Wednesday, May 01, 2013

Perkauman

Apabila saya terpilih meneruskan pengajian menengah saya di MRSM, saya melalui sebuah permulaan yang nyata berbeza.

Selama dua belas tahun saya hidup di sisi keluarga, ayah dan emak mendidik saya dengan penuh tanggungjawab. Mereka mengajar saya untuk bersikap dengan sikap Islam, untuk sentiasa berbaik dengan semua orang, untuk tidak mementingkan diri sendiri. Segala ajaran itu ada dalam teladan yang saya lihat pada diri mereka berdua setiap hari. Tidak pernah sekali pun mereka mengajar saya untuk berpecah belah, untuk membenci dan bersangka buruk pada orang lain, atau kaum lain.

Pada usia tiga belas tahun, saya terpisah daripada mereka. Saya membawa diri sendiri untuk berdikari pada jarak hampir 200 km dari kampung halaman. Azam saya kukuh terpaku di jiwa - melakukan yang terbaik dan tidak akan sekali-kali menghancurkan perasaan mereka.

Tiba di tempat baru, saya bertemu rakan baru. Seawal meinggu pertama orientasi berlangsung, kami kanak-kanak yang masih mentah ini diasuh oleh senior untuk menyanyi lagu "WARISAN" dengan penuh perasaan. Mereka mengajar kami untuk menangis saat menyanyi lagu tersebut. Mereka menanam perasaan kebangsaan yang belum pernah kami kenal pada waktu itu.

Saya sungguh tidak tahu apa-apa. Saya seperti yang lain, menangis hiba saat menyanyikan lagu keramat itu beramai-ramai. Sambil menggenggam tangan, kami melaungkan cita-cita kami untuk memastikan Melayu akan gagah di Nusantara.

Namun, saya tidak tahu mengapa semangat itu tidak mampu meresap dalam kalbu saya. Semakin saya dewasa, semakin saya membenci lagu itu. Tanpa prejudis, tanpa hasutan. Ia semulajadi.

Mungkin kerana saya sedar, Melayu hanyalah satu bangsa.

Hingga kini, hati saya sakit apabila membaca tentang semangat kebangsaaan. Bukan kerana saya tidak menghargai bangsa saya - malah nyatanya saya bangga berdarah Melayu - tetapi kerana semangat kebangsaan itu sangat sempit ruang lingkupnya bagi saya.

Lagu Warisan contohnya, sangat sempit dan dangkal. Jika tidak, tentu liriknya tidak diubah untuk disesuaikan dengan suasana. Lirik lagu Warisan yang asal sudah berkali-kali diubah kerana mahu mengaburi nilai kebangsaan yang ada. Kali pertama dipinda pada 1990, sewaktu saya di matrikulasi Kulim. Rangkap 5 dan 6 digugurkan.

Pindaan kedua berlaku semasa saya di UKM. Baris terakhir rangkap pertama ditukar menjadi "bumi dipijak milik orang".

Dan sekarang, pindaan terbaru berlaku lagi. Perkataan "Melayu" dan "Pribumi" ditukar menjadi "Kita".

Mahu menyanyi bersama-sama?

Ini lirik asalnya yang masih kukuh dalam ingatan saya.

Anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
air mata darah bercampur keringat
bumi milik diancam orang

Nenek moyang kaya raya
tergadai seluruh harta benda
akibat sengketa sesamalah kita
cinta lenyap di arus zaman

indahnya bumi kita ini
warisan berkurun lamanya
hasil mengalir ke tangan yang lain
pribumi merintih sendiri

masa depan sungguh kelam
'kan lenyap peristiwa semalam
tertutuplah hati
terkunci mati
maruah peribadi sudah hilang

kita rumpun bangsa Melayu
menganut agama yang suci
semangat bangsa berlandaskan Islam
teras capai kemerdekaan

dari masa hingga masa
petualang menghancurkan bangsa
alatkan agama demi peribadi
pupus kita di bumi ilahi

kini kita cuma tinggal kuasa
yang akan menentukan bangsa
bersatulah hati
bersama berbakti
pulih kembali harga diri

kita sudah tiada masa
majulah dengan gagah perkasa
janganlah terlalai
teruskan usaha

Melayu kan gagah di Nusantara
Melayu kan gagah di Nusantara
Melayu kan gagah di Nusantara 

No comments:

Post a Comment