Meneliti satu dinding facebook seorang sahabat, hati terasa ingin juga berkongsi rasa. Beliau seorang perunding rumah tangga dan saban hari ada pelbagai kisah dan cerita dipapar untuk teladan. Kisah rumah tangga yang beribu liku.
Selalunya, tentang isteri yang kecewa dengan perilaku suami. Isteri yang menderita didera secara mental oleh suami yang kufur nikmat. Isteri yang tidak mampu mengeluarkan diri dan anak-anak daripada kancah perilaku kejam si lelaki durjana.
Suami yang lalai tentang tanggungjawab rupanya sangat ramai dalam masyarakat kita.
Fikiran saya mula menerawang. Menaakul dan mencari satu kesimpulan.
Duhai isteri, janganlah menyeksa diri sendiri untuk terus hidup di sisi suami yang begitu. Sememangnya dia tidak layak untuk menjadi suamimu, apatah lagi bapa kepada anak-anakmu. Carilah jalan untuk mencipta kehidupan baru, tanpa dia membelenggu hidupmu. Dia tidak akan membawamu ke syurga, percayalah!
Itu bait-bait kata yang mahu saya ucapkan kepada isteri-isteri yang masih tega menyerah diri kepada suami sejahat itu. Kita wanita, ada harga diri dan maruah. Pergantungan kita kepada Allah, bukan suami. Lebih baik anak-anak kita hidup tidak berbapa daripada memiliki bapa seperti itu.
Oh.. Mahu menyelamatkan rumah tangga?
Selamatkan diri dan anak-anakmu dahulu, wahai wanita! Tak perlu mengharap satu keajaiban untuk dia berubah dan mencintaimu semula kerana lelaki durjana begitu bukan kufumu!
Memang, saya emosional. Saya sangat benci melihat wanita yang tidak tahu keutamaan. Bangkitlah! Dunia ini luas, rezeki Allah ada di mana-mana. Suami bukan segala-galanya!
Anggaplah ini satu motivasi daripada saya buat semua wanita yang menderita kerana memiliki suami yang tidak berguna. Yakinlah pada Allah kerana Allah akan membantu orang yang membantu dirinya sendiri. Jangan campakkan diri kita ke lembah yang menyeksakan. Barulah lelaki-lelaki jahanam itu akan belajar dan sedar yang sesungguhnya wanita bukan bodoh untuk terus diperbodohkan!
Buat diri saya, Alhamdulillah masih belum melalui segala yang menyakitkan itu. Saya berdoa siang malam agar tidak berlaku sebarang perkara buruk dalam rumah tangga ini, tetapi kita hanya merancang. Takdir mengatasi tadbir. Jika nanti berlaku sesuatu yang tidak saya sukai, saya tahu jalan mana yang akan saya pilih.
No comments:
Post a Comment