Sungguh saya gagal menyelami hati manusia Muslim ini apabila berbicara tentang isu kemurtadan seorang wanita Melayu daripada Islam kepada Atheism. Sepenuh yakin dia meletak kesalahan pada keluarga wanita itu yang katanya, tidak memberi asas agama yang baik sedari kecil kepadanya.
Pada hal, daripada sembilan anak yang dia ada, seorang itulah sahaja yang melencong. Lapan lagi sungguh terdidik molek. Terjaga segala. Apa yang membezakan didikan? Malah, wanita yang mengisytihar dirinya atheis itu tergolong pelajar pintar yang tinggi daya pemikirannya. Dia membaca al-Quran, pengetahuannya tentang sejarah Nabi Muhammad dan penduduk Mekah juga mengatasi sesetengah orang Islam yang warak. Dia bukan murtad kerana keluarga. Dia murtad kerana cara pemikirannya. Itu saya sungguh pasti.
Selebihnya, tanggungjawab kita semua untuk mengembalikannya kepada fitrah. Dan, itulah yang sangat sukar. Yang masih lagi menjadi satu pencarian bagi saya. Dan sejujurnya, sehingga kini saya belum nampak kelibat siapakah yang layak saya kreditkan untuk membalas hujah-hujah kemurtadan yang dikemuka wanita itu. Sukar sungguh!
Benar, berdoalah untuk dia. Tapi Islam mengajar kita berusaha seiring dengan berdoa. Saban waktu terluang saya memikir, tetapi kebuntuan masih menghantui. Entah bila jawapannya akan tiba. Hanya Allah tahu.
No comments:
Post a Comment