"Mak Yam bukan mahu menangis Ti, tapi bila memikirkan anak-anak, beginilah Mak Yam..."
Saya sedang membantu serba sedikit di rumah Kak Nab pada pagi Jumaat itu apabila Mak Yam datang berbual-bual dengan saya. Dia dahulunya jiran saya sewaktu kecil. Saya kerap benar bermain-main di rumahnya dengan anak-anaknya yang sebaya saya.
Anak Mak Yam lapan orang semuanya. Sama ramai dengan adik beradik saya. Sebagai ibu, Mak Yam sudah memberi yang terbaik untuk membesarkan mereka berlapan walaupun dalam serba kekurangan. Mak Yam bukan orang senang. Dia dan suaminya cuma bekerja kampung. Mak Yam juga tiada adik beradik. Dia lahir sebagai anak tunggal dan dialah yang menjaga arwah emaknya hingga ke hujung nyawa. Emak dan suaminya meninggal berselang beberapa bulan sahaja iaitu pada tahun 1986. Hampir 30 tahun sudah Mak Yam menjadi ibu tunggal.
Kini dalam usia 70-an Mak Yam masih menghitung nasib diri. Sewajarnya Mak Yam sudah boleh berehat daripada memikirkan segala kesukaran hidup pada usia begini tetapi apa daya Mak Yam, anak-anaknya masih perlu diasuh.
Kata Mak Yam, daripada lapan anaknya itu tiada satu pun yang mampu menyejukkan hatinya. Air matanya yang mengalir itu menjadi bukti resah dan pilu dalam hati Mak Yam.
Saya yang amat tersentuh, hanya mampu meminta Mak Yam bersabar dan usah terlalu memikirkan anak-anaknya itu. Biarlah mereka mengemudi sendiri haluan hidup mereka. Iringkan sahaja doa tulus buat mereka agar hati mereka terbuka untuk menggembirakan Mak Yam pada sisa-sisa usia yang masih ada.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment