Maaf kerana agak lama mendiamkan diri, tanpa mampu menulis walau satu ayat dalam tempoh sepuluh hari ini. Rupa-rupanya, waktu yang amat minimum menjadi kekangan yang tidak berkesudahan. Alhamdulillah, saat ini - 5.59 pm - saya sedang berehat di katil, dan memiliki sedikit masa untuk mencoret sepatah dua kata. Itu pun, dalam lelah yang belum kebah.
Jumaat hadir dengan sebuah janji - cuti sekolah. Ada senyum di wajah saat menerima kehadiran itu namun percayalah, betapa banyak pengisian yang perlu dilangsaikan tidak terhitung oleh upaya seorang wanita yang sedang uzur minggu ini.
Seharian Jumaat itu saya berperang dengan kesakitan. Semalaman tiada lena yang panjang, tetapi mujurlah seusai sarapan dan menelan sebiji Naproxen Sodium 275, ada sedikit lega yang tiba. Alhamdulillah.
Melihat balkoni yang sudah seminggu begitu cemar, saya gagahi juga untuk mencucinya. Kemudian, mengutip kain baju untuk dibasuh, dilipat dan dikemas. Menjelang tengah hari, saya memasak untuk hidangan kami yang serba ringkas. Hanya sayur air sawi, ikan goreng dan telur goreng.
Untuk mengubat lelah, saya menidurkan diri dari jam 3 hingga 4.30 petang. Mengganti tidur yang terganggu malam tadi sebenarnya.
Jam 5 petang, saya ke rumah ma dan ke rumah mek. Sekadar berziarah santai, sekejap cuma.
Sabtu tiba, kami bersiap untuk ke Cabang Dua. Di sana kami berkampung sehingga petang. Bertemu sanak saudara yang jarang-jarang saya kunjungi sememangnya satu kesempatan yang sangat saya hargai. Mujur kesakitan semalam tidak berbekas pada hari ini. Syukur, Allah memberi saya peluang untuk bersama-sama mereka tanpa sebarang kesukaran.
Ahad semalam, kesakitan tiba lagi. Kali ini saya tidak upaya bergerak ke mana-mana kerana ketidakselesaan begitu mencengkam. Hanya terbaring di katil, ditemani sepi dan kelam bilik tidur saya.
Hari ini, kesakitan masih bersisa namun tanggungjawab perlu saya lunasi.
Jam 7.25 pagi suami menghantar saya ke sekolah. Saya menyelesaikan segala yang perlu sebelum bercuti menunaikan umrah minggu hadapan. Jam 10.30 pagi, saya mengajar kelas tambahan pula sehingga 12.00 tengah hari.
Jam 12.30, saya dan suami menuju ke bandar untuk urusan seterusnya. Perut masih kesakitan, tetapi saya mampu bertahan. Alhamdulillah.
3.10 petang urusan kami selesai dan kami menuju ke rumah mek untuk membawanya ke kenduri pula.
Begitulah, penuh dan padat dengan aktiviti, dan kesakitan!
Esok, hari yang baru bermula namun urusan masih perlu diteruskan. Semoga warna-warna ceria semakin menyerlah memenuhi hari-hari kami ini. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment