Jam menginjak ke 11.25 pagi. Kami turun dari rumah, menaiki Mitsubishi Pajero kami dan menuju ke jalan raya utama yang terletak kira-kira 600 meter dari pagar rumah kami.
Sesak! Terkejut benar rasanya kerana kenderaan bergerak amat perlahan. Setiba di simpang, kami berbelah bagi. Mahu teruskan hajat untuk ke pusat mengundi kamikah, atau tangguhkan dulu? Apa pun, kami tidak memikir lama. Takut jika lewat-lewat, jalan akan makin sesak. Apa tidaknya, anak-anak Kelantan bekerja di luar tentu mahu terus segera pulang kerana esok mereka tidak cuti. Mahu tunggu jalan lengang, ibarat menanti bulan jatuh ke riba.
Lalu kami menempuhi arus kenderaan itu dengan sabar. SK Kadok yang terletak cuma dua minit perjalanan daripada simpang rumah kami itu, hanya menyambut kami selepas setengah jam. Sesak dan panas sungguh perjalanan kami. Terik mentari begitu menguasai apatah lagi penyaman udara Pajero itu tidak begitu menjadi.
Mujurlah pengundian sangat cepat selesai. Mungkin sudah ramai yang turun pagi tadi jadi saya tidak perlu beratur langsung. Dapat nombor, terus masuk ke bilik mengundi.
Jam 12.10 tengah hari, kami bergerak pulang.
Kini, debaran menanti keputusan pula. Tentu sekali tidak sabar mengetahui apa yang akan berlaku untuk lima tahun mendatang. Mampukah BN mengekalkan kuasa, atau PR yang akan mengambil alih teraju negara?
Sama-sama kita nantikan.
No comments:
Post a Comment