Thursday, May 30, 2013

Debar

Saya sudah pernah ke sana, tetapi debarnya tetap ada. Tidak pula saya tahu kenapa, pada hal saya sebenarnya tidak sabar-sabar untuk berada di sana.

Semoga esok segalanya berjalan sebagaimana yang diharapkan. Semoga tiada apa-apa yang tidak enak berlaku. Pohonku pada-Mu ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami.

Amin.

Wednesday, May 29, 2013

Gambar Golok

















Muda

Apabila seorang pendakwah bebas yang terkenal berkahwin lagi - untuk yang ketiga kali - maka berbunyilah suara-suara yang pelbagai nada.

Ada yang gembira, tetapi lebih ramai yang bernada kecewa. 

Mereka kata ustaz itu telah melakukan sesuatu yang kurang sesuai dengan imejnya, dengan intipati ceramahnya.

Kelihatannya, masyarakat kita masih gemar membelenggu diri sendiri. Payahnya mereka untuk membuka minda dan menilai sesuatu dengan adil. Mata kasar mereka yang menjadi hakim, bukan ilmu dan daya fikir.

Renunglah sesuatu itu dengan kedalaman fikiran. Tidak perlu menjadi emosional kerana apa yang ustaz tersebut lakukan bukan suatu yang terlarang. Mungkin rasionalnya tidak mampu kita taakul tetapi selagi hati-hati yang terlibat redha dan tidak menghalang, apa hak kita untuk mengeruhkan keadaan?

Kita mencari rasionalnya, tetapi kita sendiri lupa untuk merasionalkan sikap kita.

Barbecue

Dalam kesibukan saya dan suami ke sana ke mari menyelesaikan segala urusan berkaitan umrah kami, masih sempat dia mencuri kesempatan untuk ber'barbecue' bersama-sama keluarganya. Memang saya agak risau, takut semakin kalut dengan masa yang kian singkat. Tetapi saya positifkan minda. Ini kesempatan untuk kami memberi, maka bersedialah wahai jiwa dan raga.

Seawal pagi, kami ke bandar untuk menguruskan akaun Al Rajhi dan membeli sedikit keperluan. Sibuk benar Kota Bharu, laksana hari raya. Tiada ruang tenang pun. Penuh dengan manusia yang tidak saya ketahui apa tujuan mereka berbondong-bondong membanjiri bandaraya Islam ini.

Tugas kami usai sebaik jam menjangkau ke 1.00 tengah hari. Pulang untuk makan tengah hari di rumah, dan berehat seketika. Jam 3.30 petang, kami ke kedai lauk pauk mencari bahan barbecue malam nanti.

Tidaklah sesukar mana. Ayam sudah diperap dengan jayanya oleh Kak Zan dan anak-anak. Saya cuma menyediakan mi goreng. Jam 7.00 petang selesai segala.

Jemputan bukan ramai pun. Hanya ahli keluarga sahaja. Ya, sekadar suka-suka. Kalau ada yang tak suka, itu di luar bidang kuasa saya. Positifkan minda. Manusia memang pelbagai. Acuan tiada yang sama. Jangan diberatkan kepala dengan perkara yang remeh-remeh begini. Semoga Allah merestui.

Jam 10.30 malam kami pulang dengan tenang. Esok, saya mahu berada di rumah sahaja. Saya sudah penat ke sana ke mari selama berhari-hari. Saya memohon sedikit ruang untuk diri sendiri.

Monday, May 27, 2013

Untukmu

Salam manis buat semua pembaca blog ini.

Maaf kerana agak lama mendiamkan diri, tanpa mampu menulis walau satu ayat dalam tempoh sepuluh hari ini. Rupa-rupanya, waktu yang amat minimum menjadi kekangan yang tidak berkesudahan. Alhamdulillah, saat ini - 5.59 pm - saya sedang berehat di katil, dan memiliki sedikit masa untuk mencoret sepatah dua kata. Itu pun, dalam lelah yang belum kebah.

Jumaat hadir dengan sebuah janji - cuti sekolah. Ada senyum di wajah saat menerima kehadiran itu namun percayalah, betapa banyak pengisian yang perlu dilangsaikan tidak terhitung oleh upaya seorang wanita yang sedang uzur minggu ini.

Seharian Jumaat itu saya berperang dengan kesakitan. Semalaman tiada lena yang panjang, tetapi mujurlah seusai sarapan dan menelan sebiji Naproxen Sodium 275, ada sedikit lega yang tiba. Alhamdulillah.

Melihat balkoni yang sudah seminggu begitu cemar, saya gagahi juga untuk mencucinya. Kemudian, mengutip kain baju untuk dibasuh, dilipat dan dikemas. Menjelang tengah hari, saya memasak untuk hidangan kami yang serba ringkas. Hanya sayur air sawi, ikan goreng dan telur goreng.

Untuk mengubat lelah, saya menidurkan diri dari jam 3 hingga 4.30 petang. Mengganti tidur yang terganggu malam tadi sebenarnya.

Jam 5 petang, saya ke rumah ma dan ke rumah mek. Sekadar berziarah santai, sekejap cuma.

Sabtu tiba, kami bersiap untuk ke Cabang Dua. Di sana kami berkampung sehingga petang. Bertemu sanak saudara yang jarang-jarang saya kunjungi sememangnya satu kesempatan yang sangat saya hargai. Mujur kesakitan semalam tidak berbekas pada hari ini. Syukur, Allah memberi saya peluang untuk bersama-sama mereka tanpa sebarang kesukaran.

Ahad semalam, kesakitan tiba lagi. Kali ini saya tidak upaya bergerak ke mana-mana kerana ketidakselesaan begitu mencengkam. Hanya terbaring di katil, ditemani sepi dan kelam bilik tidur saya.

Hari ini, kesakitan masih bersisa namun tanggungjawab perlu saya lunasi.

Jam 7.25 pagi suami menghantar saya ke sekolah. Saya menyelesaikan segala yang perlu sebelum bercuti menunaikan umrah minggu hadapan. Jam 10.30 pagi, saya mengajar kelas tambahan pula sehingga 12.00 tengah hari.

Jam 12.30, saya dan suami menuju ke bandar untuk urusan seterusnya. Perut masih kesakitan, tetapi saya mampu bertahan. Alhamdulillah.

3.10 petang urusan kami selesai dan kami menuju ke rumah mek untuk membawanya ke kenduri pula.

Begitulah, penuh dan padat dengan aktiviti, dan kesakitan!

Esok, hari yang baru bermula namun urusan masih perlu diteruskan. Semoga warna-warna ceria semakin menyerlah memenuhi hari-hari kami ini. Insya Allah.

Friday, May 17, 2013

Pilihan

Zaman saya dahulu, pilihan tidak sebanyak hari ini. Sebaik menerima keputusan SPM, hanya dua pilihan yang ada.

Ke luar negara, atau sekadar universiti tempatan?

Minda saya tidak langsung dicelarui dengan pilihan yang pelbagai. Tidak terfikir langsung tentang diploma, tingkatan enam atau IPTS. Saya hanya nampak dua perkara itu sahaja.

Saya memohon untuk kedua-duanya. Cuma apabila dipanggil untuk ujian dan temuduga bagi program luar negara, saya tidak hadir.

Fobia saya dengan proses temuduga itu sungguh semulajadi. Hingga kini ia masih subur. Saya tiada keyakinan diri untuk berhadapan dengan penemuduga-penemuduga itu. Saya rela mengundur diri...

Maka yang tinggal untuk saya hanyalah unuversiti tempatan. Waktu itu (1990) hanya UTM satu-satunya universiti yang tidak memerlukan kursus matrikulasi atau asasi. Pelajarnya akan terus ke program ijazah yang jangka masanya lima tahun.

Sayang, saya kurang pendedahan tentang kursus-kursus yang ditawarkan di UTM. Apa yang saya nampak cumalah universiti-universiti yang hebat pada pandangan saya iaitu UKM, USM dan UM. Itulah tiga pilihan teratas saya dalam borang UPU. 

Mujur juga, kerana keterhadan pilihan yang ada saya langsung tidak bermasalah untuk mengisi borang itu. Pilihan pertama itulah yang saya mahu, dan pilihan itulah juga yang saya dapat.

Matrikulasi Sains UKM.

Kini, bila difikir kembali, saya berasa bertuah kerana tidak perlu membuat pilihan yang pelbagai seperti lulusan SPM hari ini.

Tuesday, May 14, 2013

Buku-Buku Baru Saya




Nampak gayanya, saya tidak hanya menempah Ensiklopedia Bidaah, tetapi turut menambah beberapa buku lain lagi di MPHOnline.

"Telling It Straight" merupakan kompilasi artikel-artikel tulisan Puan Marina Mahathir dalam surat khabar The Star dalam tempoh beberapa tahun ini. Tulisan beliau menarik dan menyentuh pelbagai isu - daripada isu pendidikan, hak wanita, undang-undang dan agama. Seronok dibaca namun penuh kontroversi. Gaya bahasa yang bersahaja memudahkan saya memahami intipatinya, tetapi banyak juga yang perlu diberi penilaian semula.

Buku "Al-Kisah" pula ialah antologi cerpen tulisan Zainal Rashid Ahmad yang pernah tersiar dalam beberapa majalah dan surat khabar. Cerpen-cerpenya sarat nilai sastera yang tinggi dan berbeza daripada kebanyakan penulis. Pun saya sedikit terkilan kerana cerpen pertama beliau yang saya baca, berjudul "Perkahwinan" yang tersiar dalam Mingguan Malaysia sekitar 1992, sewaktu saya di UKM tiada dalam antologi ini. Cerpen itu sangat menyentuh hati dan cerpen itulah yang membawa nama Zainal dalam kamus penulis yang saya sering ikuti.

Selain itu, saya turut memesan buku "Panduan Umrah dan Ziarah" untuk saya bawa sebagai bekalan mengunjungi Tanah Suci sekitar dua minggu lagi.


Sunday, May 12, 2013

Selamat Hari Ibu

Selalunya begitulah. Orang sambut hari ibu, kita pun sambut juga. Orang sambut hari bapa, kita sambut juga. Lepas tu, akan adalah fatwa-fatwa yang mengharamkannya.

Sejarah hari ibu macam ni macam ni. Berasal dari barat dan tidak Islamik. Kita pun takut, dan tak jadi nak sambut.

Pada hal, Islam itu bukan agama yang menyusahkan. Saya bimbang benar jika situasi sebegini menimbulkan pandangan sinis non Muslim kepada Muslim. Islam ialah agama yang serba serbinya HARAM! Lalu, jauhlah mereka daripada kita.

Bukan maksud saya untuk menghalalkan yang haram demi menarik perhatian non Muslim. Nauzubillah! Apa yang mahu saya tekankan di sini ialah, ini perkara khilaf. Kita rasa haram, tak payahlah sambut. Jangan dipandang serong pula pada yang menyambutnya kerana dia ada hujah yang betul yang tidak mengharamkannya.

Ulama’ berselisih pendapat dalam perkara ini dan secara umumnya mereka terbahagi kepada dua kelompok iaitu:
 
1. Kelompok yang mengharamkan. Diantaranya ialah Al-marhum Sheikh Abdul Aziz bin Baz yang secara jelas pernah mengeluarkan fatwa tentang sambutan ini. Asasnya ialah kerana ia termasuk diantara perkara bid’ah dalam agama dan mengikut kepada Barat (gharbiyyun).
 
2. Kelompok yang mengharuskan. Mereka mempersetujui bahawa sambutan ini juga adalah perkara yang diada-adakan, tetapi ia bukanlah bid’ah dalam ibadat tetapi hanyalah bid’ah dalam adat kebiasaan .

Jawapannya cukup mudah, kita pegang pada tiga kata kunci ini:
 
Yan pertama ialah cara. Apa yang kita lakukan terhadap sambutan dan tanda memperingati, juga bagaimana kita meraikan?

Yang kedua ialah niat. Apa faktor utama dan sub-faktor kenapa kita seronok mengucap dan meraikannya?

Dan yang ketiga, siapa. Dari siapa dan untuk siapa kita melakukannya?

Apapun, segalanya bergantung kepada aqidah kita dan tujuan asal kita meraikan sesuatu itu. Jangan terikut dan jangan hanya mengikut. Ingatlah, Islam bukan menyusahkan. Jangan terlalu taksub sehingga menolak semuanya, jangan terlalu pula menentang apa yang betul.

Allahua'lam.

Saturday, May 11, 2013

Cukup!

Sampai bila-bila pun perpaduan kaum di negara ini tidak akan berlaku jika Melayu masih berprasangka dengan Cina, Cina masih menghina Melayu dan India masih merasa mereka dipinggirkan.

Cukup-cukuplah dengan segala api perkauman ini. Marilah kita sama-sama mencari satu titik pertemuan, yang bakal memberi keharmonian demi keamanan dan kesejahteraan negara kita yang tercinta ini.

Susahkah?

Yang penting, usaha dahulu. Damaikan bangsa-bangsa ini. Peranan para pemimpin negaralah yang paling perlu dalam menjernihkan suasana yang semakin hari semakin keruh ini. Ikhlaskan niat, dan Allah akan membantu.

Sungguh, saya berasa amat takut dengan realiti masa depan negara jika perkara ini dibiarkan berterusan.

Wednesday, May 08, 2013

Berpesan-pesan

Kata orang tua...

Kamu orang muda, tak pandai bersyukur. Kamu lahir dalam kesenangan. Nikmat dari titik peluh kami dahulu.

Kami melawan penjajah untuk merdeka. Berperang dengan Jepun untuk pertahan tanah air. Berperang dengan Cina pada 13 Mei untuk pertahankan Raja Melayu.

Pertahankan hak bumiputera. Sanggupkah kamu serahkan negara ini kepada pendatang Cina?

Anak muda jawap...

Kalian orang tua sudah selesa. Kalian sudah ada sebidang tanah. Kalian sudah ada sebuah rumah. Kalian sudah ada kerja, gaji dan pencen. Dahulu, kalian mengaji percuma. Kami, belum habis mengaji sudah berhutang. Habis belajar, belum tentu ada kerja. Kalau bekerja, belum tentu boleh miliki kereta, rumah, dan tanah. Mahu makan sekali sehari pun susah.

Ya, benar. Jepun sudah pulang. Inggeris sudah berundur. Namun kami dijajah oleh bangsa sendiri. Melayu korup dan khianat. Membiar bangsa sendiri hidup melarat. Dahulu, meski dijajah, kamu masih boleh memiliki rumah sendiri. Kini, meski merdeka, kami hanya mampu menyewa.

Dahulu, demi mempertahankan tanah air, kita menghalau Joseph, Donald, Mizuno, Kozumi. Kini kita hanya berdiam diri ketika tanah kita dirampas oleh Mahmud, Muhammad dan Abdullah.

Kamu pinta kami berwaspada dengan Cina dan India? Tapi kamu import Indon, Myanmar dan Bangla? Kamu minta kami waspada dengan Cina, tapi mereka lebih prihatin tentang nasib kami berbanding Melayu, bangsa sendiri. Kamu minta kami berwaspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang merompak tanah kita. Kamu pinta kami waspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang berdusta.

Saya masih ingat. Ketika anak Melayu bawah umur dirogol oleh pembesar Melayu, Cina yang dikutuk hari ini bangkit membela. Beliau (LGE) akhirnya dihukum penjara.

Kamu kata, Cina mahu hancurkan kita. Tapi yang dibina Melayu, roboh dan runtuh belaka. Kamu kata, Cina mahu kita binasa, tapi Melayulah yang merompak harta negara, merampas Royalti dari negeri yang mempunyai penduduk Melayu paling ramai.

Kamu kata, DAP benci Islam, tapi peruntukkan Islam dilipatganda berjuta-juta. Kamu dakwa UMNO bela Islam, tapi roboh masjid, tutup sekolah agama, sekat dakwah, batal biasiswa agama.

Kamu kata DAP rasis, ultra cina dan benci Islam, tapi Zairil Khir itu Melayu, Islam dan anak pemimpin UMNO. Lalu kami tanya, mana calon Cina dari UMNO? Mana calon Melayu dari MCA?

Kamu kata, Cina itu musuh kita. Saya tanya, jiran rumah kita siapa? Bermusuh dengan jiran bukan ajaran agama.

Kamu kata, mesti bantu Melayu kerana Cina semuanya kaya. Kami tanya, Ah Chong, penjaja sayur yang mengayuh basikal itu berbangsa apa?

Kamu kata, berpakat dengan Cina DAP haram. Kami tanya, MCA dan Chua Soi Lek itu Melayu?

Bila kami hormati Cina, kamu kata kami lupa asal usul. Yang kami ingat, kami berasal dari negara Malaysia yang berbilang bangsa, Cina, India Kadazan, Murut dan sebagainya.

Kamu kata, hanya BN yang boleh memerintah. Kami kata, Penang lebih cemerlang di bawah DAP, Selangor lebih maju di bawah PKR.

Malaysia apa yang kamu gambarkan kepada kami?

Kami inginkan Malaysia yang lebih damai. Warganya aman tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kami tidak perlu memaki dan mengutuk Cina untuk membela Melayu. Kami anak Malaysia!

Semoga rakan-rakan Cina dan India saya tabah dalam menghadapi segelintir ultra Melayu yang nakal.

Mohd Ihsan Fadhli Che Min
Warganegara Islam

Bangsaku, Agamaku

Semasa di PLKN dulu saya berpeluang berkenalan dan berkawan dengan bangsa Cina. Saya masih ingat di sebeleh katil saya seorang Cina bernama Brian. Sebelah depan seorang Cina bernama Chen.

Situasi 1 :
Entah kenapa satu malam itu, si Brian ni tak pasal-pasal membaca surah Al-Fatihah. Complete lengkap 7 ayat tanpa meninggal satu patah dan satu baris pun. Hanya makhraj dan tajwibnya yang tunggang langgang. Saya bangkit terkejut dan terselit rasa bangga di hati bile mendengar bacaan dia.

Saya tanya : Hebat la lu hafal surah fatihah.
Brian : Hari-hari sy dengar maa, surau dkt sama rumah saya. Hari-hari dengar saya jadi ingat lah.

Kagum saya. Tiada sekelumit dihati ni rasa keji dgn tindakan dia membaca surah fatihah. Tidak terlintas pulak dihati saya utk bertanya kenapa dia baca surah tersebut.

Tak semena-mena, ketua dorm saya berbangsa Melayu menjerit.
"Kuang aja lu Cina, itu orang Islam jer baca."
Sambil beliau menyalahkan saya kerana tidak melarang Brian membaca surah tersebut. Ketika di PLKN, saya sering dijadikan tempat rujukan bahagian agama meskipun ilmu sy ni cetek jer. Mungkin saya amik aliran Sains Agama kot di sekolah dlu. Ramai ahli dorm saya berbangsa Melayu bersetuju dgn ketua dorm itu.

Pada ketika itu, saya tidak tahu apa hukumnya non muslim membaca ayatul quran. Cuma, naluri saya mengatakan tiada salahnya cina tersebut. Dia membaca sebuah Kalam tuhan yang sebenarnya pencipta kepada dia juga. Hanya hidayah tidak sampai utk dia menerima Islam.

Saya tidak membalas kata-kata sahabat sy tersebut. Brian segera memohon maaf atas ketelanjurannya. Cuma, dalam hati saya ingin sekali berkata, "lebih baik dia baca quran daripada engkau yang solat pon seminggu sekali. Solat apa? solat jumaat sbb peraturan di PLKN mewajibkan semua orang Islam ke Masjid. Kalu tak, aku rasa mamat tuh mmg tak solat."

Situasi 2 :
Kawan cina saya bernama Chen. Hari itu tiba-tiba dia dapat keberanian menegur ketua dorm saya bernama Karim(bukan nama sebenar).

Chen : Oi, Karim. Lu pigi semayang lah. Sudah maghrib woo. Ikut hadi pergi suraulah.

Saya pun tak tahu dari mana dia dapat keberanian nak sound si Karim. Apa lagi, melenting sakanlah si Karim tuh.

Karim : Cilaka punya cina. Lu bukan Islam tutup mulut la wei ! Aku penyepak kang.

Memang hanpir terjadi pergaduhan antara mereka. Karim sikit lagi nak hempuk Chen dgn penumbuknya. Mujur rakan-rakan yang lain sempat menahan. Saya hanya tersenyum simpul, dihati saya memuji tindakan Chen. Saya sendiri tidak ada keberanian utk menegur dan mengajak si Karim menunaikan solat bersama.
Sebaliknya, Chen bersungguh-sungguh meminta maaf kepada Karim atas kertelanjurannya.

Situasi 3 :
Hari minggu memang hari berehat utk peserta PLKN. Malam tuh saya tidur awal sebab kepenatan. Rasanya memang tidur mati.
Saya tidak sedar bila masa saya dikejutkan oleh Chen. Dia kata saya dah lewat utk menunaikan solat subuh. Saya tengok jam hampir pukul 7 pagi. Cepat-cepat saya berwudhuk dan bersolat.

Saya ucap terime kasih pada dia kerana menyedarkan saya. Terharu~

Saya kira, pengalaman saya berkawan dgn Cina dan India di PLKN antara kenangan manis. Mereka sebenarnya menghormati orang Islam. Setiap kali azan berkumandang, mereka duduk diam menghormati azan tersebut dikala orang melayu Islam masih sibuk dengan gitar dan nyanyian mereka.

Yang bergaduh sbb berebut awek = Melayu
Melalak waktu azan main gitar = Melayu
Lompat pagar hisap rokok hingga ditangkap = Melayu
Buat masalah disiplin dengan cikgu di kem PLKN : Melayu

Sedih saya dengan bangsa sendiri. Saya sayang bangsa Melayu. Tapi, saya juga sayang bangsa lain yang merupakan rakyat Malaysia. Kita sama-sama bina Malaysia. Bukan Melayu seorang
Dah lebih 50 tahun merdeka, tak reti lagi ke nk hapuskan masalah perkauman ini ??

Suka saya memetik kata-kata Ust Ihsan Fadhli disini.
Kamu kata, Cina mahu hancurkan kita. Tapi yang dibina Melayu, roboh dan runtuh belaka. Kamu kata, Cina mahu kita binasa, tapi Melayulah yang merompak harta negara, merampas Royalti dari negeri yang mempunyai penduduk Melayu paling ramai.

Kamu kata, DAP benci Islam, tapi peruntukkan Islam dilipatganda berjuta-juta. Kamu dakwa UMNO bela Islam, tapi roboh masjid, tutup sekolah agama, sekat dakwah, batal biasiswa agama.

Kamu pinta kami berwaspada dengan Cina dan India? Tapi kamu import Indon, Myanmar dan Bangla? Kamu minta kami waspada dengan Cina, tapi mereka lebih prihatin tentang nasib kami berbanding Melayu, bangsa sendiri. Kamu minta kami berwaspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang merompak tanah kita. Kamu pinta kami waspada dengan Cina, tapi Melayu itu yang berdusta.

Sebenarnya siapa yang hancurkan Melayu ? Cina kah ? Fikir-fikirkanlah sendiri.

Sumber: Hady Shams II

Tuesday, May 07, 2013

Sampai Bilakah?



Firman Allah dalam surah al Hujurat, ayat 13.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahuai, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Sewaktu saya kecil dahulu, saya kerap mengikut ayah ke mana-mana dia pergi. Saya terbiasa dengan sikap ayah yang tidak pernah memilih bangsa apabila berurusan. Tempat ayah membeli kain baju ialah di kedai Lek, seorang Cina yang berniaga di Pasar Kota Bharu. Jika saya mahukan kasut atau beg, ayah bawa saya ke kedai Seng, juga Cina. 

Ayah seorang kerani kewangan. Banyak barangan elektrik pejabat yang ayah perlu belikan. Ayah memilih untuk berurusan dengan Syarikat Lian Hong di Kota Bharu. 

Kedai runcit Ah Yong di Batu 8 juga selalu ayah kunjungi. Malah saya ingat sangat, ayah selalu memuji kecekapan Ah Yong mengira tanpa kalkulator.

Bukan ayah meminggirkan kaum sendiri tetapi ayah bukan jenis yang gemar mendiskriminasi.

Apabila saya keluar daripada kepompong ayah, saya mendengar banyak bicara yang berbunyi "tolong Melayu". Mereka memandang sinis jika saya memilih untuk berbelanja di kedai Cina. Saya rasa sangat pelik kerana ayah saya tidak pernah berpesan untuk memulau kaum Cina atau kaum apa pun.

Hingga kini, saya meluat dengan perjuangan bangsa. Mereka suka bersangka buruk dan meniup api perkauman tak kira masa. Jahat sungguh bangsa lain, sehingga bangsa Melayu merempat di bumi sendiri!

Sampai bila semua ini?

Monday, May 06, 2013

Terima kasih Tuan Guru

Belum pernah saya sehiba ini saat menerima berita pengunduran seorang pemimpin dari menerajui sebuah negeri. Ini kali pertama saya mengalaminya.

Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat hari ini secara rasmi melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan yang disandang beliau sejak Oktober 1990 kepada timbalannya, Dato' Ahmad Yaakob.


Terima kasih Tuan Guru. Segala jasa dan pengorbananmu dalam memberi cahaya kepada negeri Kelantan kesayangan kita ini tidak akan pernah kami lupakan. Pahit maung dan perit jerih laluanmu untuk menegakkan syiar Islam di serambi Mekah ini, hanya Allah yang mampu membalasnya.

Berehatlah Tuan Guru. Semoga Allah memberi kekuatan buat Tuan Guru meneruskan perjuangan yang masih jauh perjalanannya ini. Berehat, bukan bererti berhenti dari berjuang.

Buat MB baharu, kami akan terus memberi sokongan dalam merealisasikan harapan. Semoga Allah merestui segalanya.

Minda

Pagi ini, saya turun dengan perasaan tenang untuk ke sekolah kerana BN menang. Saya tidak dapat gambarkan bagaimana suasana SMK Kg Chengal jika PR yang menang dalam PRU13 semalam kerana setahu saya guru-guru di sekolah ini semuanya penyokong kuat BN. Tentu hingar suasana dengan pelbagai analisis daripada sekelian guru tersebut. Tentu banyak fakta dan peristiwa akan dikongsi demi merasionalkan sebuah kekalahan.

Mujurlah, BN menang. Mereka semua pasti tersenyum. Mereka semua pasti gembira kerana BN masih dipilih untuk meneruskan pemerintahan di bumi Malaysia ini. Mereka semua sangat terhutang budi dengan BN dan tidak mungkin dapat hidup bahagia jika BN kalah.

Sekali lagi, mujurlah BN menang.

Jam 9.00 pagi, seusai mengajar selama sejam dua puluh minit, saya menuju ke kantin untuk mengalas perut saya yang belum menerima apa-apa makanan sejak malam tadi. Saya membayangkan suasana yang harmoni, penuh kasih sayang dan hormat menghormati. Ya, kerana BN tidak suka perpecahan juga perbalahan, apalagi sesama Melayu. Apatah lagi, BN sudah menang. Alhamdulillah.

Namun, ia sungguh di luar duga.

Kedengaran suara yang kuat daripada seorang guru wanita yang sedang bertikam lidah dengan seorang lagi guru wanita di kaunter kantin. Saya terkejut. Mahu menjernihkan sedikit suasana, saya menegur guru tersebut dengan suara yang normal, tetapi tiada balasan. Mungkin dia tidak mendengar suara saya. Saya mengabaikan mereka dan menuju ke tempat makanan.

Ada beberapa orang murid di sekitar kantin, saya nampak tersenyum-senyum melihat situasi sedemikian rupa.

Hairan saya, mengapa mesti marah-marah pada hal BN sudah menang? 

Antara kata-katanya yang menerjah pendengaran saya,

"Kita kakitangan kerajaan, mesti undi kerajaan!"

"Sepatutnya kena cek undi cikgu-cikgu kita ni. Mana yang undi pembangkang kita tukar ke tempat lain, jenis tak kenang budi!"

Oh Tuhan! Minda apakah dia ini?

Patutlah. Patutlah susah benar nak berubah!

Di meja makan pula, seorang guru lagi sedang "membentangkan" apa yang bakal berlaku jika BN kalah. Antaranya, Cina akan menguasai Malaysia, Melayu akan terpinggir. Gerakan Kristianisasi akan semakin hebat, dan anak-anak cucu kita nanti akan ramai yang murtad. Banyak lagi perkara-perkara negatif yang disenaraikan, yang pada saya, sukar untuk dipercayai oleh saya yang kurang bijak ini.

Patutlah. Patutlah mereka masih enggan berubah!

Lalu mereka rela membiarkan pemimpin-pemimpin mereka korup, dan terus korup.

Lalu mereka rela anak-anak cucu mereka hidup dalam hutang yang bertimbun-timbun.

Lalu mereka rela kekayaan hasil negara mereka dibolot oleh kroni-kroni, sedang mereka hanya menerima BR1M.

Lalu mereka rela membiarkan rakyat disogok dengan ketidakadilan media yang berpanjangan.

Dan begitulah, mereka rela merempat, asal BN berkuasa.

Gila! Memang gila!

Mereka - guru-guru - yang bukan pengundi BN ini akan dianggap pengkhianat, penderhaka dan tidak mengenang budi.

Sesungguhnya saya menjunjung nilai demokrasi. Saya tahu mereka tidak bersalah kerana mengundi PR. Mereka berhak memilih, mengapa tidak mahu menghormati pilihan mereka? Apa sebenarnya takrif demokrasi di Malaysia?

Saya kembali keliru.

Sunday, May 05, 2013

Malaysia Memilih

Jam menginjak ke 11.25 pagi. Kami turun dari rumah, menaiki Mitsubishi Pajero kami dan menuju ke jalan raya utama yang terletak kira-kira 600 meter dari pagar rumah kami.

Sesak! Terkejut benar rasanya kerana kenderaan bergerak amat perlahan. Setiba di simpang, kami berbelah bagi. Mahu teruskan hajat untuk ke pusat mengundi kamikah, atau tangguhkan dulu? Apa pun, kami tidak memikir lama. Takut jika lewat-lewat, jalan akan makin sesak. Apa tidaknya, anak-anak Kelantan bekerja di luar tentu mahu terus segera pulang kerana esok mereka tidak cuti. Mahu tunggu jalan lengang, ibarat menanti bulan jatuh ke riba.

Lalu kami menempuhi arus kenderaan itu dengan sabar. SK Kadok yang terletak cuma dua minit perjalanan daripada simpang rumah kami itu, hanya menyambut kami selepas setengah jam. Sesak dan panas sungguh perjalanan kami. Terik mentari begitu menguasai apatah lagi penyaman udara Pajero itu tidak begitu menjadi.

Mujurlah pengundian sangat cepat selesai. Mungkin sudah ramai yang turun pagi tadi jadi saya tidak perlu beratur langsung. Dapat nombor, terus masuk ke bilik mengundi.

Jam 12.10 tengah hari, kami bergerak pulang.

Kini, debaran menanti keputusan pula. Tentu sekali tidak sabar mengetahui apa yang akan berlaku untuk lima tahun mendatang. Mampukah BN mengekalkan kuasa, atau PR yang akan mengambil alih teraju negara?

Sama-sama kita nantikan.


Friday, May 03, 2013

Suasana

Artis pun tidak ketinggalan dalam menyatakan pendirian mereka. Nampaknya, yang muda-muda ramai sokong BN. Yang tua aje berpihak pada PR. Agak-agak, kenapa ya?





















Thursday, May 02, 2013

Ensiklopedia Bidaah

Kasihan saya. Rasanya sudah setahun, atau mungkin lebih buku ini berada di pasaran. Saya teringin sekali membacanya. Manakan tidak, penulisnya adalah adinda kesayangan saya, Ustaz Rifqi. Dahulu saya mahu membelinya tetapi adik perempuan saya kata sudah ada satu naskhah di rumah yang Abang Rifqi beri. Bila saya mencarinya baru-baru ini, naskhah tersebut sudah diberi pada orang. Kata adik, emak hadiahkan kepada sahabatnya. Oh! Emak memang suka bersedekah.

Sekitar Februari lalu, sewaktu mesyuarat PIBG berlangsung di sekolah saya, buku ini dijadikan cenderamata untuk perasmi, Dato' Hj. Mohd Alwi b Che Ahmad. Saya berasa bangga juga apabila memberitahu mereka, buku ini tulisan adik saya tetapi saya tidak boleh bercerita lebih-lebih kerana saya sendiri belum membacanya.

Saya teringin sungguh memilikinya, dan tanpa ragu saya menempahnya di MPHOnline. Mungkin sekitar minggu depan saya bakal menerima tempahan itu. Sambil menunggu ketibaan, saya mencari-cari ulasan buku ini di internet dan terjumpa ulasan ini.

Dan, keratan akhbar ini turut saya muat turun untuk simpanan peribadi.

Semoga Ustaz Rifqi terus aktif berkarya demi pembangunan ummah sejagat.


Neutral

Apabila seorang ustaz bersuara, khalayak akan mula menilik dan menilai. Pihak manakah ustaz tersebut berada? Atas dasar parti manakah ustaz itu berkata-kata? Hijaukah? Birukah?

Saya berasa kasihan pada mereka. Khalayak berharap agar mereka bersikap neutral. Masyarakat tidak mahu para ustaz yang mereka kagumi itu berpihak ke mana-mana. Mereka mesti neutral. Ya, kerana mereka itu ustaz.

Pada hal, dalam hati dan dada mereka telah pun terisi dengan ilmu pengajian yang mereka dalami bertahun-tahun yang tentu sahaja akan mencondongkan jiwa mereka memberati ke satu arah. Sampai bila mereka harus berlakon? Tidakkah kita mahu mereka jujur dalam mengeluarkan pandangan? Jujur bukan seerti dengan neutral. Jika pihak mana pun yang melakukan sesuatu yang memerlukan teguran, maka tegurlah dengan jujur. Bukan kerana kecondongan ke mana-mana arah.

Saya nampak pelbagai kecondongan dalam diri ustaz-ustaz yang saya kenali. Ustaz Rifqi dan Ustaz Muhammad (adinda-adinda kesayangan saya) telah pun saya maklum pendirian mereka dan sangat-sangat saya hormati. Sama juga dengan saudara-saudara saya yang lain, saya hormati setiap pilihan dan hujah kalian walaupun kalian bukan ustaz/ah, sebagaimana saya juga.

Apa pula halnya dengan ustaz-ustaz public figure yang bukan ahli politik?

Saya amat kerap mengikuti setiap tulisan dan pandangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, dan saya akui segala pandangannya banyak mempengaruhi pemikiran saya. Buku-bukunya, blognya, facebooknya sentiasa menjadi kegemaran saya kerana kebernasan idea yang lahir dari fikirannya. Lalu, kecondongan beliau ke arah Pakatan Rakyat sangat jelas mempengaruhi saya.

Begitu juga yang saya nampak pada tulisan-tulisan ustaz-ustaz lain seperti Ustaz Izhar Ariff, Ustaz Roslan Mohammad, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Zaharuddin, Ustaz Hilal Asyraf, Ustaz Zahazan dan ramai lagi. Mereka berani dan lantang bersuara, untuk semua pihak. Mengapa mesti kita minta mereka bersikap neutral?

Rupanya, itulah harga yang perlu dibayar jika mahu menjadi Ustaz Public Figure.

Wednesday, May 01, 2013

Perkauman

Apabila saya terpilih meneruskan pengajian menengah saya di MRSM, saya melalui sebuah permulaan yang nyata berbeza.

Selama dua belas tahun saya hidup di sisi keluarga, ayah dan emak mendidik saya dengan penuh tanggungjawab. Mereka mengajar saya untuk bersikap dengan sikap Islam, untuk sentiasa berbaik dengan semua orang, untuk tidak mementingkan diri sendiri. Segala ajaran itu ada dalam teladan yang saya lihat pada diri mereka berdua setiap hari. Tidak pernah sekali pun mereka mengajar saya untuk berpecah belah, untuk membenci dan bersangka buruk pada orang lain, atau kaum lain.

Pada usia tiga belas tahun, saya terpisah daripada mereka. Saya membawa diri sendiri untuk berdikari pada jarak hampir 200 km dari kampung halaman. Azam saya kukuh terpaku di jiwa - melakukan yang terbaik dan tidak akan sekali-kali menghancurkan perasaan mereka.

Tiba di tempat baru, saya bertemu rakan baru. Seawal meinggu pertama orientasi berlangsung, kami kanak-kanak yang masih mentah ini diasuh oleh senior untuk menyanyi lagu "WARISAN" dengan penuh perasaan. Mereka mengajar kami untuk menangis saat menyanyi lagu tersebut. Mereka menanam perasaan kebangsaan yang belum pernah kami kenal pada waktu itu.

Saya sungguh tidak tahu apa-apa. Saya seperti yang lain, menangis hiba saat menyanyikan lagu keramat itu beramai-ramai. Sambil menggenggam tangan, kami melaungkan cita-cita kami untuk memastikan Melayu akan gagah di Nusantara.

Namun, saya tidak tahu mengapa semangat itu tidak mampu meresap dalam kalbu saya. Semakin saya dewasa, semakin saya membenci lagu itu. Tanpa prejudis, tanpa hasutan. Ia semulajadi.

Mungkin kerana saya sedar, Melayu hanyalah satu bangsa.

Hingga kini, hati saya sakit apabila membaca tentang semangat kebangsaaan. Bukan kerana saya tidak menghargai bangsa saya - malah nyatanya saya bangga berdarah Melayu - tetapi kerana semangat kebangsaan itu sangat sempit ruang lingkupnya bagi saya.

Lagu Warisan contohnya, sangat sempit dan dangkal. Jika tidak, tentu liriknya tidak diubah untuk disesuaikan dengan suasana. Lirik lagu Warisan yang asal sudah berkali-kali diubah kerana mahu mengaburi nilai kebangsaan yang ada. Kali pertama dipinda pada 1990, sewaktu saya di matrikulasi Kulim. Rangkap 5 dan 6 digugurkan.

Pindaan kedua berlaku semasa saya di UKM. Baris terakhir rangkap pertama ditukar menjadi "bumi dipijak milik orang".

Dan sekarang, pindaan terbaru berlaku lagi. Perkataan "Melayu" dan "Pribumi" ditukar menjadi "Kita".

Mahu menyanyi bersama-sama?

Ini lirik asalnya yang masih kukuh dalam ingatan saya.

Anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
air mata darah bercampur keringat
bumi milik diancam orang

Nenek moyang kaya raya
tergadai seluruh harta benda
akibat sengketa sesamalah kita
cinta lenyap di arus zaman

indahnya bumi kita ini
warisan berkurun lamanya
hasil mengalir ke tangan yang lain
pribumi merintih sendiri

masa depan sungguh kelam
'kan lenyap peristiwa semalam
tertutuplah hati
terkunci mati
maruah peribadi sudah hilang

kita rumpun bangsa Melayu
menganut agama yang suci
semangat bangsa berlandaskan Islam
teras capai kemerdekaan

dari masa hingga masa
petualang menghancurkan bangsa
alatkan agama demi peribadi
pupus kita di bumi ilahi

kini kita cuma tinggal kuasa
yang akan menentukan bangsa
bersatulah hati
bersama berbakti
pulih kembali harga diri

kita sudah tiada masa
majulah dengan gagah perkasa
janganlah terlalai
teruskan usaha

Melayu kan gagah di Nusantara
Melayu kan gagah di Nusantara
Melayu kan gagah di Nusantara 

Gula-gula

Setiap hari kita digula-gulakan dengan pemberian subsidi oleh Kerajaan kepada rakyat yang jumlahnya berbillion-billion. Bagus juga kalau kita fahami apa sebenarnya maksud subsidi yang bunyinya sungguh baik hati. Contoh yang paling mudah ialah petrol. Kita tengok di stesen-stesan minyak akan tertulis harga SEBENAR, jumlah subsidi oleh kerajaan dan harga JUALAN (harga selepas diberi subsidi).

Pertamanya, kita kena faham dulu harga SEBENAR ialah harga yang kerajaan akan dapat kalau minyak itu dijual mengikut harga pasaran dunia. Sudah semestinyalah harganya lebih tinggi daripada harga jualan. Kedua, jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan adalah perbezaan harga pasaran dan harga jualan kepada rakyat. Dan, harga jualan iaitu harga yang kita bayar untuk membeli minyak.

Persoalannya, kenapa kerajaan menganggap rakyatnya sebagai PELANGGAN yang perlu bersaing harga dengan pasaran dunia? Minyak adalah milik rakyat, kerajaan hanya menguruskannya sahaja. Jumlah subsisdi adalah kos melepas apabila minyak tersebut tidak boeh dijual kepada pasaran dunia kerana digunakan oleh rakyat. Kerajaan sekarang menganggap mereka 'memberi' subsidi kepada tuan punya minyak dan meminta rakyat berterima kasih kepada mereka.

Masih belum jelas?

Lihat analogi ini. Makcik Limah membuat karipap untuk jualan. Setiap pagi Makcik Limah akan membuat 100 biji karipap untuk jualan. Tetapi oleh kerana anaknya 10 orang dan semuanya bersekolah pagi, maka 10 biji karipap pertama yang digoreng akan dimakan oleh anaknya. Jadi Makcik Limah hanya boleh menjual 90 biji karipap sahaja setiap hari.

Bolehkah Makcik Limah berkata kepada anaknya yang 10 orang itu bahawa mereka telah diberi subsidi sebanyak 10 biji karipap setiap hari? Atau dengan kata lain, "Mak terpaksa menanggung subsidi 3600 biji karipap setahun untuk membesarkan kamu semua wahai anakku". Sudah tentu tidak manis kerana anak bukan pelanggan tetapi tanggungjawab yang mesti ditunaikan seorang ibu.

Hasil Negara juga perlu begitu. Tunaikan dahulu keperluan rakyat pada harga kos pengeluaran, lebihan dari keperluan rakyat, barulah dijual di pasaran. Bukankah itu ertinya Rakyat didahulukan? Atau slogan sekadar slogan?

Tidak perlulah mengaku prihatin kerana memenuhi tanggungjawab itu memang tugas kerajaan. Rasanya semua rakyat Malaysia akan setuju jika kita katakan bahawa wakil rakyat yang dilantik sehingga membentuk kerajaan mempunyai amanah yang satu iaitu untuk menjaga kepentingan rakyat, bukannya berniaga dengan rakyat.

Perkhidmatan asas utama seperti perubatan, pendidikan, kebajikan, petrol, eletrik, air dan telekomunikasi perlu ditunaikan oleh Kerajaan. Sakit hati sungguh apabila mendengar syarikat utiliti ini untung berbilion-bilion tetapi dalam masa yang sama, menaikkan kadar bil yang perlu rakyat bayar. Perkhidmatan asas tidak boleh diniagakan, ia perlu ditunaikan oleh Kerajaan. Kalau sudah memang itu tanggungjawab kerajaan, maka kepada yang gagal melaksanakannya perlulah berundur kerana tidak kompeten sebagai Kerajaan. Perkara seperti ini adalah rutin di Negara Jepun tapi mungkin ajaib di Malaysia.


Fikir-fikirkanlah.

SELAMAT HARI PEKERJA.

Cuti nan sehari ini, biarlah diguna untuk memikir dan menaakul, kerana pilihan kita nanti bakal mencorak negara yang kita sayangi ini. Jangan biarkan keangkuhan merajalela tanpa batasan.