Tuesday, December 08, 2015

Belarak

Jumaat 4hb Disember 2015. Jam 9.30 pagi.

Empat buah kereta bergerak serentak dari perkarangan rumah Kak Zan menuju ke Penaga, Pulau Pinang. Kereta kami, kereta Rahimi, kereta Kak Zan dan kereta Kak Long yang membawa hampir dua puluh orang ahli rombongan memulakan perjalanan dengan doa dan harapan agar segalanya dipermudahkan.

Kereta kelima milik Zaki dan Anis menyertai kami agak terkemudian kerana mereka menanti di Tanah Merah. Cuaca agak panas, sesekali redup tetapi tiada hujan mengiringi perjalanan kami kali ini. Rombongan kami ini bagi menghantar dan menghadiri majlis perkahwinan anakanda kelima Kak Zan iaitu Rahimi yang memilih gadis Penaga berusia 22 tahun sebagai suri hatinya.

Jam 1.00 tengah hari kami berhenti di Hentian Rehat Cegar Perah untuk menikmati sedikit santapan tengah hari yang sedia dibekalkan oleh Kak Zan.

Ada nasi lemak, ada nasi putih. Lauk pauknya pula ayam masak merah, sup ayam dan ulam-ulaman. Saya turut berkongsi bekal iaitu sedikit daging kijang goreng yang saya bawa dari rumah. Walaupun sedikit, semua dapat menjamahnya.

Jam 2.00 petang kami meneruskan perjalanan dan Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah inap desa yang sangat besar dan selesa di Kampung Penaga itu. Kami solat Zohor dan Asar secar jamak taakhir dan seterusnya merebahkan badan untuk sedikit kerehatan.

Malamnya, kami dihidangkan makan malam yang disediakan oleh keluarga sebelah pengantin perempuan. Kari ikan, ikan goreng, sayur goreng dan sambal belacan melengkapi makan malam kami.

Selesai menggosok baju untuk dipakai esok, saya mula mencari lena. Alhamdulillah selesa juga di bermalam di sini.

Sabtu 5hb Disember 2015.

Kami bersiap sedia untuk bergerak ke masjid untuk acara akad nikah. Sarapan nasi lemak yang agak pedas menjadi alas perut kami pagi ini.

Bertemakan hijau, kami bergerak serentak ke masjid Kampung Penaga dan berada di situ sehingga tengah hari. Jam 12.30 kami dijemput untuk menikmati kenduri di rumah pengantin perempuan.

Mohamad Noor Rahimi bin Sulaiman dan Ummi Fareena binti Mohd Zaidi akhirnya selamat bergelar suami isteri pada hari ini. Semoga rumahtangga yang dibina ini penuh bahagia dan diberkati.

Jam 1.30 tengah hari kami pun bergerak pulang ke Kelantan dan selamat tiba di Villa Seri Chenok pada jam 9.35 malam.

Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment