Monday, March 05, 2018

Sakit

Isnin, 5 Mac 2018

Seperti biasa, kami bergerak ke sekolah seawal jam 6.40 pagi dan bersedia sepenuh hati untuk melaksanakan amanah tugas kami demi rezeki yang berkat.

Jadual saya hari ini adalah yang paling padat dalam seminggu. Mujur peperiksaan Tingkatan Lima sudah bermula, jadi saya cuma perlu mengawas peperiksaan sahaja. Tiada PdPc.

Suami saya meminta saya pulang sendiri menumpang kawan kerana dia terlibat dengan mesyuarat AJK PIBG sekolahnya. Saya tanpa lengah memaklumkan pada sahabat saya yang comel, Siti Hasliza untuk menumpangnya pulang nanti, dan dia tiada masalah. Sudah banyak kali saya menumpang Exoranya kerana laluannya pulang sama dengan saya. Dia akan menurunkan saya di hadapan rumah Kak Rohaini, dan saya akan perlahan-lahan berjalan menuju ke rumah ma. Tidak boleh laju-laju, nanti mengganggu kerehatan jiran-jiran sekitar kerana waktu tengah hari selalunya mereka terlelap sebentar.

Sedang saya mengawas peperiksaan di kelas 5 Ibnu Rushd, kira-kira pada jam 1.55 tengah hari, saya menerima pesanan WhatsApp daripada suami saya, mengatakan dia akan datang mengambil saya pulang seperti biasa. Dia tidak masuk mesyuarat hari ini. Saya segera memaklumkan kepada Siti Hasliza yang saya tidak jadi menumpang dia pulang.

Rupanya, suami saya diserang gastrik. Katanya, dari awal pagi perutnya tidak selesa dan rasa pedih sehingga ke ulu hati. Dia memohon untuk tidak hadir mesyuarat kerana ketidakselesaannya itu.

Saya sering kebuntuan setiap kali melihat dia kesakitan. Malamnya, kami ke klinik Ehsan untuk bertemu doktor dan mendapatkan sijil cuti sakit. Suami saya kali ini kelihatan sangat sakit berbanding sebelum- sebelum ini. Saya mengambil keputusan untuk turut bercuti menemani dia di rumah esok.

Nampaknya, saya terpaksa meminta bantuan Cikgu Niswatillaily untuk menyediakan jadual guru ganti esok dan dibantu rakan baik saya, Noor Hanani. Berat sebenarnya meminta orang lain menggantikan tugas kita, tetapi saya tiada pilihan. Kesihatan suami lebih utama.

Mujur kertas peperiksaan Matematik Tingkatan 5 sudah siap saya susun semalam. Jika tidak, tentu tergesa-gesa saya esok untuk menyusun kerana peperiksaan akan berlangsung Khamis nanti. Begitulah, saya perlu sentiasa bersedia awal untuk segala perkara kerana kecemasan berlaku tanpa isyarat.

Malam ini, suami saya masih memikirkan kerjanya. Dia meminta saya menaip minit mesyuarat Disiplinnya yang akan diedarkan dalam mesyuarat Disiplin esok. Walaupun dia tiada di sekolah, dia berharap mesyuarat itu akan dijalankan seperti biasa dan minit serta bahan mesyuarat akan dihantar kepada guru berkenaan melalui emel.

Selasa 6 Mac, kami berdua bercuti di rumah. Dia MC, saya CRK.

Pagi dan tengah hari saya memasak untuknya, dan malam kami keluar makan. Suami saya nampak sedikit sihat dan boleh ke sekolah esok. Rupanya, mesyuarat disiplin yang sepatutnya berlangsung hari ini telah ditunda ke minggu hadapan kerana ketiadaa suami saya. Penting juga dia.

Rabu 7 Mac, kami kembali ke sekolah seperti biasa.

No comments:

Post a Comment