Saturday, March 24, 2018

Seminggu

Hari ini penghabisannya. Hari kesembilan. Esok sudah bermula minggu kedua belas kalendar persekolahan Malaysia.

Alhamdulillah. Syukur sungguh saya dengan anugerah sembilan hari ini. Jemputan kenduri pada cuti kali ini tidak banyak mana, cuma tiga sahaja. Peluang untuk saya ke rumah emak dan bermesraan bersama adik beradik dan anak saudara pula yang bertambah. Jumaat, Ahad, Selasa, Khamis, Jumaat dan Sabtu (hari ini) saya berada di rumah emak. Sempatlah memesrai dan berbual mesra dengan adik-adik dan anak-anak saudara kesayangan. Cuma sedikit terkilan tidak dapat lama-lama dengan Anis dan Ain yang tiba pada Isnin dan pulang pada Rabu. In shaa Allah ada umur dan kesempatan kita jumpa lagi.

Jumaat semalam, ada rombongan. Keputusannya Alhamdulillah dan saya tentunya akan terus mendoakan yang terbaik agar setiap perancangan yang diatur diredhai Allah.

Urusan-urusan lain pun banyak yang sempat disempurnakan kali ini. Penukaran kad Al-Rajhi, pembelian ubat Visanne saya di REHAK, pembelian ubat Argilan mek di Klinik Ikhtiar dan urusan di pejabat Al-Quds saya dan suami selesaikan semuanya pada Rabu. Oh ya, Rabu itu juga suami saya membawa saya ke kedai emas Che Rahmah Wan Hussin di Kota Bharu untuk memilih sebentuk cincin emas sebagai hadiah. Cantik cincin itu, dan harganya cuma RM800 sahaja. Terima kasih.

Sempat juga kami mencelah ke Laloh pada Sabtu untuk menziarah abang Awang dan Kak Wan di sana. Kesihatan abang Awang  merosot sedikit kerana dijangkiti TB. Semoga Allah memberi kesembuhan kepadanya.

Selain itu, kelas tambahan dan bertemu rakan-rakan lama turut tercatat dalam cuti kali ini. Rasanya, sembilan hari ini sungguh bermakna buat saya kerana ia dipenuhi dengan kebahagiaan. Alhamdulillah. Lembu yang suami saya mahu jual juga sudah laku, dan pembeli itu sudah mengambilnya pada pagi tadi.

Semoga esok akan membawa sinar cahaya kebahagiaan yang lebih baik dan indah lagi.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment