Rupa-rupanya kisah suami saya ditahan di hospital menjadi viral di kalangan teman dan kenalan. Pada hal, kami tidak bercerita kepada sesiapa pun. Malah kepada keluarga terdekat pun tidak.
Kisahnya, biras saya Hj. Sulaiman ditanya oleh seorang sahabat sebaik selesai solat Maghrib di masjid malam itu. Sahabat itu meminta pengesahan benarkah Cikgu Rosdi sakit dan berada di wad. Terpinga-pinga biras saya itu. Dia tidak tahu apa-apa. Rupanya ada sahabat lain yang melihat suami saya dibawa dengan ambulan ke hospital lalu menyebarkannya.
Dari sesuatu yang kecil, tiba-tiba ia menjadi besar. Mek, Kak Rohaini, Atiyah terus menghubungi saya meminta cerita sebenar. Sudah wujud bimbang dalam kalangan mereka.
Jujurnya, saya kurang selesa tetapi saya tiada pilihan. Bukan menidakkan keprihatinan mereka tetapi kenyataannya suami saya tidak sakit. Tidak ada apa perlu dirisaukan. Semua ini hanya menambah kekalutan yang tidak perlu.
Jam 11 pagi ini, sekali lagi Fakhrudin memberi kesudian untuk membawa saya ke hospital dan menjemput suami saya pulang.
Walaupun semuanya normal, suami saya sememangnya sedikit penat dan kurang bermaya dek tidak lena tidur semalaman. Malah, kesan ubat tahan sakit yang disuntik juga menerbitkan sedikit rasa pening dan mual padanya. Lalu dia mengharapkan sedikit ruang untuk tidur dan berehat.
Tiba di rumah kami, saya menyediakan makan tengah hari dan dia berbaring sebentar. Usai makan, dia mahu menyambung rehat tetapi tidak berlaku seperti yang diharapkan.
Satu demi satu sahabat dan kaum keluarga datang menziarah. Kasihan suami saya, matanya berat tetapi perlu bertahan.
Bukan sebentar mereka datang. Hanya selepas Asar baru pulang.
Jam 5.10 petang barulah ada ruang untuk dia berbaring kembali. Itu pun tidak lama. Menjelang Maghrib, Kak Wan menelefon. Dia mahu datang mandi dan bersolat Maghrib di sini.
Malam ini malam pernikahan Sarihah anak saudara kami, jadi Kak Wan datang untuk menghadiri majlis itu. Pun rumah Kak Nab sudah terlalu sesak lalu dia memilih untuk datang ke rumah kami.
Jam 8.15 malam, mereka turun ke tempat pernikahan. Suami saya sudah terlebih dahulu ke masjid. Maka tinggallah saya sendirian.
Saya ke dapur menjerang nasi, menggoreng daging dan sayur. Suami saya kata dia mahu terus pulang sebaik selesai akad nikah kerana tidak berdaya menunggu lama-lama di sana. Dia penat dan mengantuk. Jadi dia mahu makan malam di rumah.
Sekarang, 9.15 malam. Saya sudah selesai memasak, mandi dan solat. Saya menunggu suami saya pulang untuk sama-sama makan malam dan seterusnya berehat. Semoga tiada lagi sesiapa yang menziarah malam ini. Berilah ruang untuk suami saya melenakan diri.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment