Saturday, April 21, 2018

Penawar

Selalu bila hujung minggu tiba, jiwa saya meronta-ronta mahu bersantai-santaian di rumah ma bersama adik beradik dan anak-anak saudara. Tetapi saya seringkali gagal untuk memiliki hujung minggu yang begitu. 

Kenapa?

Seperti minggu ini.

Awal pagi Jumaat itu saya berkira-kira untuk ke rumah ma dan juga ke rumah Husna, sekadar bertanya khabar adik yang masih baru melalui pembedahan. Rupanya perancangan tinggal perancangan apabila suami memaklumkan mek mengajaknya menziarah sahabat lamanya yang uzur. Suami berjanji untuk ke sana pada jam sepuluh dan saya bakal menyertai. Kebetulan ma pun kenal juga dengan makcik itu jadi saya menghubungi ma dan mengajaknya bersama.

Tetapi ma sudah ada perancangan lain. Umi di Salor rupanya tidak sihat jadi ma sudah berjanji dengan Aziah untuk ke rumah umi pada pagi ini dan tidak sempat untuk menyertai kami.

Saya sudah mula pilu sebak. Nampaknya minggu ini saya akan kecewa lagi. Saya akan tidak sempat ke rumah ma pun kerana petang nanti ada acara Hari Keluarga pula, yang mana kami akan bermalam di Resort. Dan sebaik pulang esok akan ke Jelawat pula sebagai memenuhi undangan sahabat suami untuk rombongan perkahwinan anak lelakinya.

Saya mula mencongak sendiri. Saya juga mahu menziarah umi, pada masa yang sama janji dengan mek perlu dipenuhi. Entah mengapa saya buntu benar. Rasa nak menangis sebab tidak dapat jumpa ma! Tiba-tiba suami saya menjadi penyelamat keadaan apabila dia muncul dengan idea yang bernas.

Dia meminta saya bersiap segera, kerana dia mahu kami ke rumah umi dahulu. Selesai ziarah umi boleh ajak ma sekali untuk ziarah makcik sahabat mek pula.

Wah! Wajah saya ceria kembali. Sepantas kilat saya menelefon ma memaklumkan saya dan suami akan ke rumah umi dahulu dan selepas itu baru ke rumah makcik sahabat mek itu.

Jam 9.15 pagi, kami turun dari rumah dan Alhamdulillah perancangan kali ini diizinkan Tuhan untuk berjaya. Saya terlebih dahulu tiba di rumah umi, disusuli ma dan Aziah tidak lama selepas itu. Seterusnya ma menyertai saya dan suami pulang mengambil mek untuk ke destinasi berikutnya. 

Walaupun seketika sahaja dapat bersama ma, ia sesungguhnya penawar yang mujarab. Walaupun rindu pada adik-adik dan anak saudara tidak sempat terubat, in shaa Allah minggu-minggu mendatang akan ada ruang lagi.

Lalu bersedialah saya untuk ke Home Beach Resort si PCB untuk berhari keluarga bersama mereka, dengan hati yang dipaksa-paksa. Semoga segalanya dalam redha Allah jua.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment