Pagi ini saya lapang. Suami saya ke sekolah untuk urusan pendaftaran pelajar jadi saya hanya bersendirian di rumah.
Mula-mula, saya layan rasa malas saya dengan berbaring di katil dan melayan telefon pintar saya ini. Lama-lama saya lena. Bila terjaga, sudah jam sembilan lebih. Ish! Tak boleh jadi ni. Masa yang ada tak elok disiakan!
Saya bingkas. Dalam fikiran saya bersusun-susun agenda. Pertama, memasukkan kain kotor ke dalam mesin. Kedua, mengemas dapur. Ketiga membersih ruang tamu. Dan keempat, menggosok.
Selesai agenda pertama, saya ke agenda kedua. Saya mencuci pinggan, memanaskan bihun malam tadi dan mengisi air dalam peti sejuk. Seterusnya saya menyalin air dalam thermo pot untuk diisi yang baru.
Malang tidak berbau.
Air yang panas itu saya masukkan dalam bekas dan ketika saya mahu menutupnya, tiba-tiba bekas itu terbalik dan air yang panas itu tumpah ke tangan saya. Terlompat saya! Mujur ia tidak terlalu panas dan saya tidak cedera parah.
Masih enggan mengalah, sebelum air yang tumpah itu saya lap, saya mahu menutup juga bekas air tadi. Dan sekali lagi ia terpelanting mengenai gelas yang saya letak di sink. Gelas itu jatuh, pecah berderai!
Mujur, saya tidak cedera.
Maka agenda yang saya susun elok-elok itu sudah ke laut jadinya. Saya terpaksa mengelap, menyapu dan mengutip kaca-kaca yang berserakan itu. Aduhai. Kita hanya merancang.
Selesai semua itu, saya sudah tidak boleh membersih ruang tamu kerana penyapu saya sudah basah. Hajat saya mahu menyapu dan membuang sawang yang ada di ruang tamu dengan penyapu itulah. Apa nak buat, kita hanya merancang.
Saya kembali ke bilik untuk menggosok. Jam belum pun sepuluh pagi jadi saya menulis entry ini dahulu.
Selepas ini saya mahu menggosok pakaian untuk menyertai rombongan pengantin perempuan Sarihah Ismail ke Tumpat pula. Semoga tiada malang lagi kali ini.
Amin.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment