Seiring pertambahan usia, kerajinan saya dalam menggosok pakaian sudah semakin merosot. Selalu juga saya mengitar semula baju yang sudah dipakai (jika belum berbau dan hanya dipakai sekejap) dek kemalasan saya untuk menggosok baju lain. Apatah lagi bila menggosok baju dan seluar suami yang lebih susah berbanding baju kurung saya, hati saya sering berdetak mahukan pembantu!
Seterika saya sudah berganti empat kali dalam tempoh dua puluh tahun ini. Satu pun tiada yang rosak, cuma mahukan yang lebih baik. Dari yang berat, saya ganti dengan yang lebih ringan. Dari yang biasa, saya ganti dengan jenis wap. Pun, saya masih malas. Menggosok adalah beban terberat abad ini!
Setahun dua ini, rakan dan taulan bercerita tentang seterika Philips Amway yang katanya sangat memudahkan kerja menggosok. Menitik juga air liur saya, tetapi mendengar harganya yang cuma RM1500++ itu, saya perlu melakukan tugas menyelidik dahulu.
Bukan tidak mampu, tetapi berhemah. Berbaloikah saya membeli sejumlah RM itu untuk menggosok baju untuk dua orang sahaja? Tentu saya ada pilihan lain, bukan?
Saya sukakan analisis. Itu jiwa saya. Lalu, selepas dua tahun rakan dan taulan saya sudah bergembira dengan kemudahan menggosok mereka, saya memulakan analisis seterika jana wap ini.
Lazada adalah persinggahan pertama saya. Pelbagai model dan jenama seterika jana wap yang mereka jual dan pelbagai harga pula. Saya mahukan Philips. Dan ternyata, pelbagai model jenama Philips ada untuk seterika jenis ini.
Saya membaca spesifikasi satu persatu. Saya membanding. Dan saya memilih.
Philips Generator Iron GC7808 ternyata menyamai Philips Generator Iron GC8625 edaran eksklusif Amway yang rakan dan taulan saya beli, dalam banyak perkara kecuali harga.
Percaya atau tidak, harga GC7808 cuma RM590++ termasuk penghantaran dan saya jimat hampir RM1000+. Bukankah saya ini seorang yang bijak membeli, menang memakai?
Saya dengan penuh keyakinan, terus mengklik butang buy now dan membayar secara tunai melalui cimbclicks. Sehari dua lagi, seterika itu bakal tiba ke pangkuan saya.
Perbandingan yang saya temui dalam Google. Pada harga, ada sedikit perbezaan. GC7808 cuma RM590 saya beli di Lazada. GC8625 berharga RM1600 di koperasi sekolah saya. |
Saya membaca juga tulisan pengguna seterika ini dan ternyata, mereka juga bijak seperti saya kerana terlebih dahulu melakukan analisis dan penyelidikan sebelum membeli. Memang benar, keupayaan GC7808 tentulah tidak sehebat GC8625 tetapi pada banyak perkara yang kita mahu, ia ada dan serupa. Bezanya hanya pada perkara-perkara kecil yang kita boleh bertolak ansur.
Terima kasih pada kecanggihan teknologi yang memudahkan kerja analisis dan penyelidikan saya.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.