Saturday, December 19, 2015

Jamuan Kecil


Apabila ada ahli baru yang bertambah dalam keluarga, kami berbesar hati untuk menjemput dan meraikan mereka di rumah kami. Dan begitulah kali ini.

Sepulang dari bercuti pada Khamis, suami meminta saya menyediakan sedikit jamuan untuk meraikan Rahimi dan Fareena. Jujurnya, saya tiada idea. Memasak bukan kegemaran saya, tetapi saya tiada pilihan. Suami mencadangkan menu mudah sahaja, mi sup tulang dan saya tanpa bangkangan bersetuju sahaja. Dan kami menjemput pasangan pengantin baru itu dan semua ahli keluarga yang ada untuk ke rumah kami selepas Asar nanti.

Pagi Jumaat itu, dalam hujan renyai-renyai kami memulakan misi mencari bahan untuk hidangan itu. Mujur segalanya dipermudahkan. Jam 11.20 pagi kami sudah tiba kembali ke rumah kami.

Agenda pertama saya tentunya memasak untuk makan tengah hari dahulu. Kali ini saya tidak mahu yang susah-susah. Hanya sayur air petola campur daging dan udang, ikan selar goreng dan telur goreng. Cukup.

Sementara itu, tulang dan daging saya jerang dahulu bagi mempercepatkan proses mengempukkannya. Selesai makan tengah hari, saya memulakan acara memasak mi sup.

Seperiuk besar sup tulang dan daging selesai dimasak pada jam 4.20 petang. Lima bungkus mi kuning dicelur, sayur sawi dan kobis juga dicelur sama. Hirisan daun sup dan bawang ditemani bawang goreng disediakan juga. Karipap goreng dan kek coklat menjadi pemanis mulut. Dan akhir sekali, air teh o panas dan teh o beng saya sediakan tiga jug besar.

Sekitar jam 5.45 petang, mereka semua tiba. Lapan belas tetamu semuanya dan Alhamdulillah, hidangan saya sedang elok sahaja tanpa sebarang pembaziran.

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete