Sunday, March 04, 2018

Asing

Sombongkah saya?

Jam sudah menghampiri satu tengah hari. Jadual saya sudah selesai hari ini, dan kerja-kerja yang ada pun tidak mendesak untuk diselesaikan segera. Waktu begini, perut mula mengisyaratkan rasa lapar. Sarapan pagi tadi sudah lama menghilang dari radar diri.

Saya sendirian menuju ke kantin. Harapan saya mahu bersunyi-sunyi sambil menikmati nasi goreng dan teh o ais. Selalunya waktu begini tiada siapa-siapa di kantin. Guru di sini jarang ke kantin dua kali kecuali saya.

Benarlah telahan saya, memang sunyi sahaja kantin waktu ini. Yang ada cuma pekerja-pekerja dan taukenya yang sedang berbual dengan seorang tetamu lelaki yang tidak saya kenali. Sahabatnya, mungkin. Saya malas kisah.

Saya memesan makanan dan mengambil tempat di meja sambil menekan-nekan butang telefon. Tenangnya jiwa di sini!

Tiba-tiba tetamu tadi turut sama datang dan duduk di meja bersebelahan saya. Dan bermulalah dialog-dialog untuk berbicara.

Sepatah ditanya, sepatah saya jawab. Saya memang tidak pandai bermesra-mesraan dan saya memang tidak mahu. Saya mahu tenang, tetapi ada sahaja gangguan. Apabila dia bertanya tempat tinggal, saya mula risau. Aduh! Nanti lanjutlah pula dengan kenal tak orang itu, saudara saya orang ini, saya pernah kenal orang itu dan banyak lagilah! Mujurlah dia bukan orang sini jadi tamatlah usul di situ.

Mujur tidak lama kemudian, datang seorang guru lelaki yang mahu minum-minum. Tetamu itu pun beralih soalan kepada guru lelaki ini pula. Saya lega!

Sombongkah saya?

Sekarang mereka sedang rancak berbual kerana bertemu kesamaan cerita dan layanan yang mesra. Saya meneruskan aktiviti saya, makan dan juga menekan-nekan telefon untuk menulis blog ini. Alhamdulillah tenang itu datang kembali. 

Orang asing pada saya memang sukar untuk saya mesrai. Maafkanlah!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment