Wednesday, December 30, 2015

Tamat

Esok hari terakhir 2015 dan tiga hari kemudian sesi persekolahan akan bermula. Tiada lagi cuti buat saya dan semua. Minda dan jiwa perlu ditala untuk menerima rutin yang berbeza.

Bohong jika saya kata saya sudah puas bercuti. Saya memang mahu bercuti lagi tetapi apa pun dalam dunia ini tiada yang abadi. Selamat tinggal cuti. In Shaa Allah panjang umur kita berjumpa lagi.

Pelbagai warna yang menghiasi cuti saya kali ini. Gembira, bahagia dan tidak kurang juga duka nestapa. Itulah rencah kehidupan, bukan hanya pada waktu cuti. Apa pun saya bersyukur dengan sepenuh hati atas setiap laluan dan jalan yang dilorongkan Tuhan kepada saya. Saya tahu ada pengajaran yang amat besar dalam setiap kejadian yang berlaku, jika kita mahu mengiktibarinya.

Azam 2016 biarlah menjadi sesuatu yang berterusan. Saya masih seorang saya yang memasang azam baru pada setiap hari kerana saya mahu menjadi manusia yang lebih baik dari hari sebelumnya. Tugas dan tanggungjawab saya di bumi Tuhan ini sangat banyak, saya mohon Tuhan permudahkan segalanya dan memberi kekuatan untuk saya mendepani setiap cabaran. Sebagai anak, sebagai isteri, sebagai guru dan yang paling aula sebagai hamba Allah.

Datanglah 2016. Akan kudakapmu dengan semangat perjuangan.

Monday, December 28, 2015

Rintih

"Mak Yam bukan mahu menangis Ti, tapi bila memikirkan anak-anak, beginilah Mak Yam..."

Saya sedang membantu serba sedikit di rumah Kak Nab pada pagi Jumaat itu apabila Mak Yam datang berbual-bual dengan saya. Dia dahulunya jiran saya sewaktu kecil. Saya kerap benar bermain-main di rumahnya dengan anak-anaknya yang sebaya saya.

Anak Mak Yam lapan orang semuanya. Sama ramai dengan adik beradik saya. Sebagai ibu, Mak Yam sudah memberi yang terbaik untuk membesarkan mereka berlapan walaupun dalam serba kekurangan. Mak Yam bukan orang senang. Dia dan suaminya cuma bekerja kampung. Mak Yam juga tiada adik beradik. Dia lahir sebagai anak tunggal dan dialah yang menjaga arwah emaknya hingga ke hujung nyawa. Emak dan suaminya meninggal berselang beberapa bulan sahaja iaitu pada tahun 1986. Hampir 30 tahun sudah Mak Yam menjadi ibu tunggal.

Kini dalam usia 70-an Mak Yam masih menghitung nasib diri. Sewajarnya Mak Yam sudah boleh berehat daripada memikirkan segala kesukaran hidup pada usia begini tetapi apa daya Mak Yam, anak-anaknya masih perlu diasuh.

Kata Mak Yam, daripada lapan anaknya itu tiada satu pun yang mampu menyejukkan hatinya. Air matanya yang mengalir itu menjadi bukti resah dan pilu dalam hati Mak Yam.

Saya yang amat tersentuh, hanya mampu meminta Mak Yam bersabar dan usah terlalu memikirkan anak-anaknya itu. Biarlah mereka mengemudi sendiri haluan hidup mereka. Iringkan sahaja doa tulus buat mereka agar hati mereka terbuka untuk menggembirakan Mak Yam pada sisa-sisa usia yang masih ada.


Sent from Samsung Mobile

Saturday, December 26, 2015

Hangat

Pagi ini saya lapang. Suami saya ke sekolah untuk urusan pendaftaran pelajar jadi saya hanya bersendirian di rumah.

Mula-mula, saya layan rasa malas saya dengan berbaring di katil dan melayan telefon pintar saya ini. Lama-lama saya lena. Bila terjaga, sudah jam sembilan lebih. Ish! Tak boleh jadi ni. Masa yang ada tak elok disiakan!

Saya  bingkas. Dalam fikiran saya bersusun-susun agenda. Pertama, memasukkan kain kotor ke dalam mesin. Kedua, mengemas dapur. Ketiga membersih ruang tamu. Dan keempat, menggosok.

Selesai agenda pertama, saya ke agenda kedua. Saya mencuci pinggan, memanaskan bihun malam tadi dan mengisi air dalam peti sejuk. Seterusnya saya menyalin air dalam thermo pot untuk diisi yang baru.

Malang tidak berbau.

Air yang panas itu saya masukkan dalam bekas dan ketika saya mahu menutupnya, tiba-tiba bekas itu terbalik dan air yang panas itu tumpah ke tangan saya. Terlompat saya! Mujur ia tidak terlalu panas dan saya tidak cedera parah.

Masih enggan mengalah, sebelum air yang tumpah itu saya lap, saya mahu menutup juga bekas air tadi. Dan sekali lagi ia terpelanting mengenai gelas yang saya letak di sink. Gelas itu jatuh, pecah berderai!

Mujur, saya tidak cedera.

Maka agenda yang saya susun elok-elok itu sudah ke laut jadinya. Saya terpaksa mengelap, menyapu dan mengutip kaca-kaca yang berserakan itu. Aduhai. Kita hanya merancang.

Selesai semua itu, saya sudah tidak boleh membersih ruang tamu kerana penyapu saya sudah basah. Hajat saya mahu menyapu dan membuang sawang yang ada di ruang tamu dengan penyapu itulah. Apa nak buat, kita hanya merancang.

Saya kembali ke bilik untuk menggosok. Jam belum pun sepuluh pagi jadi saya menulis entry ini dahulu.

Selepas ini saya mahu menggosok pakaian untuk menyertai rombongan pengantin perempuan Sarihah Ismail ke Tumpat pula. Semoga tiada malang lagi kali ini.

Amin.

Sent from Samsung Mobile

Thursday, December 24, 2015

Ziarah

Rupa-rupanya kisah suami saya ditahan di hospital menjadi viral di kalangan teman dan kenalan. Pada hal, kami tidak bercerita kepada sesiapa pun. Malah kepada keluarga terdekat pun tidak.

Kisahnya, biras saya Hj. Sulaiman ditanya oleh seorang sahabat sebaik selesai solat Maghrib di masjid malam itu. Sahabat itu meminta pengesahan benarkah Cikgu Rosdi sakit dan berada di wad. Terpinga-pinga biras saya itu. Dia tidak tahu apa-apa. Rupanya ada sahabat lain yang melihat suami saya dibawa dengan ambulan ke hospital lalu menyebarkannya.

Dari sesuatu yang kecil, tiba-tiba ia menjadi besar. Mek, Kak Rohaini, Atiyah  terus menghubungi saya meminta cerita sebenar. Sudah wujud bimbang dalam kalangan mereka.

Jujurnya, saya kurang selesa tetapi saya tiada pilihan. Bukan menidakkan keprihatinan mereka tetapi kenyataannya suami saya tidak sakit. Tidak ada apa perlu dirisaukan. Semua ini hanya menambah kekalutan yang tidak perlu. 

Jam 11 pagi ini, sekali lagi Fakhrudin memberi kesudian untuk membawa saya ke hospital dan menjemput suami saya pulang.

Walaupun semuanya normal, suami saya sememangnya sedikit penat dan kurang bermaya dek tidak lena tidur semalaman. Malah, kesan ubat tahan sakit yang disuntik juga menerbitkan sedikit rasa pening dan mual padanya. Lalu dia mengharapkan sedikit ruang untuk tidur dan berehat.

Tiba di rumah kami, saya menyediakan makan tengah hari dan dia berbaring sebentar. Usai makan, dia mahu menyambung rehat tetapi tidak berlaku seperti yang diharapkan.

Satu demi satu sahabat dan kaum keluarga datang menziarah. Kasihan suami saya, matanya berat tetapi perlu bertahan.

Bukan sebentar mereka datang. Hanya selepas Asar baru pulang.

Jam 5.10 petang barulah ada ruang untuk dia berbaring kembali. Itu pun tidak lama. Menjelang Maghrib, Kak Wan menelefon. Dia mahu datang mandi dan bersolat Maghrib di sini.

Malam ini malam pernikahan Sarihah anak saudara kami, jadi Kak Wan datang untuk menghadiri majlis itu. Pun rumah Kak Nab sudah terlalu sesak lalu dia memilih untuk datang ke rumah kami.

Jam 8.15 malam, mereka turun ke tempat pernikahan. Suami saya sudah terlebih dahulu ke masjid. Maka tinggallah saya sendirian.

Saya ke dapur menjerang nasi, menggoreng daging dan sayur. Suami saya kata dia mahu terus pulang sebaik selesai akad nikah kerana tidak berdaya menunggu lama-lama di sana. Dia penat dan mengantuk. Jadi dia mahu makan malam di rumah.

Sekarang, 9.15 malam. Saya sudah selesai memasak, mandi dan solat. Saya menunggu suami saya pulang untuk sama-sama makan malam dan seterusnya berehat. Semoga tiada lagi sesiapa yang menziarah malam ini. Berilah ruang untuk suami saya melenakan diri.


Sent from Samsung Mobile

Warded

It happened unexpectedly. I thought it will be just an ordinary check-up done by all of us when we feel a little bit uncomfortable.

Yesterday afternoon, around 3pm my husband went to Klinik Perol just to do some ECG test for he was feeling unwell. What happened next was so unexpected. The Doctor asked him to go for further check-up at HKB and it ended with he had to spend the night in the ward.

I was at home when he called and told me that the ambulance will take him to the hospital. I regreted to let him alone but what can I do? I cannot drive!

So, I just waited for his call for any updates.

Everything went fine and all the tests done gave normal results. Before entering the doctor's room to finalise the procedure, he called me and asked me to come with our nephew and took him home. He was so confident that this would be the doctor's decision too.

But it didn't happen that way. The doctor still wanted to do another test on him tomorrow. So she asked my husband to spend the night in the hospital! 

I went there with our nephew Fakhrudin to give him t-shirt, towel and tooth brush. I asked him whether he wants me to stay with him but he refused. He asked me to go home and he will be okay.

So this morning, another ECG test done. The result was still normal. The blood test also normal. And with that, he was allowed to go home.

Alhamdulillah. 


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, December 23, 2015

Anak-anak Manis


Semua sudah bakal kembali rutin. Semua juga sudah mahu pulang ke destinasi masing-masing. Cuti panjang akhir tahun sudah mahu berakhir.

Kenyataannya, tiada yang kekal di dunia ini. Cuti juga hanya sementara.

Anak-anak manis ini sudah tidak akan bermain bersama lagi. Areef dan Amal akan kembali ke Teluk Intan. Kak Teh dan Ninan sudah pun berada di Johor. Afnan pula menuju ke Kuala Lumpur ujtuk menyambung cuti di sana.

Muiz juga bakal menjejakkan kaki ke sekolah. Samalah dengan Sufi, Nasih dan Wajih. Tiada lagi berkejar-kejaran di rumah tok ma.

Sekurang-kurangnya Muiz, Sufi, Nasih dan Wajih boleh bertemu pada hujung minggu apabila berkumpul di rumah tok ma. Tetapi yang lain bagaimana? Jika ada rasa cinta dan kasih pad tanah kelahiran, elok juga mencuba mengisi borang pertukaran.

Ya, tidak salah berbakti di mana pun jua. Semua pun bumi Allah. Tetapi di sini, di bumi Kelantan ini, ada ruang rasa yang tersendiri dan tidak wujud di negeri-negeri lain.

Mungkin ada yang masih merasainya walaupun tidak kurang yang sudah melupainya.

Sent from my ASUS

Bermula

Isnin lepas, segalanya bermula untuk tahun 2016. Biarpun masih berbaki dua minggu lagi sebelum tibanya tahun baru itu, tugas kami di sekolah sudah bermula. Tiada lagi cuti.

Jam 9.00 pagi kami berkumpul di bilik mesyuarat untuk meneliti segala tugas dan agenda bagi tahun 2016. Segalanya hanya tamat pada 1.30 tengah hari.

Dan, kali ini saya mampu bernafas lega. Permohonan saya untuk menggugurkan tugas Setiausaha Kecemerlangan SPM yang saya sandang sejak 2010 akhirnya diperkenankan. Betapa bahagianya saya apabila melihat bukan lagi nama saya yang tertera pada jawatan itu dalam buku pengurusan sekolah. Bagai hilang segunung bebanan, walaupun balasannya, saya diberi tugas baru sebagai Setiausaha Jawatankuasa Jadual Ganti.

Selama ini pun saya sudah sangat kerap bertungkus lumus menyediakan jadual ganti dek ada sedikit kepakaran. Jadi saya tidak kisah pun memegang tugas itu dan akan cuba memberi yang lebih baik daripada sebelum ini.

Tugas-tugas saya yang lain masih sama seperti tahun lepas. Setiausaha Peperiksaan bahagiab Headcount, Guru Penasihat Kelab Pengguna dan Guru Pengakap.

Seperti selalu, azam tahun baru saya ialah untuk menjalankan tugas yang diamanahkan itu dengan penuh tanggungjawab demi anak didik tercinta.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, December 22, 2015

Terima Kasih


Sesekali berkumpul ramai-ramai begini sememangnya menyeronokkan. Apatah lagi ada hidangan istimewa yang disedia khusus untuk menambah keriangan setiap tetamu.

Terima kasih adinda Husna menjemput kami menikmati nasi ayam dan cucur udang juga brownies dan kuih muih lazat pada petang Ahad baru-baru ini.

Jika boleh, jemputlah lagi!



Sent from Samsung Mobile

Doa Buat Hasif

Pagi Ahad itu, Hasif tentu sangat gembira dan tidak sabar-sabar untuk pergi berkelah bersama ayah, ibu dan tiga kakaknya di Taman Rekreasi Belukar Bukit, Hulu Terengganu. Bukan selalu mereka sekeluarga berpeluang pulang ke kampung ibu mereka.

Siapa pun tidak menjangka akan ada tragedi pilu yang menyayat setiap hati yang mendengarnya. Siapa pun tidak mampu menebak perkelahan keluarga itu diakhiri begitu.

Mohd Halim Saiman, isterinya Nur Adilah Awang dan tiga anak perempuannya maut kerana lemas di air terjun dek pusaran air yang tiba-tiba.

Yang tinggal hanyalah Hasif.

Hasif, anak lelaki bongsu yang sangat manja dengan ayahnya, kini tinggal yatim piatu. Sayu matanya mengiringi kepergian kelima-lima ahli keluarga yang dikasihi itu, tidak mampu dimengerti oleh sesiapa. Dalam usia sembilan tahun cuma, Hasif berdepan ujian yang seberat itu.

Tabahlah anakanda Hasif. Kami yang mengikuti kisahmu tidak akan berhenti berdoa buatmu. Kami yakin ada hikmahnya Allah membiarkan kamu terus menghirup udara dunia pada saat ibu bapa dan kakak-kakakmu dipanggil pulang. Allah maha tahu sedang kita tidak tahu.

Tabahlah Hasif. Engkau masih beruntung kerana punya insan-insan prihatin yang akan menjaga dan menyayangimu sebaiknya.

Tabahlah Hasif.

Doa kami bertebaran buatmu.


Sent from Samsung Mobile

Saturday, December 19, 2015

Jamuan Kecil


Apabila ada ahli baru yang bertambah dalam keluarga, kami berbesar hati untuk menjemput dan meraikan mereka di rumah kami. Dan begitulah kali ini.

Sepulang dari bercuti pada Khamis, suami meminta saya menyediakan sedikit jamuan untuk meraikan Rahimi dan Fareena. Jujurnya, saya tiada idea. Memasak bukan kegemaran saya, tetapi saya tiada pilihan. Suami mencadangkan menu mudah sahaja, mi sup tulang dan saya tanpa bangkangan bersetuju sahaja. Dan kami menjemput pasangan pengantin baru itu dan semua ahli keluarga yang ada untuk ke rumah kami selepas Asar nanti.

Pagi Jumaat itu, dalam hujan renyai-renyai kami memulakan misi mencari bahan untuk hidangan itu. Mujur segalanya dipermudahkan. Jam 11.20 pagi kami sudah tiba kembali ke rumah kami.

Agenda pertama saya tentunya memasak untuk makan tengah hari dahulu. Kali ini saya tidak mahu yang susah-susah. Hanya sayur air petola campur daging dan udang, ikan selar goreng dan telur goreng. Cukup.

Sementara itu, tulang dan daging saya jerang dahulu bagi mempercepatkan proses mengempukkannya. Selesai makan tengah hari, saya memulakan acara memasak mi sup.

Seperiuk besar sup tulang dan daging selesai dimasak pada jam 4.20 petang. Lima bungkus mi kuning dicelur, sayur sawi dan kobis juga dicelur sama. Hirisan daun sup dan bawang ditemani bawang goreng disediakan juga. Karipap goreng dan kek coklat menjadi pemanis mulut. Dan akhir sekali, air teh o panas dan teh o beng saya sediakan tiga jug besar.

Sekitar jam 5.45 petang, mereka semua tiba. Lapan belas tetamu semuanya dan Alhamdulillah, hidangan saya sedang elok sahaja tanpa sebarang pembaziran.

Wednesday, December 16, 2015

Bercuti

Hari ini, sudah hari ke-27 sekolah bercuti. Kelihatannya lama, tetapi cuma berbaki 17 hari sahaja lagi sebelum sekolah kembali dibuka. Sudah lebih separuh cuti ini rupanya tetapi saya masih belum ke mana-mana.

Minggu pertama cuti, saya meraikan majlis resepsi adinda Ismah saya yang bertempat di D'Tunjung Banquet, beberapa kilometer sahaja dari rumah kami. Dan minggu pertama itu juga saya memenuhi tuntutan kelas tambahan tingkatan 4 di sekolah saya bersekali dengan menyiapkan analisis peperiksaan.

Menjelang minggu kedua, saya ke Penang untuk majlis perkahwinan Rahimi. Hanya semalaman di sana dan kami tidak berjalan ke mana-mana selain ke tempat kenduri itu sahaja.

Pulang dari Penang, kesihatan saya sedikit terganggu apabila diserang selesema, batuk dan demam.

Minggu ketiga, kakak ipar saya pula berkenduri iaitu pada Sabtu 12hb Disember. Walaupun tidak sesibuk mana tetapi seharian itu saya berkampung di rumahnya.

Pada Ahad pula, jam 9.00 pagi saya bergerak ke sekolah untuk analisis PT3 yang akan diumum pada Isnin. Jam 12.30 tengah hari baru saya pulang. Penat juga minda saya!

Temujanji di klinik pakar O&G juga berlaku pada minggu ini iaitu pada Selasa. Alhamdulillah segalanya memuaskan dan doktor meminta saya datang empat bulan lagi.

Hari ini, Rabu. Saya dan suami mengambil keputusan untuk mencari kerehatan di negeri orang. Semalaman pun jadilah.

