Mencari satu hari untuk bersantai di rumah emak bukanlah mudah, walaupun jarak antara rumah kami cuma beberapa ratus meter sahaja. Apatah lagi cuti kali ini menghadirkan kesibukan yang luar biasa saban hari.
Apabila projek pembinaan stor kami bermula dua minggu lepas, setiap hari saya perlu sentiasa bersedia untuk membancuh air buat tukang-tukang itu. Mereka datang seawal jam 9 pagi dan pulang jam 1.00 tengah hari. Jam 3.00 petang datang lagi, dan 6.30 petang baru pulang. Saya hanya boleh keluar sekejap-sekejap sahaja.
Kebetulan, cuti kali ini juga dipenuhi dengan urusan-urusan berkaitan umrah kami nanti. Hari Ahad kami memproses pasport, Isnin pula kami ke Al-Quds untuk sedikit perbincangan. Selasa kami ke sekolah untuk kelas tambahan. Rabu, kami ke Tabung Haji untuk mengambil duit bagi pembayaran kos umrah. Khamis pula membuka ruang untuk urusan cukai jalan dan insurans kereta.
Hari ini, Jumaat peluang untuk ke rumah emak baru tiba.
Jam 8.35 pagi, suami menghantar saya ke rumah emak dan membenarkan saya berada di situ hingga Asar nanti. Alhamdulillah, dapatlah saya bergembira ria dengan kaum keluarga yang saya kasihi.
Anak-anak saudara dari Johor masih bergelimpangan tidur di ruang tamu. Eh, mana orang Perak? Oh, sudah pulang ke negeri rupanya! Terkilan sungguh saya, tapi apa nak buat, tiada rezeki nak jumpa Areef dan Amal...
Perut saya lapar. Sarapan pagi tadi cuma sedikit nasi goreng. Saya tidak lalu kerana nasi goreng saya itu tidak lazat. Lalu, perancangan diatur untuk ke KFC Kok Lanas dengan adik-adik manis kesayangan saya. Turut menyertai, Abang Long Amin yang makin kacak itu.
Pulang ke rumah, kami sama-sama menjamu selera dengan ayam goreng dan burger.
Seronok sesekali melayan karenah budak-budak kecil yang pelbagai ragam ini. Memang meletihkan, tetapi sekali-sekala tidak mengapa.
Saya pulang dijemput suami pada jam 5.15 petang.
No comments:
Post a Comment