Esok hari terakhir 2015 dan tiga hari kemudian sesi persekolahan akan bermula. Tiada lagi cuti buat saya dan semua. Minda dan jiwa perlu ditala untuk menerima rutin yang berbeza.
Bohong jika saya kata saya sudah puas bercuti. Saya memang mahu bercuti lagi tetapi apa pun dalam dunia ini tiada yang abadi. Selamat tinggal cuti. In Shaa Allah panjang umur kita berjumpa lagi.
Pelbagai warna yang menghiasi cuti saya kali ini. Gembira, bahagia dan tidak kurang juga duka nestapa. Itulah rencah kehidupan, bukan hanya pada waktu cuti. Apa pun saya bersyukur dengan sepenuh hati atas setiap laluan dan jalan yang dilorongkan Tuhan kepada saya. Saya tahu ada pengajaran yang amat besar dalam setiap kejadian yang berlaku, jika kita mahu mengiktibarinya.
Azam 2016 biarlah menjadi sesuatu yang berterusan. Saya masih seorang saya yang memasang azam baru pada setiap hari kerana saya mahu menjadi manusia yang lebih baik dari hari sebelumnya. Tugas dan tanggungjawab saya di bumi Tuhan ini sangat banyak, saya mohon Tuhan permudahkan segalanya dan memberi kekuatan untuk saya mendepani setiap cabaran. Sebagai anak, sebagai isteri, sebagai guru dan yang paling aula sebagai hamba Allah.
Datanglah 2016. Akan kudakapmu dengan semangat perjuangan.
No comments:
Post a Comment