Jam 11 pagi kami menyusuri pantai menuju ke sini. Tanjong Vista. Dan semestinya kami tidak berlama-lama. Esok, kami pulanglah.

Minggu hadapan akan bermulalah segala mesyuarat di sekolah yang sudah dijadualkan untuk dijalankan sewaktu cuti. Tidak perlulah saya berangan-angan lagu untuk mencari kerehatan di tempat lain. Saya perlu menerima hakikat bahawa saya tidak punya waktu cuti yang santai lagi selepas ini. 


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, December 15, 2015

PT3

Semalam, 14hb Disember 2015, keputusan PT3 diumumkan secara rasmi di seluruh negara. 

Kami para guru sudah terlebih dahulu mengetahui keputusan PT3 dekolah kami kerana PT3 adalah peperiksaan berasaskan sekolah tetapi atas dasar amanah dan integriti, keputusan itu kekal sulit sehinggalah ke hari semalam.

Alhamdulillah. Apa pun keputusannya, kami tetap memanjat sejuta syukur ke hadrat Allah atas setiap kurnia.

Tahun ini dua orang anak saudara saya menduduki peperiksaan ini dan kedua-dua mereka diizin Allah untuk menerima keputusan yang amat cemerlang.

Anis Radhiah Mohd Lutfi berbahagia dengan 11A miliknya sekaligus melayakkan dia dinobat sebagai pelajar terbaik Terengganu.

Nursyarah Ilina Mahadi pula cemerlang dengan 10A walaupun dia bergelut dengan demam denggi sehingga terpaksa berada di ICU dan hanya sembuh beberapa hari sebelum PT3 berlangsung.

Allah jualah yang memberi segalanya. Alhamdulillah. 


Sent from Samsung Mobile

Monday, December 14, 2015

Demam

Pagi Selasa itu. 8hb Disember. Saya bangkit dari tidur dengan tekak yang sedikit perit. Nafas pula terasa agak panas. Seperti mencucuk-cucuk. Begini, selalunya mukaddimah sebuah demam.

Usai solat Subuh saya kembali berbaring di katil. Badan memang tidak berapa selesa. Mata seperti ingin kembali menyambung lena. 

Sarapan pagi seperti biasa dibeli oleh suami. Sebungkus nasi berlauk dari kedai di sebelah rumah mek tetap habis saya makan. Badan mula terasa panas sedikit tetapi saya enggan mencari ubat. Saya mahu ia kebah sendiri. Enggan memanjakan diri, jam 10 pagi saya keluar ke kedai dengan suami. Kami membeli barangan runcit di DZ dan sedikit lauk pauk di gerai sebelahnya.

Pulang ke rumah, saya berehat sebentar sebelum meneruskan agenda memasak tengah hari. Seperti biasa menu saya ringkas sahaja. Ikan kikik goreng kunyit, sayur lemak kobis campur jagung muda, dan telur rebus cecah air asam.

Usai Zohor, saya kepenatan. Lalu saya merehatkan sahaja diri di bilik sehingga ke petang.

Malam, kami keluar makan di kedai sahaja kerana saya sudah ketiadaan mood untuk memasak. Tekak makin perit, dan batuk sudah mula menyerang.

Esoknya, 9hb Disember saya memerap sahaja di rumah. Enggan ke mana-mana kerana badan semakin tidak larat. Alhamdulillah saya selesa berbaring di katil dengan lena yang tersekat-sekat. Walaupun begitu, saya tetap gagah untuk memasak makan tengah hari.

Sotong rebus serai dan ikan bawal kicap cukup untuk menu kami tengah hari ini.

Malam, kami ke Restoran Manok untuk menikmati Kuey Teow Kungfu dan Mee Sup. Saya enggan ke klinik kerana rasanya demam ini tidak terlalu mencabar. Cukuplah saya membeli sebotol ubat batuk Woods di farmasi dan menelan sebiji Uphamol 650 yang sememangnya sentiasa ada dalam bekalan ubat di rumah saya.

10 Disember, Khamis. Saya sudah tidak demam lagi. Cuma batuk yang masih enggan pergi.

Alhamdulillah.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, December 08, 2015

Belarak

Jumaat 4hb Disember 2015. Jam 9.30 pagi.

Empat buah kereta bergerak serentak dari perkarangan rumah Kak Zan menuju ke Penaga, Pulau Pinang. Kereta kami, kereta Rahimi, kereta Kak Zan dan kereta Kak Long yang membawa hampir dua puluh orang ahli rombongan memulakan perjalanan dengan doa dan harapan agar segalanya dipermudahkan.

Kereta kelima milik Zaki dan Anis menyertai kami agak terkemudian kerana mereka menanti di Tanah Merah. Cuaca agak panas, sesekali redup tetapi tiada hujan mengiringi perjalanan kami kali ini. Rombongan kami ini bagi menghantar dan menghadiri majlis perkahwinan anakanda kelima Kak Zan iaitu Rahimi yang memilih gadis Penaga berusia 22 tahun sebagai suri hatinya.

Jam 1.00 tengah hari kami berhenti di Hentian Rehat Cegar Perah untuk menikmati sedikit santapan tengah hari yang sedia dibekalkan oleh Kak Zan.

Ada nasi lemak, ada nasi putih. Lauk pauknya pula ayam masak merah, sup ayam dan ulam-ulaman. Saya turut berkongsi bekal iaitu sedikit daging kijang goreng yang saya bawa dari rumah. Walaupun sedikit, semua dapat menjamahnya.

Jam 2.00 petang kami meneruskan perjalanan dan Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah inap desa yang sangat besar dan selesa di Kampung Penaga itu. Kami solat Zohor dan Asar secar jamak taakhir dan seterusnya merebahkan badan untuk sedikit kerehatan.

Malamnya, kami dihidangkan makan malam yang disediakan oleh keluarga sebelah pengantin perempuan. Kari ikan, ikan goreng, sayur goreng dan sambal belacan melengkapi makan malam kami.

Selesai menggosok baju untuk dipakai esok, saya mula mencari lena. Alhamdulillah selesa juga di bermalam di sini.

Sabtu 5hb Disember 2015.

Kami bersiap sedia untuk bergerak ke masjid untuk acara akad nikah. Sarapan nasi lemak yang agak pedas menjadi alas perut kami pagi ini.

Bertemakan hijau, kami bergerak serentak ke masjid Kampung Penaga dan berada di situ sehingga tengah hari. Jam 12.30 kami dijemput untuk menikmati kenduri di rumah pengantin perempuan.

Mohamad Noor Rahimi bin Sulaiman dan Ummi Fareena binti Mohd Zaidi akhirnya selamat bergelar suami isteri pada hari ini. Semoga rumahtangga yang dibina ini penuh bahagia dan diberkati.

Jam 1.30 tengah hari kami pun bergerak pulang ke Kelantan dan selamat tiba di Villa Seri Chenok pada jam 9.35 malam.

Alhamdulillah.

Monday, December 07, 2015

Berita Kematian

Benarlah. Hidup lawannya mati, dan syarat untuk mati cumalah hidup. Apabila tiba waktunya, tak sedetik pun ia terlewat.

Pak Yus, seniwati Mariani dan Tunku Jalil menjadi figura awam yang pulang ke rahmatullah dalam tempoh berturutan hari dalam seminggu ini. Tiada siapa menyangka, tiada siapa menjangka tetapi Allah maha berkuasa.

Tenang dan damailah semuanya. Tempoh kalian di dunia telah tamat biarpun berbeza bilangan tahunnya. Kami yang masih tinggal ini sedang menanti ke alam yang sama cuma tidak tahu bila.

Benarlah. Hidup lawannya mati. Siapa pun tidak terkecuali.