Thursday, March 28, 2013

Winter Sonata

Sepuluh tahun dahulu.

Ogos 2002. 

Saya di Kuala Krai, menyewa rumah teres di Taman Guchil Jaya. Rutin saya, setiap petang sepulang dari sekolah saya hanya memerap di rumah. Di tepi rumah saya ada gerai menjual goreng pisang. Ramai jiran yang keluar pada petang hari, berkumpul dan berbual di situ. Saya terkecuali. Memerap di rumah lebih memberi keseronokan pada saya, dan ia adalah hobi saya yang masih kekal hingga kini.

Suami saya pula, setiap petang ada sahaja agenda bersama rakan-rakannya. Badminton, bolasepak, apa sahaja. Tinggallah saya bersendirian melayan diri sendiri.

Waktu itu, facebook belum lagi wujud. Melayani internet sekadar mencari berita dan gosip. Lalu, saya menggemari rancangan tv pada setiap petang. 

Winter Sonata adalah satu daripadanya. 

Dari episod pertama hingga akhir, saya setia mengikuti. Sungguh saya dilanda fenomena hingga sebaik cerita itu tamat, saya cepat mencari CDnya! Saya tidak sanggup berpisah dengan Yoo Jin dan Jun Sang. Mereka memberi rasa yang sangat istimewa, dalam mencari erti cinta.

Dalam usia 30 tahun ketika itu, saya masih lagi layu dibuai syahdu sebuah percintaan. Jiwa wanita tipikal!

Kini, sepuluh tahun sudah berlalu. Kisah cinta penuh liku Winter Sonata itu masih tetap melekat dalam memori saya. Walaupun ia sekadar drama, saya tahu ada pengajarannya di situ.

Rindulah pula pada waktu-waktu selapang dahulu...



No comments:

Post a Comment