Semalam, Selasa 17 April bermulalah acara sukan di SMK Kampong Chengal kecintaan saya ini. Ia berlangsung selama tiga hari, dan Khamis esok menjadi kemuncaknya. Setiap persediaan dilakukan serapi mungkin dan empat rumah sukan yang ada ini - Biru, Hijau, Merah dan Kuning - sama-sama bersaing dalam merebut tempat terbaik.
Suasana amat meriah dan gembira. Guru-guru seperti murid-murid juga, sibuk tetapi seronok. Saya cumalah pegawai statistik yang bertugas mendaftar peserta untuk setiap acara dan memasukkan data keputusan bagi menentukan siapakah juara. Juara keseluruhan, juara Sukantara, juara Perbarisan, Juara Khemah Terbaik, Olahragawan dan Olahragawati semuanya di tangan saya. Besar amanah itu tetapi saya tidak bersendirian kerana dibantu oleh sahabat seperjuangan, Noor Hanani yang cekap dan pantas itu.
Tugas menjaga bahagian statistik ini sememangnya sudah menjadi akrab dengan saya sejak bertahun-tahun. Mungkin ia serasi dengan saya dan saya juga seronok melakukannya menyebabkan mereka tidak pernah mahu menukarkannya kepada guru lain.
Teringat hari sukan di sekolah dahulu, saya antara yang tidak pernah menyertai mana-mana acara kecuali perbarisan. Saya memang jenis yang tidak pandai bersukan dan tidak pernah mahu mencuba. Ada juga saya mengikut kawan-kawan untuk pemilihan pemain bola tampar tetapi dek bakat yang tidak menonjol, tentulah saya tidak terpilih. Dan saya tidak berasa apa-apa pun, selamba sahaja kerana saya tidak mengharap.
Seperti juga banyak perkara lain, sukan bukanlah sesuatu yang boleh ditangkap muat untuk sesiapa sahaja. Ia memerlukan disiplin dan semangat yang tinggi dan saya bukanlah termasuk dalam kalangan yang mampu bersukan.

No comments:
Post a Comment