Sunday, March 03, 2013

Televisyen

Entah mengapa, saya semakin menjadi-jadi dalam melayan rasa dan keinginan. Harap ia tidak memudaratkan.

Dua minggu lepas, saya dan suami membeli sebuah televisyen baru berjenama Panasonic Viera di Kedai elektrik Kemudi Timur, Kok Lanas. TV bersaiz 39 inci itu berharga RM1299 dan kami merancang untuk meletaknya di ruang tamu rumah kami.

Pulang ke rumah, kami berubah fikiran. Memandangkan Astro kami ada di bilik tidur, maka kami berasa lebih sesuai ia ada di bilik kami, bersama-sama Astro.

Hari Rabu, Astro lama kami bertukar kepada Astro Beyond. Dapatlah kami menonton channel HD yang sangat cantik itu, menyebabkan saya berubah fikiran lagi. Tidak mahu saya membawa keluar TV besar ini ke ruang tamu kerana saya seronok menontonnya di bilik.

Semalam, kami sepakat untuk membeli sebuah lagi TV HD. Kali ini kami ke G-Orange dan mendapatkan TV berjenama Sharp Aquos bersaiz 32 inci dengan harga RM799. Sebelum itu, saya telah memohon kepada pihak Astro untuk mendapatkan decoder kedua dengan bayaran tambahan RM50 sebulan dan permohonan kami diluluskan. Mereka meminta kami menunggu dalam tempoh dua minggu untuk mereka menghantar petugas mereka memasang set kedua itu.

Nampaknya, kami tidak perlu berebut lagi kerana di ruang tamu akan ada Astro juga, dengan channel yang sama. Memang saya bukan lagi kaki TV seperti dahulu, tetapi ada masa-masanya, saya mahu bersantai-santaian menonton rancangan kegemaran. Tetapi, sedang khusyuk saya menonton mahligai Mawi dan Ekin dalam rancangan Romantika di 104, hati menjadi geram apabila channel ditukar kepada perlawanan bolasepak. Padahal, setiap malam saya beralah, memberinya peluang menonton perlawanan kegemarannya itu. Sangka saya, pada siang hari Sabtu peluang saya ada untuk menikmati rancangan kegemaran saya pula. Manalah saya tahu, hati orang tidak begitu?

Rasanya, keputusan saya ini tepat juga. Boleh mengelak kami bermasam muka atas hal-hal kecil yang remeh temeh seperti ini. Bukankah?

Cuma, dua buah tv lama kami itu - Toshiba Bomba dan Samsung - akan kami bawa ke mana?

Saya bercadang menempatkan sebuah di dapur. Sebuah lagi, bakal dihadiahkan kepada seseorang. 


Walaupun tv lama, ia belum meragam. Masih boleh memberi kepuasan dalam tontonan walaupun bukan gambar HD. Saya yakin itu.

Bukan saya keterlaluan mengikut kata hati, tetapi sekadar mengisi ruang kekosongan di rumah kami. Lagi pun, peredaran zaman perlu juga kami patuhi. Semoga Allah merestui.

No comments:

Post a Comment