Wednesday, December 16, 2015

Bercuti

Hari ini, sudah hari ke-27 sekolah bercuti. Kelihatannya lama, tetapi cuma berbaki 17 hari sahaja lagi sebelum sekolah kembali dibuka. Sudah lebih separuh cuti ini rupanya tetapi saya masih belum ke mana-mana.

Minggu pertama cuti, saya meraikan majlis resepsi adinda Ismah saya yang bertempat di D'Tunjung Banquet, beberapa kilometer sahaja dari rumah kami. Dan minggu pertama itu juga saya memenuhi tuntutan kelas tambahan tingkatan 4 di sekolah saya bersekali dengan menyiapkan analisis peperiksaan.

Menjelang minggu kedua, saya ke Penang untuk majlis perkahwinan Rahimi. Hanya semalaman di sana dan kami tidak berjalan ke mana-mana selain ke tempat kenduri itu sahaja.

Pulang dari Penang, kesihatan saya sedikit terganggu apabila diserang selesema, batuk dan demam.

Minggu ketiga, kakak ipar saya pula berkenduri iaitu pada Sabtu 12hb Disember. Walaupun tidak sesibuk mana tetapi seharian itu saya berkampung di rumahnya.

Pada Ahad pula, jam 9.00 pagi saya bergerak ke sekolah untuk analisis PT3 yang akan diumum pada Isnin. Jam 12.30 tengah hari baru saya pulang. Penat juga minda saya!

Temujanji di klinik pakar O&G juga berlaku pada minggu ini iaitu pada Selasa. Alhamdulillah segalanya memuaskan dan doktor meminta saya datang empat bulan lagi.

Hari ini, Rabu. Saya dan suami mengambil keputusan untuk mencari kerehatan di negeri orang. Semalaman pun jadilah.

Jam 11 pagi kami menyusuri pantai menuju ke sini. Tanjong Vista. Dan semestinya kami tidak berlama-lama. Esok, kami pulanglah.

Minggu hadapan akan bermulalah segala mesyuarat di sekolah yang sudah dijadualkan untuk dijalankan sewaktu cuti. Tidak perlulah saya berangan-angan lagu untuk mencari kerehatan di tempat lain. Saya perlu menerima hakikat bahawa saya tidak punya waktu cuti yang santai lagi selepas ini. 


Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment