kepada sedih, yang menukar riang kepada sepi. Rasa yang tidak diketahui puncanya. Rasa yang seakan misteri.

Rasa itu, sering mengganggu saya akhir-akhir ini. Menguji pasrah dalam diri, lalu menjadikan hati saya kerisauan tanpa sebab. Bagai ingin mengusir segala manusia di sekeliling, dan membiarkan saya menyepi melayan hati sendiri. Begitulah!

Perubahan hormonkah?

Seringkali, itulah alasan yang diulang-ulang. Padahal, sebagai manusia yang dikurnia Allah akal untuk mengawal emosi, boleh sahaja saya menggunakannya. Boleh sahaja saya mencari sedikit ruang fikir, untuk meletak semula diri pada landasan yang sepatutnya, agar ada beza antara saya dan pesakit mental!

Aduhai… berkarya begini boleh juga memujuk hati. Kalau pun tidak sesempurna pujukan yang tersayang, sekurang-kurangnya meluah pada blog bisu ini mencipta juga ruang ketenangan. Biarpun ketenangan itu sementara cuma.

Pada kali lain, saya berjanji akan lebih matang menangani emosi sendiri. Insya Allah.

“Kehilanganmu
atas sebuah kerelaan
walau keasingan dalam luka
mengisi masaku..”

Saturday, October 27, 2012

Iman Mutiara

Julai 1997. 

Saya menolak tawaran posting ke Sabah kerana tidak sedia bekerja jauh dari keluarga. Tahu kenapa? Kerana saya punya dua orang adik yang sangat kiut dan manja yang berusia 10 dan 7 tahun pada waktu itu. Saya tahu benar, mereka - Ismah dan Zahidah - akan tidak tahan merindui saya. Kerana itulah saya rela menolak tawaran itu dan menjadi penganggur selama 6 bulan.

Sepanjang tempoh itu, mereka berdualah teman penghibur yang akrab. Bercerita, bergurau, menyanyi dan macam-macam lagi. Kebetulan, kumpulan nasyid Raihan sedang mencipta nama di persada seni tanah air. Ayah pula membeli kasetnya yang berjudul 'Puji-Pujian'. Semua lagunya sedap. Ismah dan Zahidah punyalah seronok, sampai hafal satu kaset!


Iman Mutiara

Iman adalah mutiara
Di dalam hati manusia
Yang meyakini Allah
Maha esa maha kuasa

Tanpamu iman bagaimanalah
Merasa diri hamba padaNya
Tanpamu iman bagaimanalah
Menjadi hamba Allah yang bertaqwa

Iman tak dapat diwarisi
Dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual beli
Ia tiada di tepian pantai

Walau apapun caranya jua
Engkau mendaki gunung yang tinggi
Engkau merentas lautan api
Namun tak dapat jua dimiliki
Jika tidak kembali pada Allah...

Friday, October 26, 2012

Haji

Dahulu, saya bayangkan ibadat haji ini sukar dan memenatkan. Saya sangka perjalanannya payah, kena hafal banyak perkara dan sangat komplikated. Ini menyebabkan saya risau untuk mengerjakan haji. Saya takut jika tersalah kaedah, saya tidak mendapat haji.

Saya bayangkan Arafah dan Mina itu begitu sukar. Saya nampak tawaf dan saie itu begitu penat. Saya takut bersesak-sesak. Saya juga takut jika saya hilang dalam kesesakan!

Apatah lagi cerita-cerita pelik yang saya baca dan dengar begitu banyak. Seumpama ada pembalasan bagi muslim yang berdosa apabila sampai di Mekah. 

Tetapi, kerana menyedari ia adalah salah satu rukun Islam dan wajib ditunaikan apabila berkemampuan, saya berdoa untuk segera ke sana. Saya tidak mahu bertangguh kerana saya tahu, menangguhkannya tanpa sebab itu satu dosa.

Saya cuba positifkan minda. Melalui kursus, ceramah dan pembacaan, segala fikiran negatif dan ketakutan saya itu beransur-ansur hilang.

Ibadah haji sesungguhnya sangat indah. Sukar, penat dan bersesak itu benar tetapi keindahan ibadah itu mengatasi segalanya. Keseronokan berada di tanah suci menjadikan yang sukar itu mudah, yang penat itu segar, dan yang sesak itu lapang.

Berada di Madinah selama lapan hari yang bahagia, diteruskan dengan enam minggu lagi di Mekah.

Bermula dengan wukuf di Arafah, diikuti mabit di Muzdalifah, seterusnya bermalam di Mina, kemudian melontar di tiga jamrah, bergunting, tawaf dan saie. Alhamdulillah, perjalanan kami tiada liku. Allah maha penyayang.

Saudara dan sahabatku, bersegeralah ke sana. Kemanisan dan kepuasan dalam beribadat di sana tidak dapat ditandingi. Rasanya cukup berbeza.

Kerana itu bila pulang ke tanah air, kerinduan untuk ke sana lagi bagai tidak terbendung.

Sungguh. Percayalah!

Thursday, October 25, 2012

Feast of Sacrifice

According to Islamic tradition, approximately four thousand years ago, the valley of Mecca (in what is now Saudi Arabia) was a dry, rocky and uninhabited place. Abraham was instructed to bring his Egyptian wife Hajar and Ishmael, his only child at the time, to Arabia from the land of Canaan by God's command.
 
As Abraham was preparing for his return journey back to Canaan, Hajar asked him, "Did God order you to leave us here? Or are you leaving us here to die?" Abraham turned around to face his wife. He was so sad that he couldn't say anything. He pointed to the sky showing that God commanded him to do so. Hajar said, "Then God will not waste us; you can go". Though Abraham had left a large quantity of food and water with Hajar and Ishmael, the supplies quickly ran out, and within a few days the two began to feel the pangs of hunger and dehydration.

Hajar ran up and down between two hills called Al-Safa and Al-Marwah seven times, in her desperate quest for water. Exhausted, she finally collapsed beside her baby Ishmael and prayed to God for deliverance. Miraculously, a spring of water gushed forth from the earth at the feet of baby Ishmael. Other accounts have the angel Gabriel striking the earth and causing the spring to flow in abundance. With this secure water supply, known as the Zamzam Well, they were not only able to provide for their own needs, but were also able to trade water with passing nomads for food and supplies.

Years later, Abraham was instructed by God to return from Canaan to build a place of worship adjacent to Hajar's well (the Zamzam Well). Abraham and Ishmael constructed a stone and mortar structure —known as the Kaaba— which was to be the gathering place for all who wished to strengthen their faith in God. As the years passed, Ishmael was blessed with Prophethood (Nubuwwah) and gave the nomads of the desert his message of submission to God. After many centuries, Mecca became a thriving desert city and a major center for trade, thanks to its reliable water source, the well of Zamzam.

One of the main trials of Abraham's life was to face the command of God to devote his dearest possession, his only son. Upon hearing this command, he prepared to submit to God's will. During this preparation, Satan tempted Abraham and his family by trying to dissuade them from carrying out God's commandment, and Ibrahim drove Satan away by throwing pebbles at him. In commemoration of their rejection of Satan, stones are thrown at symbolic pillars signifying Satan during the Hajj rites.

When Ishmael was about 13 (Abraham being 99), God decided to test their faith in public. Abraham had a recurring dream, in which God was commanding him to offer his son as a sacrifice – an unimaginable act – sacrificing his son, which God had granted him after many years of deep prayer. Abraham knew that the dreams of the prophets were divinely inspired, and one of the ways in which God communicated with his prophets. When the intent of the dreams became clear to him, Abraham decided to fulfill God's command and offer Ishmael for sacrifice.

Although Abraham was ready to sacrifice his dearest for God's sake, he could not just go and drag his son to the place of sacrifice without his consent. Ishmael had to be consulted as to whether he was willing to give up his life as fulfillment to God's command. This consultation would be a major test of Ishmael's maturity in faith, love and commitment for God, willingness to obey his father and sacrifice his own life for the sake of God.

Abraham presented the matter to his son and asked for his opinion about the dreams of slaughtering him. Ishmael did not show any hesitation or reservation even for a moment. He said, "Father, do what you have been commanded. You will find me, Insha'Allah (God willing), to be very patient." His mature response, his deep insight into the nature of his father’s dreams, his commitment to God, and ultimately his willingness to sacrifice his own life for the sake of God were all unprecedented.

Abraham could not bear to watch his son die so he covered his eyes by a blindfold. When he cut Ishmael's throat and removed the blindfold, he was astonished to see that Ishmael was unharmed and instead, he found a dead ram which was slaughtered. Abraham had passed the test by his willingness to carry out God's command.
 
This is mentioned in the Qur'an as follows:

"O my Lord! Grant me a righteous (son)!" So We gave him the good news of a boy, possessing forbearance. And when (his son) was old enough to walk and work with him, (Abraham) said: O my dear son, I see in vision that I offer you in sacrifice: Now see what is your view!" (The son) said: "O my father! Do what you are commanded; if Allah wills, you will find me one practising patience and steadfastness!" So when they both submitted and he threw him down upon his forehead, We called out to him saying: O Ibraheem! You have indeed fulfilled the vision; surely thus do We reward those who do good. Most surely this was a manifest trial. And We ransomed him with a momentous sacrifice. And We perpetuated (praise) to him among the later generations. "Peace and salutation to Abraham!" Thus indeed do We reward those who do right. Surely he was one of Our believing servants.

As a reward for this sacrifice, God then granted Abraham the good news of the birth of his second son, Is-haaq (Isaac):

And We gave him the good news of Is-haaq, a prophet from among the righteous.

Abraham had shown that his love for God superseded all others: that he would lay down his own life or the lives of those dearest to him in submission to God's command. Muslims commemorate this ultimate act of sacrifice every year during Eid al-Adha.

Monday, October 22, 2012

Bukuku Kali Ini


Lama tidak membeli buku, rasanya. Hinggalah pada Jumaat baru-baru ini.

Jam 10 pagi, suami menghantar saya ke rumah emak. Dia ada jemputan makan tengah hari jadi saya mengambil kesempatan ini untuk berada agak lama di rumah emak.Seperti biasa, saya kepingin untuk ronda-ronda dan berbelanja. Lalu selepas Asar, saya bersama-sama si dara Ismah bergerak keluar untuk ke tempat yang dihajati.

Pun, kasihan saya. Dompet saya tertinggal di rumah kerana menggunakan beg tangan lain. Semalam, saya dan suami membawa mek ke klinik. Saya menggunakan beg tangan kecil sahaja untuk membawa dompet dan telefon bimbit. Hari ini, saya lupa memasukkan dompet itu kembali ke beg tangan utama saya. Sudahnya, saya ketiadaan wang!

Mujur sebelum itu, emak memberikan saya RM128 untuk bayaran bil elektrik bulan ini. Seperti selalu, saya tolong bayarkan melalui perbankan internet. Jadi dapatlah saya berbelanja juga walaupun dalam kadar yang amat terhad.

Di kedai buku, suasana lengang dan memberi keselesaan kepada saya dan Ismah memilih. Sayang sungguh dompet tertinggal. Jika tidak, banyak lagi yang dapat saya beli.

Meneliti judul buku dari satu rak ke rak yang lain, hati berkenan pada dua buah buku seperti di atas. Avant Garde tulisan Ridhuan Tee dicadang Ismah. Dia yang nampak buku itu, dan menghulur pada saya. Terlihat pula buku berkaitan politik Catatan Hujung tulisan Ahmad Lutfi Osman. Lama dahulu, saya pernah melihat arwah ayah membaca buku-buku tulisan Ahmad Lutfi. Beliau juga merupakan bekas pengarang akhbar Harakah. Tanpa banyak bicara, saya mengambilnya untuk santapan minda kali ini.

Walaupun kedua-dua penulis ini terpalit dengan pelbagai kontroversi, saya rasa tidak salah menatap nukilan mereka dengan minda yang terbuka.Kita diberi Allah akal yang waras, yang mampu menimbang dan mengukur. Jangan sesekali meng'underestimate' keupayaan sendiri.

Sunday, October 21, 2012

Cuti Percuma

Terima kasih MB Kelantan kerana menghadiahi cuti ini buat kami rakyat Kelantan. Walaupun belum pasti lagi TRW menang atau tidak dalam final Piala Malaysia, cuti tetap cuti. Baik kan MB kami?

Alhamdulillah, rezeki Allah Ta'ala berpihak pada Kelantan. Dengan kemenangan 3-2 mengatasi ATM dalam masa tambahan, Kelantan mencipta rekod tersendiri pada musim ini kerana berjaya membawa pulang tiga piala - Piala FA, Piala Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia. Bravo The Red Warriors!!
 
Sebenarnya, saya tidaklah menonton sepenuhnya perlawanan malam tadi. Sewaktu perlawanan bermula, saya membelek buku Avant Garde tulisan Ridhuan Tee yang baru saya beli pada Jumaat lalu. TV yang terpasang di hadapan hanya ditonton suami. Rupanya, sangat tidak kondusif membaca buku dalam suasana perlawanan bola begini. Selepas dua puluh minit, saya berhenti membaca dan bergerak ke bilik air. Oh, saya terlebih rajin untuk mencuci bilik air itu malam-malam begini!

Dari bilik air saya mendengar sorakan gemuruh di kaca TV serentak dengan suara suami saya berkata, "akhirnya!" Hmm, gollah tu..

Keluar dari bilik air, separuh masa pertama sudah selesai. Saya solat Isya' dan bersedia untuk tidur.

Saya sebenarnya sudah malas membiarkan diri berdebar. Ia satu perasaan yang tidak seronok. Berdebar, kemudian kecewa. Aduh! Saya tidak sanggup begitu. Biarlah saya menanti sahaja keputusan penuhnya bila tamat perlawanan nanti.

Tetapi, bagaimana caranya untuk tidak menonton jika TV terpasang di depan mata? Tak kan saya nak keluar ke ruang tamu dan bersendirian di sana. Isk!

Saya ambil telefon saya, pasang lagu dan sumbat telinga dengan earphone. Ya, saya berjaya! Saya tidak mendengar suara TV lagi. Hampir tertidur saya apabila Kelantan menjaring gol kemenangan pada masa tambahan. Saya celikkan mata sekejap, tetapi masih enggan menonton sepenuhnya.

Akhirnya, apabila Kelantan disahkan sebagai juara, saya berasa lega dan menyambung tidur semula.

Hari ini, saya menikmati cuti saya dengan fikiran yang tenang. Cuaca yang sejuk, hujan yang lebat pada pagi ini memberi ruang santai untuk saya berehat. Sebenarnya, saya sudah letih berminggu-minggu. Cuti hari ini sangat saya nantikan. Semalam, walaupun Sabtu saya terpaksa ke sekolah kerana ada majlis jamuan laksa PIBG dan kelas tambahan Tingkatan Lima. Dari 10.00 pagi hingga 4.00 petang saya berkampung di sekolah, lebih lama daripada hari bekerja. Minggu depan, saya tahu saya bakal penat lagi kerana hari raya Aidil Adha disambut pada Jumaat. Pun, saya bersedia mental dan fizikal.

Sunday, October 14, 2012

Pantai Perkasa

Ada waktu-waktunya, saya mencari ruang untuk berpergian. Bukan kerana kebosanan tetapi meminta sedikit perubahan suasana. Di rumah, saya melihat benda yang sama sentiasa. Yang rutin. Yang tiada cabaran.

Apabila pihak sekolah memaklumkan satu kem kecemerlangan untuk pelajar-pelajar tingkatan empat akan diadakan sebelum peperiksaan akhir tahun menjelang, selama satu malam di Pantai Perkasa, saya menghulur kesudian untuk menyertai mereka. Pinta saya, mahu bermalam.

Ramai rakan bertanya, tidak apa-apakah si dia di rumah? Memberi izinkah dia atas keinginan saya ini?

Oh, saya sama sekali tidak khuatir. Si suami tersayang sangat fleksibel. Dia bukan veto. Saya tiada masalah tentang itu. Apatah lagi kami sama-sama guru dan dia sangat tahu apa program yang bakal saya lalui ini. Cuma, dia tidak mahu diajak bersama. Dia rela bersendirian di rumah tanpa saya daripada mengikut saya ke sana. Tidak mengapalah, kali ini giliran saya pula untuk memahaminya.

Pagi Jumaat yang bening. Selesai memasak sarapan – nasi goreng dan ikan bawal goreng – suami menghantar saya ke sekolah. Saya bakal menaiki bas bersama-sama 82 orang pelajar tingkatan empat yang menyertai program ini. Bas dijangka tiba pada 9.00 pagi dan bertolak sekitar 9.30 pagi. Malangnya, hanya sebuah bas yang tiba tepat pada masanya. Bas kedua tidak muncul-muncul menyebabkan bas pertama tadi terpaksa mengambil kami untuk pusingan kedua. Lama juga, berpeluh menanti. 11.15 pagi barulah kami selamat bergerak.

Jam 12.15 tengah hari, Pantai Perkasa menyambut kehadiran kami dengan bayu pantai nian nyaman. Suasana yang tenang, lagi menenangkan. Kebiruan air laut mendamaikan jiwa, deruan ombak menyerlahkan suasana. Ya, saya menyukainya.

Usai solat Jumaat, kami berkumpul di Dewan untuk slot pertama. Pelajar-pelajar yang kami bawa ini sememangnya terdidik molek. Tiada masalah besar dalam mengawal mereka. Alhamdulillah.

Petang tiba, bersama bayu yang membelai mesra. Saya dan rakan-rakan mengambil kesempatan berehat-rehat di tepi pantai sambil menyaksikan kanak-kanak bermain. Ditemani keropok dan colek buah, petang menjadi sangat indah.

Selepas Isya’ kami beramai-ramai membakar ayam untuk majlis BBQ. Meriah, kerana pada tv kecil di hadapan kami ada siaran langsung bola sepak semi final Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan.

Melihat gelagat anak-anak remaja ini, sememangnya menghiburkan. Teringat juga saat-saat remaja saya dahulu. Begitulah, sama sahaja. Ketawa riang, berjenaka dan berlari berkejaran pada usia belasan tahun, sungguh menghiburkan. Tidak banyak perkara yang menyesakkan fikiran seperti sekarang. Benarlah, apabila waktu berlalu, rindu begitu setia menemani. Rindu pada waktu-waktu yang telah tiada. Rindu yang tidak akan padam sampai bila-bila.

Kelantan akhirnya berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Selangor dengan agregat 3 – 0. Ternyata kegembiraan ini milik kami rakyat Kelantan. Pun, mata saya terlalu berat untuk terus melayan keseronokan malam ini. Jam 10.15 saya pulang ke bilik. Mereka masih riuh bermain dan berkejaran hingga ke tengah malam. Teruskanlah. Asalkan tahu batasan-batasannya.

Subuh pagi Sabtu, saya terjaga dengan jiwa yang segar. Selesai mandi dan solat, saya keluar ke pantai. Rakan-rakan saya sudah pun di sana, berjoging. Saya tidak berpakaian sukan maka hanya berjalan-jalan sahaja.

Mentari pagi nian indah. Merah dan bercahaya memberi semangat baru dalam jiwa. Saya ingin menjadi seperti matahari. Menerangi alam  tanpa pernah menyeksa diri. Terus gagah dan setia berbakti sehingga ke akhir nanti. Bukan seperti lilin yang membakar dirinya demi menerangi orang lain. Bukan, saya bukan lilin!

Selesai sarapan, pelajar-pelajar kembali ke dewan untuk slot LDK. Saya meneruskan agenda di tepi pantai. Sesekali menyinggah juga ke bilik untuk sesi baring-baring.

Jam 1.00 kami menikmati sajian tengah hari. Nasi putih, ayam masak merah dan air sirap. Ringkas namun menyelerakan apabila dinikmati bersama teman dan rakan. Alhamdulillah.

Selesai solat Zohor, kami berkemas untuk pulang. Jam 2.25 bas tiba dan sekitar 2.45 kami bertolak pulang.
Selamat tinggal Pantai Perkasa. Ada umur kita jumpa lagi….

Thursday, October 11, 2012

Jentayu


Di paruhmu 
kemilauan sinar
menyepuhi sejuta rasa
kemuliaan di hatimu
bening budi terdampar di jagat raya

Di sayap taufan 

kau jelajahi awan gemawan 
membawa rindu
Kasihmu 

menentangi kezaliman
Ketidakadilan

Jentayu
Patah sayap bertongkat paruh
Jentayu
Patah paruh bertongkat siku
Jentayu
Patah siku bertongkat dagu
Jentayu
Patah dagu bertongkat kuku

Pinjamkanlah hatimu
untuk semua 

Jentayu ialah sejenis burung, yang dalam bahasa Inggerisnya Phoenix. Burung ini mungkin hanya wujud dalam karya-karya sastera dahulu, tetapi ia menjadi simbol tentang satu perjuangan. Jentayu dikenali kerana keteguhan perjuangannya, hingga rela bertongkat kuku. 

Penuh syahdu. Kerana itu saya sangat menggemari lagu ini. Liriknya terilham dari sajak karya Usman Awang, melodinya nian indah susunan Johan Nawawi dan Roslan Aziz, dan dinyanyikan dengan merdu sekali oleh Sheila Majid dan Nora.

Sila layari di sini untuk videonya.

Tuesday, October 09, 2012

Pening

Lama sudah saya tidak mengalaminya. Rasa pening yang kuat hingga seluruh persekitaran berpusing-pusing. Malam tadi, sewaktu saya tidur, rasa itu muncul. 

Saya berbalik ke kiri dan tiba-tiba sahaja segalanya berpusing-pusing. Walaupun mata pejam, tetapi saya merasainya. Berkali-kali ia berlaku hinggalah pagi menjelma.

Jam 5.54 saya bangun dengan rasa yang tidak stabil. Mandi, solat, dan terbaring kembali. Saya beritahu suami, saya pening. Suami bertanya bolehkah ke sekolah?

Saya berfikir, Janji saya dengan Kak Yah hari ini macam mana? Tanpa laptop saya, bagaimana Pengetua akan memancarkan analisis di hadapan pelajar target nanti? Petang ini pula, ada mesyuarat. Bolehkah jika saya tidak hadir?

Saya kata, saya boleh pergi ke sekolah. Lalu saya bingkas bangun dan menggosok tudung. Oh, selesai menggosok, pening saya kembali. Berpusing-pusing lagi!

Saya terpaksa memutuskan untuk mengambil cuti sakit kerana saya bimbang pening saya akan bertambah-tambah di sekolah nanti. Saya menghantar mesej pada Kak Yah tentang ketidakhadiran saya supaya dia dapat mencari alternatif lain dalam pengisian perjumpaan pelajar-pelajar target nanti.

Maka, terbaringlah saya di katil sepanjang pagi. Sesekali pening menyerang, rasa nak muntah tetapi saya bertahan. 

Mengisi kesunyian, saya menonton filem "29 Februari" di Astro First. Menarik, berbeza dan menyentuh hati tetapi sayang kutipannya di panggung sangat menyedihkan. Orang kita, bukan suka sangat cerita-cerita yang ada kelas macam ini. Pelik, kan?

Sekarang, jam 1.11 tengah hari. Sebentar lagi suami akan pulang bersama dua bungkus nasi untuk makan tengah hari kami. Pening kepala masih terasa, tetapi agak kurang dari tadi. Saya perlu bersihkan diri, solat Zohor dan seterusnya, menunggu santapan tengah hari kerana saya sememangnya sedang kelaparan sekarang...

Monday, October 08, 2012

PMR

Esok PMR. Pelajar Tingkatan Tiga di seluruh Malaysia sedang bersedia untuk menempuhnya. Apa agaknya perasaan mereka?

Ada yang gerun. Berdebar. Bimbang.
Ada yang relaks. Bersedia. Berani.
Ada yang tak kisah. Tak rasa apa-apa.

Dalam situasi mana sekali pun, PMR hanyalah PMR. Jangan sampai mengutamakannya lebih daripada yang utama. Ia hanya penilaian peringkat menengah rendah dan sijilnya bukan laku sangat pun. Sekadar untuk menaikkan nama sekolah, juga memanjangkan senyum ibu bapa apabila anaknya mendapat A lurus.

Hakikatnya, kecemerlangan dalam PMR belum menjamin kecemerlangan di dunia, apa lagi di akhirat. PMR hanya sebahagian yang teramat kecil, tidak sampai 0.01% pun dalam jaminan kecemerlangan hidup. Hairan, mengapa ibu bapa masa kini terlebih prihatin? Kasihan anak-anak mereka. PMR diangkat seumpama sesuatu yang tidak boleh tidak, mesti cemerlang. MESTI itu seperti WAJIB.

Aduhai! Letih melihat manusia hari ini yang mengutamakan perkara yang tidak utama. Padahal, dalam sekian banyak perkara yang lebih penting lagi, tega pula mereka abaikan. Biar saya buat perbandingan.

Akhlak remaja hari ini mengundang rasa gusar yang sangat mendalam dalam hati dan jiwa saya. Terlalu mengejar sijil yang tidak menjamin syurga itu, mereka mengabaikan kerohanian. Hormat guru entah ke mana hilangnya. Ibu bapa, pernahkah bertanya tentang ini kepada anak anda? Merendah diri, bersyukur dan berterima kasih, wujudkah dalam diri anak-anak zaman kini?

Saya takut. Generasi muda kini bukan memburu kecemerlangan diri yang sejati, melainkan susunan A yang banyak dalam sekeping kertas bernama sijil. Itu kebanggaan mereka, kebanggaan palsu!

Saya tidak pernah bangga dengan pencapaian sedemikian rupa jika akhlak entah ke mana.

Apakan daya, guru-guru juga dikerah untuk memperbanyakkan A dalam sijil pelajar tanpa pernah diseru untuk mendidik jiwa pelajar. Saya hanya mampu bersabar.

Sunday, October 07, 2012

Umrah

Seperti selalu, tatkala musim haji tiba, saya jadi rindu. Rindu yang sungguh-sungguh pada segala ketenangan dan kedamaian yang pernah saya rasai sewaktu lima puluh satu hari menghuni Tanah Suci dua tahun lalu. Ingin benar saya ke sana lagi, mengubat segala rindu dan mengutip segala peluang, merintih dan mendekati-Nya.

Ya Allah, berilah aku peluang itu!

Siang tadi, emak membuka rasa. Dia ingin ke sana, setelah hampir sepuluh tahun merindu. Saya tahu rasa dalam jiwa emak kerana saya juga memiliki rasa yang sama. Maka saya patrikan janji, untuk mengintai peluang itu sekitar pertengahan tahun hadapan. Harap Allah mengizinkan kami.

Pada suami, saya sampaikan hasrat emak. Dia bersetuju dan seperti saya, dia juga memilih pertengahan tahun hadapan untuk mengunjungi Baitullah. Alhamdulillah, saya rasa sangat bahagia!

Walaupun masih jauh, saya sudah boleh berkira-kira. Teringat saya pada kata-kata ustazah sewaktu di Mekah dahulu. Alangkah bertuahnya seorang anak yang dapat membawa ibu atau bapanya ke Mekah, kerana dia bukan sahaja mendapat pahala mengerjakan haji atau umrah, tetapi juga pahala berbakti kepada ibu bapa yang sangat besar ganjarannya.

Semoga keizinan Allah itu tiba, menyatakan impian nan mulia... amin!!

Cameron Highland

Sudah lupa saya berapa kali tanah tinggi ini saya kunjungi. Sejak 1998, hampir saban tahun suami saya membawa saya ke sini. Ramai sahabat dan kenalannya ada di perbukitan sejuk ini dan tentu juga, dia mahu mengundang memori saat menyusur hari-hari awalnya bergelar guru dahulu.

Minggu lalu, kami tiba lagi. Ada kenduri yang perlu kami kunjungi tetapi selain itu, kami mengambil peluang melepas lelah dan mencari damai jauh dari beban-beban rasa yang terkumpul berminggu-minggu. Sejuk, nyaman dan mendamaikan. Itulah yang saya temui di sini.

Walaupun cuma dua hari satu malam, saya menghargainya dan amat menikmatinya.