Pagi ini, saya turun dengan perasaan tenang untuk ke sekolah kerana BN menang. Saya tidak dapat gambarkan bagaimana suasana SMK Kg Chengal jika PR yang menang dalam PRU13 semalam kerana setahu saya guru-guru di sekolah ini semuanya penyokong kuat BN. Tentu hingar suasana dengan pelbagai analisis daripada sekelian guru tersebut. Tentu banyak fakta dan peristiwa akan dikongsi demi merasionalkan sebuah kekalahan.
Mujurlah, BN menang. Mereka semua pasti tersenyum. Mereka semua pasti gembira kerana BN masih dipilih untuk meneruskan pemerintahan di bumi Malaysia ini. Mereka semua sangat terhutang budi dengan BN dan tidak mungkin dapat hidup bahagia jika BN kalah.
Sekali lagi, mujurlah BN menang.
Jam 9.00 pagi, seusai mengajar selama sejam dua puluh minit, saya menuju ke kantin untuk mengalas perut saya yang belum menerima apa-apa makanan sejak malam tadi. Saya membayangkan suasana yang harmoni, penuh kasih sayang dan hormat menghormati. Ya, kerana BN tidak suka perpecahan juga perbalahan, apalagi sesama Melayu. Apatah lagi, BN sudah menang. Alhamdulillah.
Namun, ia sungguh di luar duga.
Kedengaran suara yang kuat daripada seorang guru wanita yang sedang bertikam lidah dengan seorang lagi guru wanita di kaunter kantin. Saya terkejut. Mahu menjernihkan sedikit suasana, saya menegur guru tersebut dengan suara yang normal, tetapi tiada balasan. Mungkin dia tidak mendengar suara saya. Saya mengabaikan mereka dan menuju ke tempat makanan.
Ada beberapa orang murid di sekitar kantin, saya nampak tersenyum-senyum melihat situasi sedemikian rupa.
Hairan saya, mengapa mesti marah-marah pada hal BN sudah menang?
Antara kata-katanya yang menerjah pendengaran saya,
"Kita kakitangan kerajaan, mesti undi kerajaan!"
"Sepatutnya kena cek undi cikgu-cikgu kita ni. Mana yang undi pembangkang kita tukar ke tempat lain, jenis tak kenang budi!"
Oh Tuhan! Minda apakah dia ini?
Patutlah. Patutlah susah benar nak berubah!
Di meja makan pula, seorang guru lagi sedang "membentangkan" apa yang bakal berlaku jika BN kalah. Antaranya, Cina akan menguasai Malaysia, Melayu akan terpinggir. Gerakan Kristianisasi akan semakin hebat, dan anak-anak cucu kita nanti akan ramai yang murtad. Banyak lagi perkara-perkara negatif yang disenaraikan, yang pada saya, sukar untuk dipercayai oleh saya yang kurang bijak ini.
Patutlah. Patutlah mereka masih enggan berubah!
Lalu mereka rela membiarkan pemimpin-pemimpin mereka korup, dan terus korup.
Lalu mereka rela anak-anak cucu mereka hidup dalam hutang yang bertimbun-timbun.
Lalu mereka rela kekayaan hasil negara mereka dibolot oleh kroni-kroni, sedang mereka hanya menerima BR1M.
Lalu mereka rela membiarkan rakyat disogok dengan ketidakadilan media yang berpanjangan.
Dan begitulah, mereka rela merempat, asal BN berkuasa.
Gila! Memang gila!
Mereka - guru-guru - yang bukan pengundi BN ini akan dianggap pengkhianat, penderhaka dan tidak mengenang budi.
Sesungguhnya saya menjunjung nilai demokrasi. Saya tahu mereka tidak bersalah kerana mengundi PR. Mereka berhak memilih, mengapa tidak mahu menghormati pilihan mereka? Apa sebenarnya takrif demokrasi di Malaysia?
Saya kembali keliru.
No comments:
Post a Comment