Sudah selesai seminggu persekolahan seusai cuti pertengahan penggal baru-baru ini. Minggu kedua belas, dan masih menanti sepuluh minggu sebelum kembali bercuti.
Tidaklah sesibuk mana, walaupun agak sibuk. Laman SAPS walaupun sudah pulih tetapi masih lembab dan membosankan. Mungkin minggu depan baru ia stabil.
Minggu ini diakhiri dengan mesyuarat PIBG yang mana saya diberi tanggungjawab menyediakan sijil. Dan itulah yang sesuai dengan saya, yang sangat saya gemari. Apa tidaknya, kerja mudah dan hanya boleh disiapkan dalam sehari. Lalu pada Khamis itu, saya mengambil kesempatan untuk pulang awal. Tak perlu tunggu sehingga tamat acara. Alhamdulillah.
Mereka yang bertugas di bahagian jamuan VIP, hadiah, persegaran ibu bapa, juruacara dan juga kebersihan tentunya tidak boleh pulang awal seperti saya. Bukankah ini suatu kelebihan? Alhamdulillah.
Saya pernah juga terlibat sebagai AJK jamuan VIP. Penatnya, sungguh! Mujurlah kebolehan saya dalam IT memberi ganjaran sebegini besar. Mereka tidak lagi memberi saya tugasan selain daripada yang berkaitan dengan komputer.
Pernah beberapa tahun lepas, sahabat saya Makelsom diberi tugas membuat sijil. Tidak lena tidur dia, memikirkan betapa susahnya tugas itu. Dia lantas meminta tukar dengan saya yang berada di AJK hadiah, dan saya dengan besar hati dan gembira, menerima pertukaran itu. Tentunya bagi saya ia jauh lebih senang berbanding bertugas mencari dan membungkus hadiah!
Begitulah. Saya mensyukuri setiap kurnia-Nya. Laluan saya sentiasa dipermudah, dan saya begitu bahagia dengan kehidupan saya sekarang.
Semoga kebahagiaan ini dipanjangkan sehingga ke sana nanti.
Amin.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment