Tuesday, May 07, 2013

Sampai Bilakah?



Firman Allah dalam surah al Hujurat, ayat 13.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahuai, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Sewaktu saya kecil dahulu, saya kerap mengikut ayah ke mana-mana dia pergi. Saya terbiasa dengan sikap ayah yang tidak pernah memilih bangsa apabila berurusan. Tempat ayah membeli kain baju ialah di kedai Lek, seorang Cina yang berniaga di Pasar Kota Bharu. Jika saya mahukan kasut atau beg, ayah bawa saya ke kedai Seng, juga Cina. 

Ayah seorang kerani kewangan. Banyak barangan elektrik pejabat yang ayah perlu belikan. Ayah memilih untuk berurusan dengan Syarikat Lian Hong di Kota Bharu. 

Kedai runcit Ah Yong di Batu 8 juga selalu ayah kunjungi. Malah saya ingat sangat, ayah selalu memuji kecekapan Ah Yong mengira tanpa kalkulator.

Bukan ayah meminggirkan kaum sendiri tetapi ayah bukan jenis yang gemar mendiskriminasi.

Apabila saya keluar daripada kepompong ayah, saya mendengar banyak bicara yang berbunyi "tolong Melayu". Mereka memandang sinis jika saya memilih untuk berbelanja di kedai Cina. Saya rasa sangat pelik kerana ayah saya tidak pernah berpesan untuk memulau kaum Cina atau kaum apa pun.

Hingga kini, saya meluat dengan perjuangan bangsa. Mereka suka bersangka buruk dan meniup api perkauman tak kira masa. Jahat sungguh bangsa lain, sehingga bangsa Melayu merempat di bumi sendiri!

Sampai bila semua ini?

No comments:

Post a Comment