Menjadi guru kadang-kadang tidak punya kelebihan yang banyak dari segi keselesaan. Bilik yang panas dan kerusi plastik sudah sebati dengan saya sejak dua puluh tahun lalu. Memang ia tidak menjadi masalah besar kerana tugas utama ialah mengajar di kelas sambil berdiri (Jika duduk, anda bukanlah guru yang baik). Jadi berada di bilik hanyalah sesekali, bukan sepanjang waktu bekerja seperti mereka yang bertugas di pejabat.
Tetapi apabila badan dimamah usia, terasa benar kerasnya kerusi plastik itu dan lenguhnya pinggang tiada tempat untuk menyandar belakang. Kerja di meja juga semakin menggunung, selain bergerak ke kelas selang setengah jam.
Saya mengimpikan kerusi empuk yang belakangnya tinggi dan boleh berpusing-pusing. Mengharap sahaja, tentu tidak menggolek tibanya. Mana ada peruntukan untuk seorang guru biasa seperti saya untuk mendapat kerusi seselesa itu. Dalam mimpi pun belum tentu diizinkan!
Sebagai seorang yang tidak berkira, saya menggelintar di Lazada.
Sebagai seorang yang tidak berkira, saya menggelintar di Lazada.
Alhamdulillah saya menemui apa yang saya cari. Harganya RM125 dan kos penghantaran RM22.50. Tanpa perlu bertanya pandangan siapa-siapa, tanpa menunggu lama, saya menempah dengan segera.
Setiap hari saya menyemak status pesanan saya kerana tidak sabar untuk menukar kerusi plastik saya yang keras itu. Terasa lama benar menunggu, dan selepas enam hari, ia tiba jua.
Saya mengintai di pondok jaga dan ternampak kerusi itu di sana. Tanpa mencari bantuan sesiapa, saya mengusung kerusi itu sendirian ke bilik saya. Saya membuka plastiknya dan terus menghempaskan badan ke kerusi cantik itu.
Selesanya!
Bulan puasa nanti, jika saya penat dan mengantuk, saya ada tempat untuk menyandar belakang mencari lena seminit dua.
Alhamdulillah.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.