Saturday, April 28, 2018

Umi

Saya amat suka panggilan ini. Sayang saya tiada anak, jika tidak tentu anak-anak saya akan memanggil saya umi.

Sewaktu menerima kehadiran anak saudara sulung saya lapan belas tahun lalu, saya teragak-agak mahu membahasakan umi. Mana tahu nanti ibunya mahu menggunakan panggilan itu. Tetapi jujurnya saya tidak selesa dengan panggilan lain. Jika di sebelah suami, saya tiada pilihan kerana mereka sendiri memanggil saya makcik sepadan dengan panggilan pakcik kepada suami saya. Tentu saya tidak boleh menukar sesuka hati.

Apabila mendengar kakak ipar saya mengenakan panggilan emak kepada dirinya, barulah saya berani membahasakan diri sebagai umi. Dan sungguhlah, indah sekali perasaan setiap kali mendengar Anis memanggil saya umi.

Anak saudara saya yang kedua lahir dua tahun kemudian. Saya kembali ragu-ragu untuk meneruskan panggilan umi kerana khuatir akan sama dengan panggilan untuk ibunya. Mujur adik ipar saya membahasakan dirinya sebagai mama, jadi saya meneruskan panggilan umi untuk saya.

Sampailah ke tahun 2009, sayalah satu-satunya umi untuk lapan orang anak saudara saya ketika itu tetapi apabila Sufi lahir, adik saya Husna memilih untuk menjadi umi juga. Saya mencadangkan panggilan mommy supaya sepadan dengan daddy tetapi dia tidak suka. Hilanglah monopoli saya untuk panggilan itu. 

Lalu saya mengubah sedikit, daripada umi menjadi umi ti untuk membezakan saya dan adik saya pada mata anak-anaknya. Sehingga kini itulah panggilan yang melekat pada anak-anak saudara saya yang terkemudian. Yang awal-awal dulu - Anis, Amin, Ain, Iman dan Aisyah - masih memanggil saya umi.

Rupa-rupanya, penyanyi tersohor Malaysia - Siti Nurhaliza - turut membahasakan dirinya sebagai umi ti kepada cucu comelnya, Arif Jiwa. Wah! Saya tidak bersendirian menggunakan panggilan ini.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

Post a Comment