Friday, May 17, 2013

Pilihan

Zaman saya dahulu, pilihan tidak sebanyak hari ini. Sebaik menerima keputusan SPM, hanya dua pilihan yang ada.

Ke luar negara, atau sekadar universiti tempatan?

Minda saya tidak langsung dicelarui dengan pilihan yang pelbagai. Tidak terfikir langsung tentang diploma, tingkatan enam atau IPTS. Saya hanya nampak dua perkara itu sahaja.

Saya memohon untuk kedua-duanya. Cuma apabila dipanggil untuk ujian dan temuduga bagi program luar negara, saya tidak hadir.

Fobia saya dengan proses temuduga itu sungguh semulajadi. Hingga kini ia masih subur. Saya tiada keyakinan diri untuk berhadapan dengan penemuduga-penemuduga itu. Saya rela mengundur diri...

Maka yang tinggal untuk saya hanyalah unuversiti tempatan. Waktu itu (1990) hanya UTM satu-satunya universiti yang tidak memerlukan kursus matrikulasi atau asasi. Pelajarnya akan terus ke program ijazah yang jangka masanya lima tahun.

Sayang, saya kurang pendedahan tentang kursus-kursus yang ditawarkan di UTM. Apa yang saya nampak cumalah universiti-universiti yang hebat pada pandangan saya iaitu UKM, USM dan UM. Itulah tiga pilihan teratas saya dalam borang UPU. 

Mujur juga, kerana keterhadan pilihan yang ada saya langsung tidak bermasalah untuk mengisi borang itu. Pilihan pertama itulah yang saya mahu, dan pilihan itulah juga yang saya dapat.

Matrikulasi Sains UKM.

Kini, bila difikir kembali, saya berasa bertuah kerana tidak perlu membuat pilihan yang pelbagai seperti lulusan SPM hari ini.

No comments:

Post a Comment