Dalam kesibukan saya dan suami ke sana ke mari menyelesaikan segala urusan berkaitan umrah kami, masih sempat dia mencuri kesempatan untuk ber'barbecue' bersama-sama keluarganya. Memang saya agak risau, takut semakin kalut dengan masa yang kian singkat. Tetapi saya positifkan minda. Ini kesempatan untuk kami memberi, maka bersedialah wahai jiwa dan raga.
Seawal pagi, kami ke bandar untuk menguruskan akaun Al Rajhi dan membeli sedikit keperluan. Sibuk benar Kota Bharu, laksana hari raya. Tiada ruang tenang pun. Penuh dengan manusia yang tidak saya ketahui apa tujuan mereka berbondong-bondong membanjiri bandaraya Islam ini.
Tugas kami usai sebaik jam menjangkau ke 1.00 tengah hari. Pulang untuk makan tengah hari di rumah, dan berehat seketika. Jam 3.30 petang, kami ke kedai lauk pauk mencari bahan barbecue malam nanti.
Tidaklah sesukar mana. Ayam sudah diperap dengan jayanya oleh Kak Zan dan anak-anak. Saya cuma menyediakan mi goreng. Jam 7.00 petang selesai segala.
Jemputan bukan ramai pun. Hanya ahli keluarga sahaja. Ya, sekadar suka-suka. Kalau ada yang tak suka, itu di luar bidang kuasa saya. Positifkan minda. Manusia memang pelbagai. Acuan tiada yang sama. Jangan diberatkan kepala dengan perkara yang remeh-remeh begini. Semoga Allah merestui.
Jam 10.30 malam kami pulang dengan tenang. Esok, saya mahu berada di rumah sahaja. Saya sudah penat ke sana ke mari selama berhari-hari. Saya memohon sedikit ruang untuk diri sendiri.
No comments:
Post a Comment